Di dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis kanser dan antara yang paling berbahaya buat golongan lelaki adalah kanser prostat.
Disebabkan itu, semua kaum Adam perlulah bertindak segera bagi mengesan penyakit ini agar mampu merawatnya dengan lebih awal.
Persoalannya, bagaimana? Jangan terkejut jika kami kata ada kajian yang sokong ia mampu dicegah dengan hanya lebih kerap melakukan seks bersama pasangan!
Untuk mengetahui jawapannya, mari sama-sama kita semua ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi.
Apa itu kanser prostat?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan salah satu daripada jenis kanser yang berbahaya buat lelaki ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, kanser prostat adalah jenis kanser kelima paling banyak dihidapi oleh kaum Adam di seluruh dunia selepas kanser paru-paru, hati, perut dan usus.
Ia berlaku akibat pertumbuhan sel yang abnormal dan tidak terkawal pada kelenjar prostat – salah satu bahagian organ reproduktif lelaki yang berfungsi menghasilkan, melindungi dan membawa sperma.
Kebiasaannya, penyakit ini biasa berlaku kepada individu berusia 60 tahun ke atas namun dalam beberapa kes ia juga mampu menyerang individu berusia 40 tahun ke bawah jika faktor risiko mereka tinggi.
Sekiranya berlaku kepada anda, berikut merupakan simptom-simptom yang wajar diperhatikan:
- Kerap kencing
- Sukar buang air kecil
- Kencing tidak lawas
- Terbangun di malam hari untuk kencing (nokturia)
- Keluar darah atau air mani pada air kencing
- Masalah ereksi zakar
Segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi jika ada salah satu daripada tanda ini pada diri anda ya?
Apa punca kanser prostat?
Seperti mana yang telah kami terangkan di atas, kanser prostat adalah sangat berbahaya buat lelaki. Namun apa punca sebenar ia terjadi?
Pada umumnya, pencetus kanser ini adalah apabila berlaku perubahan atau mutasi DNA pada sel prostat yang sihat.
Akibatnya, sel-sel yang terjejas akan menjadi abnormal sekali gus menyebabkannya tumbuh secara tidak terkawal.
Pun begitu, pakar masih belum dapat memastikan apa punca sebenar perubahan atau mutasi DNA ini berlaku namun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh disimpulkan.
Berikut merupakan beberapa faktor risiko yang wajar diberi perhatian:
- Berusia 50 – 60 tahun ke atas
- Ada sejarah ahli keluarga yang menghidapi kanser prostat
- Berat badan berlebihan atau obesiti
- Sering makan daging merah
- Sering minum kalsium tinggi
- Penderita penyakit jangkitan kelamin (STD)
- Pernah mengalami kanser jenis lain
- Pernah menjalani operasi vasektomi
- Merokok
Jika tidak dicegah, ini yang akan terjadi!
Sekiranya dibiarkan, sudah tentu akan berlaku pelbagai komplikasi terhadap tubuh badan anda seperti:
#1. Penyebaran sel kanser (metastasis)
Bermula di prostat, sel-sel kanser ini kemudiannya boleh merebak dan menyebar ke organ lain di sekitarnya termasuklah pundi kencing.
Jika ia telah tersebar dengan begitu meluas, anda perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai rawatan terbaik.
#2. Kencing malam
Kondisi yang turut dikenali dengan nama ‘urinary incontinence’ ini akan mengakibatkan anda tidak mampu untuk menahan kencing lantas meningkatkan risiko kencing malam.
#3. Mati pucuk
Ini adalah suatu kondisi yang paling ditakuti oleh lelaki dan boleh terjadi akibat penyakit ini ataupun disebabkan oleh rawatan, ubatan dan terapi untuk merawatnya.
Jadi sesuatu perlu dilakukan segera untuk elak kanser prostat daripada terus menghantui lelaki!
Kerap buat seks adalah jawapannya?
Untuk menjawab persoalan awal pada tajuk artikel ini, ya ia adalah satu berita baik dan bukan berita palsu.
Ini kerana kajian dari Harvard Medical School mengatakan zakar yang kerap memancutkan air mani mungkin dapat mengurangkan risiko kanser prostat.
Persoalannya, berapa kalikah pancutan yang dianggap kerap ini? Kajian itu mengatakan bahawa seks sebanyak 21 kali sebulan mungkin sudah memadai.
Pun begitu, ia dikatakan hanya berkesan buat lelaki yang berusia 50 tahun ke atas sahaja!
Kajian yang dijalankan selama 18 tahun bersama lebih kurang 30,000 pakar kesihatan ini mengatakan, risiko kanser prostat mampu dikurangkan sebanyak 20% jika lelaki melakukan seks dan memancutkan air mani sebanyak 21 kali sebulan berbanding mereka yang hanya melakukannya 4 ke 7 kali sebulan.
Jadi, kenyataan ini mungkin ada benarnya namun kajian lanjutan masih perlu dijalankan sebelum kita semua dapat benar-benar pasti akan kesahihannya.
Hidup lebih sihat untuk cegah kanser prostat!
Akhir kata, kanser prostat adalah sangat berbahaya kepada lelaki kerana ia boleh mendatangkan pelbagai komplikasi atau lebih membimbangkan akan membawa maut.
Oleh itu, adalah wajar untuk kalian sebagai kaum Adam mengambil langkah berwaspada bagi mengurangkan faktor risiko daripada terkena penyakit ini.
Selain itu, adalah tidak salah untuk cuba lebih kerap melakukan hubungan seks bersama pasangan bukan? Ia sudah pasti akan menyemarakkan lagi kamar tidur anda!
Jika ada sebarang persoalan mengenai kanser prostat, sila berjumpa doktor berdekatan anda.