backup og meta

Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Ada Insurans Kemalangan Peribadi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 21/12/2021

    Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Ada Insurans Kemalangan Peribadi

    Insurans adalah suatu perkara yang sangat penting bagi setiap individu masa kini. Pun begitu, insurans kemalangan masih kurang popular berbanding insurans kesihatan.

    Sesungguhnya, malang itu adalah tidak berbau dan boleh berlaku tanpa diduga. Disebabkan itu, adalah penting untuk kita semua memiliki insurans kemalangan peribadi.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jenis insurans ini, jom teruskan membaca artikel!

    Apa dia definisi insurans kemalangan?

    Insurans kemalangan peribadi adalah sejenis polisi yang membolehkan anda menerima pampasan akibat kecacatan atau kematian yang disebabkan oleh kemalangan.

    Kemalangan tersebut merangkumi kemalangan yang berlaku di jalan raya, tempat kerja, rumah atau di mana-mana sahaja sehingga menyebabkan mudarat pada diri.

    Contohnya, anda sedang memandu sebuah kereta dan secara tiba-tiba ia hilang kawalan lalu merempuh bahu jalan, lantas menyebabkan kepala anda terhantuk ke stereng.

    Akibatnya, anda koma dan diwadkan di hospital. Ketika ini juga, segala kos rawatan dan ubatan di hospital akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat insurans caruman.

    Persoalannya, apa beza di antara insurans kemalangan ini dengan insurans kesihatan sedia ada?

    insurans kemalangan

    Apa beza dengan insurans kesihatan?

    Insurans kesihatan umum adalah sejenis skim yang membolehkan anda menerima pampasan jika mendapat penyakit namun dengan beberapa pengecualian khas.

    Pengecualian tersebut merangkumi jenis-jenis penyakit bersifat kritikal yang sudah lama dialami seperti kanser, diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain.

    Insurans kemalangan pula adalah sejenis skim yang membolehkan anda menerima pampasan jika terlibat dalam sebarang kemalangan dan membawa kemudaratan.

    Perbezaannya adalah insurans kemalangan mungkin tidak akan membayar sebarang pampasan jika anda mendapat penyakit yang bukan akibat daripada kemalangan.

    Disebabkan itu, anda mungkin perlu mencarum kedua-duanya bagi menerima semua manfaat ini!

    Apa manfaat yang anda akan terima?

    Sebagai pencarum di dalam skim insurans kemalangan, terdapat pelbagai manfaat yang anda boleh terima dan manfaat tersebut dibahagikan mengikut kesannya:

    Kematian akibat kemalangan

    Jika pemegang polisi meninggal dunia di dalam kemalangan, maka si penama yang biasa terdiri daripada ahli keluarga atau pasangan akan menerima pampasan.

    Pampasan tersebut akan dibayar secara lump sum dalam jumlah yang telah ditetapkan di dalam polisi, bergantung kepada terma dan syarat syarikat insurans.

    insurans kemalangan

    Keilatan akibat kemalangan (total)

    Sekiranya kemalangan itu mengakibatkan kecacatan kekal yang penuh, maka mangsa akan menerima pampasan seumur hidup bergantung kepada tahapnya.

    Sebagai contoh, manfaat ini akan diterima jika mangsa kehilangan deria penglihatan kedua-dua belah mata serta deria pendengaran kedua-dua belah telinga

    Keilatan akibat kemalangan (partial)

    Sekiranya kemalangan itu mengakibatkan kecacatan kekal bersifat separuh, maka mangsa juga menerima pampasan seumur hidup bergantung kepada tahapnya.

    Sebagai contoh, manfaat ini akan diterima jika mangsa kehilangan deria penglihatan di sebelah mata sahaja serta deria pendengaran di sebelah telinga sahaja.

    Wujudkah sebarang manfaat yang lain?

    Selain daripada pampasan berbentuk kewangan akibat kematian atau kecacatan, pemegang dan penama polisi juga mungkin akan menerima manfaat dari bentuk yang lain.

    Antaranya adalah manfaat pengangkutan di mana syarikat insurans akan membayar belanja ahli keluarga atau pasangan bergerak ke hospital mangsa ditempatkan.

    Selain itu, wujud juga manfaat pendidikan, pekerjaan dan pengebumian di mana segala perbelanjaan untuk tujuan tersebut akan dibiaya oleh syarikat insurans.

    Pun begitu, ketahuilah bahawa segala manfaat ini adalah bergantung kepada jenis skim, syarikat dan syarat yang anda carum. Jadi, sila carum dengan lebih bijak.

    insurans kemalangan

    Jangan pandang remeh insurans kemalangan!

    Konklusinya, anda yang berfikir bahawa insurans kesihatan sahaja sudah cukup di saat kecemasan mungkin perlu berfikir semula kerana malang itu tidak berbau.

    Seandainya anda terlibat dalam kemalangan yang menjadi asbab anda meninggal dunia atau ilat seumur hidup, insurans ini mampu membantu anda dan insan tersayang.

    Oleh itu, sila pertimbangkan untuk mencarum di dalam insurans kemalangan atau jenis insurans lain seperti insurans nyawa, harta benda, penyakit kritikal dan lain-lain.

    Jika anda ada sebarang soalan mengenai insurans, sila berhubung dengan ejen atau syarikat insurans berdekatan dengan anda untuk informasi lebih lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 21/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan