Pernah tak dengar tentang luka diabetes? Ia biasanya dialami oleh individu dengan penyakit kencing manis dan akan mengambil masa untuk sembuh. Malah ia boleh menjadi lebih kronik jika tidak dirawat dengan betul.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Mengapa luka diabetes lambat sembuh?
Pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis akan berdepan dengan situasi luka lambat sembuh. Tetapi mengapakah keadaan ini berlaku?
Bahkan jika tidak ditangani dengan kaedah yang betul, luka diabetes berisiko untuk merebak hingga berakhir dengan pemotongan anggota badan yang terlibat.
Antara sebab mengapa luka lambat sembuh adalah kerana kadar gula dalam darah pada badan pesakit adalah terlalu tinggi, sekali gus merosakkan dan mengganggu fungsi saraf. Ia juga mengurangkan sistem imunisasi badan dan mengakibatkan proses aliran darah menjadi kronik, dan melambatkan proses penyembuhan jaringan sel dan tisu badan yang terluka serta mengalami kerosakan.
Keadaan ini akan mengakibatkan luka akan tetap terbuka, berdarah serta susah untuk disembuhkan. Luka yang sukar untuk sembuh berisiko untuk menyebabkan pesakit lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan kulat, jangkitan bakteria dan gangren.
Bagaimana merawat luka diabetes?
Bagi mengelakkan risiko luka untuk menjadi lebih serius dan kronik, berikut adalah beberapa kaedah rawatan luka bagi pesakit diabetes, iaitu:
-
Bersihkan luka
Luka yang dialami individu dengan penyakit kencing manis perlu dibersihkan segera. Anda boleh memilih untuk membersihkan luka dengan air yang mengalir dan sabun atau sebarang pencuci antiseptik.
Kemudian, pastikan luka itu dilap dengan kering dan sapukan krim sapu antibiotik yang disarankan oleh doktor supaya luka bebas daripada jangkitan kuman.
Pastikan anda kerap menukar kain balutan luka agar ia sentiasa dalam keadaan bersih.
-
Kurangkan tekanan pada luka
Hindari dari memberikan tekanan yang berlebihan pada kawasan atau bahagian yang mengalami luka, seperti dengan mengelakkan pemakaian pakaian yang terlalu ketat.
Mengurangkan tekanan dapat membantu luka untuk lebih cepat pulih dan baik. Jika anda mengalami luka pada bahagian tapak kaki, disarankan untuk menggunakan kusyen lembut atau kasut khas bagi mencegahmasalah yang lebih teruk disebabkan diabetes.
-
Mengawal tahap gula dalam darah
Oleh itu, adalah amat penting untuk mengawal paras gula dalam darah dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat untuk diabetes, senaman, pengambilan ubat antidiabetes, dan suntikan insulin, sekiranya diperlukan.
Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah mengawal dan penjagaan tahap gula dalam darah.
-
Pantau tanda-tanda jangkitan
Jangkitan pada luka boleh berlaku tanpa sebarang simptom. Namun, berikut adalah antara simptom yang mungkin terjadi seperti demam, rasa kesakitan, kemerahan, bengkak atau berasa panas sekitar kawasan yang luka.
Tambahan bagi simptom yang berikut, luka yang mengalami jangkitan juga boleh diklasifikasikan apabila luka menjadi berair, bernanah, diikuti dengan bau yang tidak menyenangkan.
-
Penjagaan pemakanan
Bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka, anda amatlah digalakkan untuk menjaga aspek pemakanan dan pengambilan nutrisi harian anda. Salah satu nutrien penting yang harus diambil setiap hari untuk merawat luka diabetes adalah protein.
Protein dipercayai dapat membantu memperbaiki tisu kulit yang rosak dan tisu badan lain. Keperluan kalori, lemak, serat, vitamin dan mineral seperti zink dan vitamin C juga sama pentingnya.
-
Pemeriksaan doktor
Seandainya luka tidak bertambah baik dalam tempoh masa 48 jam, anda disarankan menghubungi doktor atau mendapatkan pemeriksaan dengan segera.
Jika tidak, ia akan meningkatkan kecenderungan untuk luka menjadi lebih buruk dan sukar untuk diubati.
Mencegah kehadiran luka baru
Terdapat beberapa situasi yang cenderung untuk menyebabkan munculnya luka baru, seperti:
-
Luka diabetes – Memotong kuku
Sekiranya anda adalah penghidap diabetes, maka anda perlu lebih berhati-hati ketika memotong kuku, terutama kepada individu yang pernah mengalami luka di kaki sebelum ini.
Langkah pencegahan ini adalah untuk mengelakkan berlaku sebarang kecederaan dan luka apabila anda memotong kuku.
-
Luka diabetes – Memeriksa kaki
Individu yang mengalami masalah kencing manis biasanya akan kerap mengalami masalah kebas pada kaki. Maka adalah penting untuk anda memeriksa kaki termasuklah tapak kaki anda selepas melakukan sebarang aktiviti atau memakai kasut.
Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang luka-luka kecil, kemerahan atau bengkak yang mungkin tidak anda sedari.
-
Kasut selesa
Untuk mengelakkan luka dan kesakitan pada kaki, anda dinasihatkan untuk sentiasa memakai kasut ketika di dalam atau di luar rumah. Selain itu, sebaiknya pilih dan pakai kasut yang selesa dan mempunyai kusyen pelapik pada bahagian tumit.
Hindari daripada memakai kasut yang terlalu ketat dan keras kerana ia boleh membuatkan kaki anda mengalami luka dan sakit.
-
Jangan merokok
Jika mempunyai sejarah menghidapi diabetes, adalah amat disarankan untuk anda berhenti merokok. Tabiat merokok hanya akan menyebabkan peredaran darah anda terhalang dan mengurangkan aliran oksigen ke seluruh badan.
Hasilnya, jika anda mengalami luka, ia akan menjadi semakin teruk dan proses penyembuhan akan menjadi perlahan.
- Pemeriksaan doktor
Pastikan anda mendapatkan pemeriksaan secara tetap untuk memeriksa kaki dan anggota badan lain bagi mengelakkan sebarang luka diabetik.
Doktor juga dapat memeriksa jika terdapat sebarang tanda awal kerosakan saraf, masalah peredaran yang lemah atau jangkitan luka, agar rawatan awal dapat diberikan segera.
[embed-health-tool-bmi]