Ia seringkali dikaitkan dengan kaum lelaki, namun tahukah anda bahawa ada mitos yang kata banyak manfaat Tongkat Ali untuk wanita?
Ya, mungkin penyataan ini agak mengejutkan kerana tumbuhan ini biasanya diekstrak dan diambil oleh lelaki untuk kesihatan batin mereka.
Namun, masih wujud tanda tanya sama ada khasiat Tongkat Ali adalah sama berkesan terhadap golongan wanita sama seperti lelaki.
Jadi, jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih lanjut!
Apa itu Tongkat Ali?
Tongkat Ali atau turut dikenali dengan nama saintifiknya, Eurycoma Longifolia adalah sangat sinonim dan popular dengan rakyat Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, tumbuhan ini merupakan sejenis pokok renek malar hijau tinggi yang biasa dijumpai di Asia Tenggara.
Ia juga merupakan salah satu daripada ubat herba yang sangat terkenal di benua dan negara kita selama berabad lamanya.
Apakah yang tersembunyi di sebalik rahsia khasiat Tongkat Ali? Tepat sekali, ia dikatakan mampu meningkatkan prestasi seksual kaum lelaki!
Disebabkan itu, ia selalu dijadikan sebagai ‘tonik’ untuk kaum lelaki setiap kali sebelum beraksi di ranjang dengan pasangan.
Tambahan lagi, tumbuhan ajaib ini juga mungkin mempunyai lebih banyak manfaat lain yang belum kita ketahui.
Apa khasiat Tongkat Ali?
Sudah terdapat beberapa kajian yang mungkin telah berjaya membuktikan khasiat tumbuhan ajaib ini terhadap tubuh badan, termasuklah:
#1. Meningkatkan tahap hormon testosteron
Menurut kajian yang melibatkan 76 orang lelaki selama 1 bulan, didapati bahawa pengambilan ekstrak Tongkat Ali sebanyak 200 mg setiap hari mampu meningkatkan tahap hormon testosteron.
Ia sekali gus mungkin mampu merawat masalah sperma, libido rendah, ereksi tidak kuat, ejakulasi pramatang dan dalam sesetengah kes, ketidaksuburan.
#2. Mengurangkan stres pada mental
Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 1999 terhadap subjek makmal, didapati bahawa ia mampu mengurangkan gejala stres, kegelisahan serta keresahan pada mental.
Disebabkan itu, ada kemungkinan yang besar bahawa ekstrak tumbuhan ini mampu mengawal masalah pada mental jika diambil pada jumlah dan cara yang betul.
#3. Memulihkan komposisi tubuh badan
Menurut kajian, didapati bahawa khasiat Tongkat Ali ini datangnya daripada sebatian di dalamnya yang mengandungi quassinoids, eurycomaoside, eurycolactone dan eurycomanone.
Kesemua sebatian ini dipercayai mampu bertindak sebagai bantuan ergogenik sekali gus memulihkan komposisi tubuh badan lantas membuat kita lebih cergas.
Manfaat Tongkat Ali untuk wanita pun sama seperti di atas?
Meskipun ia lebih terkenal dan mungkin berkesan buat kaum lelaki, jangan salah sangka bahawa Tongkat Ali untuk wanita adalah tidak sesuai.
Ini kerana golongan wanita juga mungkin masih boleh menerima manfaat daripada tumbuhan ini terutamanya dari aspek yang kedua dan ketiga di atas tadi.
Namun telah wujud juga beberapa kajian kecil yang mengatakan bahawa adalah berisiko jika wanita mengambil ekstrak tumbuhan ini.
Oleh itu, adalah sangat disarankan untuk kesemua individu tidak kira lelaki atau wanita untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum memutuskan untuk mengambilnya.
Berbalik kepada persoalan utama artikel ini, benarkah tumbuhan ajaib ini mampu tingkatkan peluang untuk hamil? Jom teruskan membaca!
Tongkat Ali untuk wanita, boleh tingkatkan peluang hamil?
Mungkin para pembaca agak runsing di sini kerana tumbuhan ini dikatakan berisiko diambil oleh wanita tetapi dipercayai mampu tingkatkan peluang untuk hamil.
Sebenarnya, penyataan ini adalah khas ditujukan buat kaum lelaki kerana pengambilannya mungkin mampu meningkatkan hormon testosteron dalam tubuh badan.
Kesannya, ia mungkin akan mampu menyelesaikan banyak masalah berkaitan hal seksual lelaki seperti yang telahpun kami nyatakan di atas tadi.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, didapati bahawa ekstrak tumbuhan ini mungkin mampu menyelesaikan masalah ereksi tidak kuat, ejakulasi pramatang serta rendah libido.
Menurut kajian Asian Journal of Andrology yang diterbitkan pada tahun 2010 pula mengatakan bahawa ekstrak Tongkat Ali mungkin mampu menyelesaikan masalah-masalah pada sperma lelaki termasuklah kuantiti, kualiti, mobiliti serta morfologi.
Berdasarkan kajian-kajian ini, mungkin benar bahawa tumbuhan ini mampu membantu pasangan bermasalah kesuburan untuk mendapatkan zuriat.
Ia adalah ubat herba tradisional yang bagus?
Kesimpulannya, ekstrak tumbuhan yang sangat terkenal di negara dan benua kita ini mungkin benar adalah antara ubat herba tradisional yang bagus.
Terutamanya buat lelaki, anda mungkin boleh mengambilnya bagi tujuan memperbaiki masalah seksual ataupun segala kondisi fizikal dan mental.
Pun begitu, kajian lanjut masih perlu dijalankan bagi benar-benar menempatkan Tongkat Ali sebagai salah satu daripada ubat alternatif yang efektif.
Jadi kini, persoalan anda mengenai Tongkat Ali untuk wanita sudah terjawab.
Cuma kami sarankan sebelum anda memutuskan untuk mengambilnya walau dalam apa jenis bentuk sekalipun, sila dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu ya!
[embed-health-tool-bmi]