Batuk berdarah atau dikenali juga sebagai haemoptysis merupakan satu keadaan yang amat menakutkan. Manakan tidak, simptom ini selalu dikaitkan dengan penyakit yang serius seperti kanser paru-paru. Namun, benarkah batuk berdarah disebabkan oleh penyakit tersebut?
Walaupun simptom ini merupakan sesuatu yang membimbangkan, doktor akan mencari punca pendarahan terlebih dahulu.
Kadangkala, darah tersebut bukannya datang dari paru-paru, ia juga boleh berpunca dari hidung atau saluran pernafasan pesakit.
Namun, tidak dinafikan, salah satu simptom kanser paru-paru ialah batuk berdarah. Secara purata, hampir 7 hingga 10% pesakit kanser paru-paru akan mengalami simptom ini ketika berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Tetapi, batuk berdarah disebabkan oleh kanser hanya merangkumi 23% kes sahaja. Yang selebihnya pula berasal daripada penyakit lain.
Batuk berdarah, adakah ia sesuatu yang merisaukan?
Batuk berdarah bukanlah satu keadaan yang serius jika pesakit masih lagi muda dan sihat. Namun, ia boleh menjadi tanda penyakit berbahaya dalam kalangan orang yang lebih berusia, terutamanya mereka yang merokok.
Ketika batuk, pesakit mungkin akan mengeluarkan darah yang berwarna merah terang atau darah yang berkahak.
Jika ini yang berlaku, darah tersebut mungkin berasal dari paru-paru dan berpunca daripada jangkitan atau batuk yang berpanjangan.
Walau bagaimanapun, jika darah yang keluar itu berwarna coklat gelap dan mengandungi cebisan makanan, darah ini mungkin berasal daripada sistem pencernaan anda. Masalah ini lebih serius dan perlu dirujuk ke hospital secepat mungkin.
Darah yang berwarna coklat menandakan pendarahan pada saluran pencernaan, perut atau duodenum. Kondisi ini juga dikenali sebagai hematemesis atau muntah darah.
Punca batuk berdarah
Ramai yang sangka batuk berdarah disebabkan oleh penyakit kanser sahaja. Sebenarnya, ada banyak penyakit lain yang boleh menyebabkan simptom ini dan salah satunya ialah kanser paru-paru.
Selain itu, ia juga boleh berlaku disebabkan jangkitan ataupun iritasi pada saluran pernafasan. Antara penyakit lain yang boleh menyebabkan batuk berdarah adalah:
- Bronkitis akut atau kronik.
- Saluran pernafasan yang tercedera disebabkan sista fibrosis.
- Pneumonia.
- Batuk kering.
- Penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD).
- Jangkitan parasit.
- Embolisme pulmonari.
- Trauma pada kawasan dada.
- Penyalahgunaan dadah (terutamanya kokain).
Kadangkala, individu yang mengalami hidung berdarah yang teruk atau pendarahan dari kawasan mulut dan tekak juga boleh mengalami simptom seakan-akan batuk berdarah.
Batuk berdarah boleh buatkan sesiapa sahaja menjadi panik. Malah, simptom ini juga boleh membuatkan anda jadi keliru dan tidak tahu sama ada anda perlu bantuan perubatan ataupun tidak.
Sebagai panduan, dapatkan bantuan jika anda mengalami simptom lain seperti:
- Darah di dalam tinja.
- Sakit dada.
- Hendak pitam atau pening kepala.
- Tidak lalu makan.
- Sesak nafas.
- Pengurangan berat badan.
- Rasa lemah dan tidak bertenaga.
Berjumpalah doktor dengan segera untuk mendapatkan diagnosis yang berkenaan. Batuk berdarah merupakan satu kecemasan, lebih-lebih lagi jika amaun yang keluar lebih daripada 1/3 cawan.
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru
Kanser paru-paru selalunya tidak akan menyebabkan sebarang simptom sehinggalah ia telah merebak. Namun, ada juga pesakit yang mengalami simptom sebelum didiagnosis.
Namun, jika anda mengalami batuk berdarah, masih ada kemungkinan untuk ia berlaku disebabkan penyakit lain. Paling penting, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru merupakan salah satu simptom utama penyakit tersebut. Tetapi, ada juga beberapa simptom lain yang perlu diperhatikan seperti:
- Batuk yang tidak sembuh atau semakin teruk.
- Sakit dada ketika batuk, bernafas atau ketawa.
- Suara menjadi garau.
- Tidak berselera makan.
- Sesak nafas.
- Penat dan sering rasa lemah.
- Jangkitan seperti bronkitis dan pneumonia yang sukar untuk sembuh.
Perokok dan mereka yang terdedah kepada asap sekunder merupakan golongan yang paling berisiko untuk menghidap kanser paru-paru.
Setiap rokok yang dibakar, semakin tinggilah risiko untuk menghidap kanser paru-paru. Berhenti merokok, tidak kiralah pada usia apapun dapat membantu mengurangkan risiko kanser paru-paru dengan drastik.
Kesimpulan
Batuk berdarah disebabkan oleh kanser paru-paru merupakan satu simptom yang berbahaya dan merisaukan. Namun, ia juga boleh berlaku disebabkan penyakit lain seperti bronkitis, pneumonia atau COPD.
Oleh sebab itu, diagnosis oleh doktor amat penting sebelum anda bertindak membuat sebarang kesimpulan.
Rawatan untuk masalah batuk berdarah berbeza mengikut penyakit. Jika ia bersifat sederhana dan sementara, ia boleh dirawat menggunakan ubat batuk.
Namun, batuk yang berlangsung dalam jangka masa panjang perlu diperiksa oleh doktor dengan kadar segera.
Malah, dalam 15 hingga 20% kes batuk berdarah, doktor tidak dapat mengenal pasti sebab dan punca di sebalik simptom tersebut. Malah, penyakit ini juga didapati sembuh dengan sendirinya.
Jika anda risau mengenai kanser paru-paru, pastikan anda berhenti merokok. Merokok bukan sahaja menjadi punca utama kanser paru-paru, ia juga punca kanser lain seperti kanser mulut dan tekak, perut, kolon, hati dan banyak lagi.