backup og meta

TAK SANGKA Mesin Basuh Di Rumah Mungkin Juga ‘Rumah’ Untuk Organisma Lain!

TAK SANGKA Mesin Basuh Di Rumah Mungkin Juga ‘Rumah’ Untuk Organisma Lain!

Kami pasti, semua orang akan mencuci pakaian dengan mesin basuh untuk diguna kembali, dan tiada siapa yang membeli baju baharu setiap hari semata-mata hanya kerana malas mencuci baju. Jika anda mencuci pakaian menggunakan mesin basuh, pakaian anda sememangnya bersih. Tetapi bagaimana pula dengan mesin basuh tersebut? Adakah ia benar-benar berada dalam keadaan yang bersih tanpa kehadiran bakteria

Mesin basuh punca bakteria pada pakaian

Satu kajian menemui mesin pencuci pakaian ini telah menjadi ‘rumah’ bagi patogen seperti bakteria. Mereka mendapati, terdapat patogen yang dijumpai pada pakaian bayi di unit penjagaan rapi neonatal di sebuah hospital kanak-kanak di Jerman. 

Pakaian bayi tersebut telah dicuci di bilik dobi hospital terbabit.

Bilik dobi hospital itu menggunakan mesin membasuh pakaian biasa seperti yang digunakan di kebanyakan rumah berbanding mesin pencuci industri yang mempunyai suhu yang tinggi bagi mencuci pakaian bayi.

Mujurlah bayi di unit tersebut hanya terdedah kepada patogen Klebsiella oxytoca yang rintang terhadap ubat, tetapi tidak dijangkiti.

Mengapa boleh ada bakteria dalam mesin ini?

mesin basuh

Terdapat satu persoalan yang melingkari penemuan ini. Sekiranya masalah bakteria tersebut berpunca daripada mesin membasuh pakaian biasa, adakah pengguna perlu risau berkenaan bakteria berbahaya yang ada dalam mesin di rumah?

Menurut Dr. Amesh Adalja, seorang sarjana di Johns Hopkins Center for Health Security di Maryland, mesin basuh tersebut berada di persekitaran sebuah hospital, disebabkan itu ia terdedah kepada sejumlah bakteria.

Menurut beliau lagi, bakteria tersebut bersifat rintang dan boleh menyebabkan jangkitan yang teruk. Walau bagaimanapun, ia masih memerlukan hos yang mudah terdedah kepadanya. 

Di sebalik teori tersebut, terdapat satu lagi teori lain berkenaan punca bakteria berada dalam mesin basuh tersebut. Ia dikemuka oleh pengarang utama kajian tersebut yang juga seorang doktor di Institute for Hygiene and Pubic Health, University of Bonn, Jerman, Dr. Ricarda M. Schmithausen.

Menurut beliau, mesin membasuh pakaian pada zaman sekarang menumpukan kepada konsep jimat tenaga dan melakukan pencucian pada suhu yang lebih rendah, iaitu pada suhu bawah daripada 60 darjah Celsius.

Ini bermakna, banyak bakteria masih mampu bertahan hidup dalam mesin basuh tersebut disebabkan oleh suhunya yang sesuai untuk bakteria tersebut.

Tambahan lagi, kumpulan penyelidik juga menemui lokasi pembiakan bakteria pada bahagian penutup getah mesin basuh tersebut, yang kemudiannya menyebar semasa proses membilas pakaian dilakukan. 

Bakteria dalam mesin: Sedikit yang berbahaya, sedikit pula tidak

mesin basuh

Menurut Dr. Bruce Hirsch, sesetengah bakteria diketahui memberikan risiko terhadap kesihatan manakala sebahagiannya lagi tidak berbahaya.

Bagi individu yang menggunakan air biasa atau air suam bagi mencuci pakaian, sesetengah kuman mungkin akan tertinggal pada pakaian dan kemungkinan keberadaan bakteria berbahaya dalam mesin basuh untuk menyebabkan penyakit adalah sangat terpencil.

Walau bagaimanapun, bagi individu atau mana-mana ahli keluarga yang pernah dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang panjang, pakaian perlu dicuci dengan menggunakan air panas dan dikeringkan dengan mesin pengering dengan waktu yang lebih lama.

Ini bertujuan untuk menyingkirkan atau membunuh bakteria yang mungkin akan menjejaskan kesihatan individu tersebut.

Saranan untuk mencuci mesin basuh

Hilary Metcalf yang berkhidmat di Mission Hospital, California menyatakan, bakteria cenderung untuk berkembang biak di tempat serbuk pencuci, penutup getah dan drum pencuci.

Beliau turut mencadangkan agar kita sentiasa mencuci mesin sekurang-kurangnya sekali setiap bulan. Selain itu, untuk tujuan membunuh kuman, sesetengah pakar mencadangkan agar kita mengelap mesin basuh dengan menggunakan bancuhan peluntur dan air dengan nisbah 1:9.

Bagi mereka yang tidak pernah mencuci mesin basuh anda, anda boleh mula mencuci bermula bulan ini. Bukan sahaja mesin anda bersih, pakaian anda juga akan menjadi lebih bersih daripada sebarang kuman atau bakteria berbahaya.

Bukan hanya kotoran yang perlu dihilangkan, tetapi kuman juga perlu disingkirkan. 

Baca juga:

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.healthline.com/health-news/are-bacteria-hiding-in-your-washing-machine

https://www.sciencedaily.com/releases/2019/09/190927135202.htm

Versi Terbaru

29/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

5 Deodoran Popular Untuk Wanita, Tak Melekit, Cepat Kering & Hilangkan Bau Ketiak!

Malu Ketiak Gatal Dan Menghitam? Jangan Risau, Kami Ada Solusinya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 29/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan