Malunya, kenapa ketiak gatal dan menghitam, tak seperti orang lain? Adakah cara menghilangkan ketiak hitam dengan cepat?
Jika anda mengalami masalah ini, teruskan pembacaan. Kami akan jelaskan mengapa ada orang yang mempunyai ketiak gelap dan apakah punca utama masalah ini berlaku.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
Mengapa ketiak gatal dan menghitam?
Masalah ketiak hitam dan gatal berlaku disebabkan acanthosis nigricans. Ia menyebabkan kulit di kawasan ketiak, celah leher dan kelangkang lebih gelap berbanding kawasan lain.
Selalunya, acanthosis nigricans berlaku kepada penghidap obesiti dan kencing manis. Malah, penghidap diabetes juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mempunyai ketiak hitam dan gatal.
Ia juga boleh menandakan penyakit yang lebih serius seperti kanser perut atau hati, namun ini sangat jarang berlaku.
Ketiak gatal dan menghitam bukanlah satu perkara yang boleh mendatangkan masalah kesihatan. Namun, bagi sesetengah orang, ia boleh menimbulkan masalah keyakinan diri.
Selain kencing manis, masalah ketiak gelap juga boleh berlaku kepada:
1. Penghidap obesiti
Mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan selalunya lebih rintang terhadap kesan insulin.
Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal kadar gula dalam darah. Kadar gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan badan menghasilkan lebih banyak sel pigmen (warna) kulit.
Menurut statistik, hampir separuh orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan mengalami masalah ketiak gatal dan menghitam.
2. Masalah hormon sebabkan ketiak gatal dan menghitam
Selain itu, terdapat beberapa masalah hormon yang boleh menganggu tahap insulin badan. Kesannya, mereka yang mempunyai gangguan hormon tertentu mungkin bergelut dengan masalah bawah lengan yang gelap.
Antara sindrom hormon yang mungkin menjadi punca ialah:
-
- Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
- Sindrom Cushing
- Acromegaly
- Hipotiroidisme
3. Pengambilan ubat-ubatan tertentu
Dalam pada itu, pengambilan ubat tertentu juga boleh menyebabkan tahap insulin meningkat. Antaranya:
- Kortikosteroid
- Pil perancang
- Hormon tumbesaran
- Niacin dalam dos yang tinggi
Cara menghilangkan ketiak hitam dengan cepat
Menurut pakar kulit, Dr. Alok Vij, ketiak gatal dan menghitam bukanlah tanda penyakit yang serius. Bagaimanapun, ia mungkin terjadi disebabkan penggunaan produk yang salah.
Ada banyak cara merawat ketiak gatal dan gelap dengan kos yang rendah. Sebagai permulaan, anda boleh:
1. Kurangkan penggunaan produk yang tidak penting
Masalah ketiak hitam boleh berlaku disebabkan iritasi akibat produk yang anda gunakan setiap hari. Oleh itu, cuba kurangkan penggunaan produk yang anda guna pada kawasan ketiak.
Selain itu, pilih produk yang sesuai untuk kulit sensitif. Elakkan penggunaan deodoran yang mempunyai pewangi, pewarna tiruan atau pengawet.
2. Gunakan bahan semula jadi
Salah satu bahan yang mungkin dapat membantu mencerahkan ketiak adalah lemon. Anda boleh hiris lemon dan sapukan jusnya pada bawah ketiak. Tunggu sepuluh minit sebelum bilas.
Lemon mengandungi asid sitrik yang dapat menanggalkan sel-sel mati pada permukaan ketiak. Ia mungkin dapat mengurangkan masalah ketiak hitam dan gatal. Bagaimanapun, bukan semua bahan dapat mencerahkan bawah lengan.
Oleh itu, hati-hatilah ketika mencuba sebarang tip memutihkan ketiak yang menggunakan bahan tertentu. Berhenti gunakan bahan tersebut sekiranya kulit anda mengalami kerengsaan atau rasa pedih.
3. Sapu pelembap selepas bercukur
Aktiviti bercukur atau mencabut buku ketiak juga boleh menyebabkan kawasan bawah lengan menjadi gelap. Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggunakan pelembap selepas bercukur.
Selain itu, anda juga boleh gunakan krim pencukur (shaving cream) sebelum bercukur sekiranya kulit anda lebih sensitif.
Elakkan penggunaan sabun wangi pada kawasan ketiak kerana ia boleh menyebabkan bawah lengan menjadi semakin gelap.
4. Berbincang dengan doktor
Akhir sekali, jika semuanya tidak berkesan, anda boleh berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
Pakar boleh memberikan anda losyen atau krim yang mengandungi niasiamida, retinol, asid kojik atau hydroquinone.
Produk-produk ini mungkin dapat membantu anda mengembalikan keyakinan diri yang hilang akibat masalah ketiak hitam dan gatal.
- Pastikan berat badan dalam julat yang sihat
- Guna losyen atau pelembap pada kawasan ketiak
- Berbincang dengan doktor mengenai pengambilan ubat-ubatan tertentu
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Masalah ketiak gatal dan menghitam jarang sekali menjadi tanda penyakit tertentu.Bagaimanapun, jika kawasan bawah lengan anda membengkak dan gatal-gatal, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Selain itu, pastikan anda perhatikan juga simptom lain, misalnya kitaran haid yang tidak menentu atau penambahan berat badan secara tiba-tiba. Semua ini adalah tanda penyakit PCOS.
Selain itu, mereka yang mempunyai ketiak hitam disebabkan obesiti digalakkan untuk berjumpa doktor bagi diagnosis pra diabetes atau kencing manis.
Walaupun masalah bawah lengan hitam hanyalah satu isu kosmetik semata-mata, ia juga boleh menjadi tanda penyakit tertentu.
Tidak salah jika anda ingin berjumpa doktor untuk sesi konsultasi bagi mendapatkan kepastian.
[embed-health-tool-bmi]