backup og meta

Apakah Maksud Kanser Payudara Bermetastasis?

Apakah Maksud Kanser Payudara Bermetastasis?

Kanser payudara yang telah bermetastasis, ataupun turut dikenali sebagai kanser payudara tahap 4 merupakan sejenis kanser yang telah menular ke bahagian badan yang lain. 

Metastasis yang terhasil akibat barah payudara boleh merebak hingga ke bahagian nodus limfa pada kawasan ketiak ataupun bergerak ke organ atau bahagian badan yang lain melalui salur darah.

Walaupun kanser yang telah melalui metastasis berlaku pada kawasan badan yang lain, tapi kanser yang pesakit alami masih lagi kanser payudara kerana kanser tersebut berasal dari tempat yang sama dan terdiri daripada tisu yang sama.

Kadangkala, walaupun pesakit sudah menerima rawatan kanser, kanser tersebut boleh kembali menyerang selepas berbulan-bulan atau bertahun-tahun selepas diagnosis awal.

Malah, ada juga pesakit kanser yang terus menerima diagnosis barah payudara yang telah bermetastasis ketika mereka pertama kali membuat pemeriksaan doktor. Keadaan ini turut dikenali sebagai kanser payudara metastasis “de novo“.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

 Apa itu kadar kelangsungan hidup 5 tahun?

diagnosis kanser

Penghidap kanser pasti pernah mendengar terma 5-year relative survival rate ataupun kadar kelangsungan hidup 5 tahun. Tapi, adakah anda faham maksud sebenar di sebalik terma ini?

Kadar kelangsungan hidup 5 tahun merupakan anggaran peratusan pesakit yang masih hidup setelah 5 tahun mendapat diagnosis kanser.

Wanita yang mempunyai kanser yang belum bermetastasis mempunyai kadar kelangsungan hidup 5 tahun yang agak tinggi iaitu 91%. Ini bermaksud, 91% pesakit kanser ini masih hidup selepas 5 tahun mereka menghidap kanser.

Manakala, wanita yang mempunyai kanser payudara jenis invasif, kadar kelangsungan hidup 10 tahun adalah sebanyak 84%.

Namun, jika kanser tersebut hanya berada dalam payudara milik pesakit dan belum merebak lagi, kadar kelangsungan hidup 5 tahun boleh mencecah 99%!

Menurut American Cancer Society, wanita yang didiagnosis dengan barah payudara mempunyai harapan untuk sembuh lebih tinggi daripada anggaran yang dikeluarkan oleh statistik.

Disebabkan kaedah rawatan semakin maju tahun demi tahun, maka lebih ramai pesakit kanser yang sembuh selepas mendapat rawatan berbanding 5 tahun lalu.

 Simptom kanser payudara yang telah bermetastasis

kanser payudara

Pesakit yang menghidap kanser yang telah bermetastasis mungkin akan mengalami simptom yang berbeza-beza mengikut bahagian badan yang telah dijangkiti kanser.

Contohnya, jika bahagian dada telah dijangkiti kanser, pesakit mungkin akan alami simptom seperti sakit pada bahagian payudara, keluar cecair daripada puting, atau muncul ketulan dalam buah dada atau di bawah ketiak.

Jika kanser telah merebak ke bahagian tulang, pesakit akan rasa sakit, mengalami keretakan tulang atau letih dan tidak dapat fokus disebabkan oleh tahap kalsium yang rendah dalam badan.

Kanser yang telah merebak ke bahagian paru-paru pula akan membuatkan pesakit rasa susah bernafas, batuk, sakit dada dan letih.

Selain itu, kanser yang telah merebak ke bahagian hati akan menyebabkan pesakit rasa loya, penat, kaki membengkak dan kulit menjadi kuning.

Jika kanser telah sampai ke bahagian saraf pusat, pesakit akan alami kesakitan, hilang ingatan, sukar bergerak dan serangan sawan.

Jika mengalami simptom di atas, pastikan anda bercakap dengan doktor secepat mungkin. Rawatan yang anda terima untuk kanser mungkin akan disesuaikan mengikut simptom yang anda alami.

Rawatan untuk kanser payudara metastasis

Kanser payudara yang sudah bermetastasis sukar untuk dirawat.

Berbeza dengan barah yang masih lagi berada dalam kawasan payudara atau nodus limfa yang berdekatan, kanser ini tidak boleh dibuang kerana ia telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Pesakit kanser metastasis akan melalui rawatan yang memfokuskan untuk memanjangkan jangka hayat pesakit dan bantu mereka untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti.

Rawatan yang diberikan bergantung kepada beberapa perkara:

  1.       Biologi tumor ataupun jenis sel kanser
  2.       Kawasan yang telah dijangkiti kanser
  3.       Simptom yang pesakit alami
  4.       Rawatan yang pernah dilalui

Tidak salah jika inginkan pendapat kedua untuk kondisi anda. Anda boleh berjumpa dengan doktor lain pada bila-bila masa.

Bagaimana doktor memantau keadaan pesakit kanser payudara metastasis?

kanser payudara

Pesakit yang mempunyai kanser yang sudah bermetastasis akan dipantau setiap bulan untuk melihat keberkesanan rawatan yang diterima.

Ujian seperti ujian fizikal, ujian darah dan ujian pengimejan seperti X-ray, imbasan CT, atau imbasan PET akan dijalankan sekali lagi kepada pesakit.

Kadangkala, pesakit akan mengalami rintangan atau ketahanan terhadap sesuatu ubat yang digunakan semasa rawatan. Jika ini berlaku, doktor mungkin akan mencadangkan rawatan lain untuk anda.

Normal jika rasa gelisah sebelum anda melakukan ujian ini. Jika boleh, luangkan masa bersama ahli keluarga anda. Kongsi perasaan anda bersama mereka jika ia dapat bantu untuk bertenang.

Anda juga boleh bercakap dengan doktor mengenai kegelisahan yang dialami. Doktor boleh bantu anda untuk mengatasi masalah ini.  

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Cancer Society. 2020. Survival Rates for Breast Cancer. January 8. Accessed October 21, 2020. https://www.cancer.org/cancer/breast-cancer/understanding-a-breast-cancer-diagnosis/breast-cancer-survival-rates.html.
  2. BreastCancer.org. 2020. Metastatic Breast Cancer. October 13. Accessed October 21, 2020. https://www.breastcancer.org/symptoms/types/recur_metast.
  3. Cancer.Net. 2020. Breast Cancer: Statistics. July. Accessed October 21, 2020. https://www.cancer.net/cancer-types/breast-cancer/statistics.
  4. National Breast Cancer Foundation. n.d. Metastatic Breast Cancer. Accessed October 21, 2020. https://www.nationalbreastcancer.org/metastatic-breast-cancer.
  5. Susan G. Komen. n.d. TREATMENTS FOR METASTATIC BREAST CANCER. Accessed October 21, 2020. https://ww5.komen.org/BreastCancer/RecommendedTreatmentsforMetastaticBreastCancer.html.

Versi Terbaru

05/05/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Diagnosis Kanser Payudara Yang Patut Anda Tahu, Jangan Biarkan Kanser Makin Melarat

Tahap & Dua Jenis Kanser Payudara Yang Ditakuti Kaum Hawa, Anda WAJIB Tahu Ini


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan