backup og meta

Jom Merungkai 9 Mitos Kanser Kolon! Mitos No. 3 Paling Ramai Orang Salah Faham

Jom Merungkai 9 Mitos Kanser Kolon! Mitos No. 3 Paling Ramai Orang Salah Faham

Apa yang anda tahu mengenai kolon kanser? Kemungkinan besar tidak banyak, kan?

Juga dikenali sebagai kanser kolorektal, ia adalah sejenis barah yang terbentuk pada organ usus besar dan rektum.

Untuk makluman, ia lebih dikenali dengan nama kanser kolon (usus besar)/ kolon kanser atau barah rektum (penghujung usus besar), bergantung lokasi ia ‘bermula’.

Jangan terkejut, ia juga diketahui sebagai ‘pembunuh senyap’! Lebih daripada 50,000 orang mati akibat barah kolorektal setiap tahun.

Jumlah ini mungkin juga telah disumbangkan oleh salah faham mengenai kanser tersebut, lalu mencegah pesakit mendapatkan diagnosis dan rawatan yang mungkin mereka perlukan.

Lebih membimbangkan, kolon kanser biasanya tidak mempunyai tanda-tanda awal dan tumbuh daripada polip (tumor kecil pada lapisan dalam usus besar atau rektum).

Pun begitu, jika dikesan pada peringkat awal, polip boleh disingkirkan melalui routine colonoscopy untuk mencegahnya menjadi barah!

Memandangkan terdapat banyak mitos kolon kanser yang tidak tepat berlegaran dalam masyarakat, kupasan kali ini fokus dalam merungkai kebenaran di sebaliknya!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

Mitos-mitos kolon kanser

#1 Tiada simptom, tiada kanser- Benarkah?

Tahukah anda, lebih separuh daripada individu yang telah didiagnosis dengan barah kolorektal tidak mempunyai gejala? Ya, benar!

Perubahan pada najis, pendarahan rektum, sakit perut dan penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan boleh menjadi indikasi kepada kanser kolorektal.

Namun, apabila simptom-simptom tersebut mulai dapat dilihat, pada tahap ini penyakit tersebut mungkin telah menjadi semakin parah.

#2 Kanser kolorektal adalah penyakit lelaki!

kolon kanser

Walaupun kolon kanser lebih kerap menyerang kaum Adam berbanding golongan wanita, namun ia masih menjadi jenis barah di kedudukan 3 yang berlaku pada wanita, selepas kanser paru-paru dan payudara!

Menurut American Cancer Society, risiko seumur hidup untuk menghidap barah kolorektal adalah sekitar 1 daripada 23 (4.4%) untuk lelaki dan 1 dalam 25 (4.1%) untuk kaum Hawa.

#3 Kanser kolorektal tidak dapat dicegah

Silap! Ini kerana kanser kolorektal boleh dicegah!

Peningkatan dalam kesedaran dan saringan dapat menyelamatkan kira-kira 30,000 nyawa setiap tahun!

Ujian saringan seperti kolonoskopi akan dapat mengesan dan menyingkirkan polip, berserta tisu abnormal lain yang boleh memicu barah kolorektal. Penyingkiran polip ini dapat mencegah kolon kanser!

Di samping itu, kekal aktif, menjaga berat badan yang sihat, makan makanan berserat tinggi/rendah lemak, mengehadkan pengambilan alkohol dan elak tembakau bantu melindungi usus besar dan rektum anda.

#4 Orang Afrika-Amerika tidak berisiko mendapat barah kolorektal

Perlu pembaca tahu, orang lelaki dan wanita berketurunan Afrika-Amerika mendapat kanser ini pada kadar yang lebih tinggi berbanding mana-mana jantina dalam kumpulan kaum atau etnik Amerika Syarikat.

Tambah lagi, mereka mempunyai kadar kematian yang lebih banyak akibat barah kolorektal berbanding kumpulan kaum lain.

Malang sekali, puncanya masih belum dapat difahami.

#5 Usia bukanlah faktor untuk mendapat kolon kanser

Kanser kolorektal paling kerap berlaku pada mereka yang berusia 45 tahun ke atas.

The American Cancer Society mengesyorkan, agar anda mula menjalani pemeriksaan barah ketika mencecah usia 45 tahun.

Sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga atau perubatan berkaitan polip/barah kolorektal, doktor mungkin mengesyorkan anda untuk menjalani pemeriksaan pada usia yang lebih muda.

#6 Hanya wanita berusia melebihi 45 tahun yang bergejala atau bermasalah harus diuji untuk kanser kolorektal/polip

Walaupun anda mungkin tidak mengalami sebarang masalah atau gejala, kalian harus menjalani pemeriksaan baseline pada usia 45 tahun, tau!

Kanser kolorektal paling mudah dirawat pada peringkat awal, sebelum gejala muncul.

Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

#7 Prosedur kolonoskopi menyakitkan dan memerlukan anda untuk bermalam di hospital!

Untuk makluman, kolonoskopi adalah prosedur ‘outpatient‘.

Anda bakal diberikan ubat sedatif  yang ringan sebelum menjalani prosedur, untuk membolehkan kalian berehat dengan selesa dan tanpa rasa sakit.

Prosedur ini melibatkan kemasukan tiub halus yang fleksibel dimasukkan ke dalam rektum untuk memeriksa lapisan usus besar dan rektum.

Jangan risau! Ujiannya selamat dan prosedur itu sendiri biasanya hanya memakan masa 30 hingga 45 minit.

Pemulihannya pula mengambil masa sekitar 1 jam, dan selepas itu, anda bebas untuk pulang ke rumah.

#8 Tiada ujian yang berkesan untuk memeriksa kanser kolorektal

kolon kanser

Ujian yang digunakan untuk pemeriksaan kanser usus merangkumi; pemeriksaan rektum digital oleh doktor, ujian najis untuk memeriksa darah, barium enema untuk mengambil gambar sinar-x usus besar, sigmoidoscopy fleksibel dan kolonoskopi.

Kesemua ujian ini bantu mengesan kanser atau prakanser sebelum anda melihat sebarang tanda-tanda amaran.

Doktor juga boleh mengesyorkan anda untuk menjalani 1 atau lebih ujian saringan.

#9 Pemeriksaan membuang masa! Kolon kanser tidak dapat disembuhkan

Auta! Kanser kolorektal selalunya dapat diubati.

Sekiranya ia dikesan dan dirawat pada peringkat awal (kecil dan sebelum merebak), kadar kelangsungan hidup relatif 5 tahun adalah sekitar 90%!

Penghidap barah kolorektal pada peringkat lain juga mampu bertahan, walaupun jumlahnya akan menurun apabila kanser membentuk dan merebak.

Sungguhpun begitu, faktor seperti usia, kesihatan keseluruhan dan seberapa baik kanser bertindak balas terhadap rawatan bakal mempengaruhi hasil menyeluruh pesakit.

Para penyelidik juga bertungkus-lumus membuat penambahbaikan sepanjang masa, untuk menjadikan rawatan dan prosedur kanser lebih berkesan!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Myths About Colorectal Cancer: https://fascrs.org/patients/diseases-and-conditions/a-z/colon-cancer-myths-vs-reality, Accessed Sept. 6, 2021.
  2. Top Myths About Colon Cancer, Debunked: https://www.roswellpark.org/cancertalk/201904/top-myths-about-colon-cancer-debunked, Accessed Sept. 6, 2021.
  3. 6 misconceptions about colorectal cancer: fredhutch.org/en/news/center-news/2018/03/colorectal-cancer-myths.html, Accessed Sept. 6, 2021.
  4. 5 myths (and surprising facts) about colon cancer: https://healthbeat.spectrumhealth.org/colorectal-myths/, Accessed Sept. 6, 2021.
  5. Colon Cancer: Myths and Truths: https://www.mercyiowacity.org/Default.aspx?id=259&sid=1&CWFriendlyUrl=true, Accessed Sept. 6, 2021.

Versi Terbaru

21/12/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Takut Nak Jalani Pemeriksaan Kolonoskopi? Cuba 7 Kaedah Alternatif Ini

Kanser Kolorektal Makin Meningkat Dalam Kalangan Orang Muda, Jangan Jadi Mangsa Seterusnya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/12/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan