Ingin Lebih Bahagia Pada Tahun 2020? Singkirkan 6 Perkara Ini

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 16/01/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Setiap kali tiba tahun baru, pasti kita semua impikan kebahagiaan dan kegembiraan yang berpanjangan. Tetapi adakah anda tahu cara untuk lebih bahagia pada tahun 2020? Teruskan membaca perkongsian artikel ini.

Segalanya baru

Anda, kita dan hampir kebanyakan daripada individu yang ada di muka bumi ini pastikan akan memulakan bulan Januari di tahun baru dengan resolusi baru. Biasanya azam yang dicipta itu adalah sesuatu yang drastik bagi menjadikan kehidupan lebih sihat dan baik.

Tetapi secara hakikatnya, kebanyakan keazaman tahun baru yang dicipta itu biasanya tidak realistik, malahan tidak akan berjaya. Namun, ia tidak mengapa. Jika ia boleh membuatkan anda lebih bersemangat menempuhi tahun baru, tiada salahnya, bukan?

Walau bagaimanapun, ada pakar berpendapat untuk menjadi lebih bahagia dan gembira, terdapat beberapa perkara dalam kehidupan yang perlu disingkirkan. Ingin tahu apakah perkara-perkara tersebut? 

Singkirkan 6 perkara untuk lebih bahagia

Menurut jurulatih bertauliah dan pemilik Optix Communications di San Antonio, Olecia Christie, tahun baru akan menawarkan peluang dan perubahan yang baru dalam kehidupan, sementara kenangan masa lalu hanya akan membebankan dan menyukarkan diri untuk memulakan langkah baru. 

“Oleh sebab itu adalah penting untuk seseorang individu menyedari apabila sudah tiba masanya untuk melepaskan perkara-perkara yang tidak lagi akan menyumbang kepada kebahagiaan dan kegembiraan diri kita,” jelas Olecia lagi .

Jadi berikut adalah antara enam perkara yang boleh anda pertimbangkan serta singkirkan dalam kehidupan untuk memulakan tahun baru dan menjadi lebih bahagia, iaitu:

  • Membandingkan diri dengan individu lain di media sosial

Apabila melihat apa sahaja yang dipaparkan di media sosial terutamanya status atau perkongsian gambar oleh mana-mana individu yang dikenali, seperti di Facebook dan Instagram, pasti akan wujud rasa “kehidupan semua individu adalah baik, kecuali diri sendiri”, betul tak?

Bagi pakar terapi keluarga dan perkahwinan yang bertauliah di The Zinnia Practice di California, Ibinye Osibodu-Onyali, apa yang anda lihat itu adalah cuma peristiwa yang ingin dipaparkan kepada umum. Membandingkan kehidupan seharian anda dengan sekadar satu gambar tersebut, tidak langsung mendatangkan kepentingan dalam hidup anda. 

Ibinye mencadangkan daripada membuang masa melihat sesuatu yang hanya akan menimbulkan rasa cemburu, lebih baik anda menjalinkan hubungan dengan individu yang anda kagumi. Hantarkan DM (direct message) untuk meminta nasihat dan bimbingan. Ia pastinya akan memberikan anda lebih ramai kenalan baru yang tidak pernah anda sangka.

  • Dibatasi rasa ketakutan untuk melakukan sesuatu

Menurut pengarah klinikal dan pengasas The Soho Center for Mental Health Counseling di New York, Anthony Freire, untuk melepaskan rasa takut, malu dan rasa bersalah, perkara utama yang perlu anda lakukan adalah untuk mencari kekuatan utama. 

Sudah tentu anda tidak mahu kehidupan anda menjadi sia-sia hanya kerana anda diselubungi rasa bersalah, ketakutan dan malu, sehingga menghalang anda untuk lebih maju ke hadapan, bukan? Anda boleh mencuba untuk menyelami diri anda dan mengenal pasti kekuatan yang ada pada diri anda, untuk membolehkan mencapai kejayaan yang anda inginkan.

  • Bimbang tentang perkara yang tidak boleh dikawal

Mustahil untuk anda tidak berasa bimbang atau menyingkirkan tekanan yang dihadapi terus dari hidup anda. Ini kerana kedua-dua perasaan itu; bimbang dan tekanan, adalah sebahagian dalam kehidupan yang normal. 

Tetapi menurut Ibinye, anda boleh memfokuskan pemikiran anda mengenai perkara yang boleh anda ubah. Senaraikan perkara yang anda bimbangkan dan catatkan apa yang boleh anda ubah dan apa yang tidak boleh diubah. 

Fokuskan kepada perubahan yang boleh dilakukan, manakala selebihnya lepaskan daripada bebanan fikiran anda. Ini sudah tentu secara tidak langsung akan menjadikan kehidupan anda lebih bahagia dan gembira.

Mungkin anda akan mengatakan sudah tentu ia lebih mudah untuk dilafazkan daripada dilakukan. Namun, jika anda tidak mencubanya, anda tidak akan tahu sama ada anda boleh melakukannya atau tidak. 

Walau bagaimanapun, jika terdapat perkara yang menyebabkan kebimbangan secara berlebihan, mungkin anda perlu mendapatkan bantuan profesional. Ini kerana ia mungkin boleh menjadi simptom kegelisahan (anxiety).

  • Dendam lama

Ada kajian mengatakan, dendam atau kemarahan yang dipendam terlalu lama boleh menjadi toksik kepada kesihatan dan mental. Cara yang terbaik untuk mengelakkan perkara ini adalah sama ada dengan memperbaiki hubungan yang tegang atau terus menyingkirkan hubungan yang sudah tidak boleh diselamatkan. 

Ia mungkin sukar untuk melupakan apa yang pernah berlaku, tetapi ia pastinya sesuatu yang lebih baik untuk dapat menyingkirkan perkara yang hanya akan menyebabkan anda berasa marah dan tertekan. Pilihlah untuk melepaskan dendam dan kemarahan untuk maju ke hadapan.

  • Apa yang difikirkan individu sekeliling 

Ada ungkapan yang mengatakan ‘apa yang individu lain fikirkan tentang anda bukanlah urusan anda.’ Ini kerana sukar untuk kita menentukan atau mengehadkan apa yang boleh difikirkan oleh individu lain atau tidak. 

Apa yang penting adalah anda mengetahui dan mengenali diri, nilai dan kekuatan anda supaya anda tidak terpengaruh dengan pemikiran individu sekeliling anda. Biarkan apa yang difikirkan oleh individu lain, sama ada mereka sukakan anda atau tidak. 

Dalam dunia ini, anda tidak boleh membuatkan semua individu untuk menyukai anda dan percayalah dunia dan kehidupan anda tidak akan berakhir hanya kerana terdapat segelintir individu yang tidak menyukai anda. Anda akan lebih bahagia dengan memikirkan tentang mereka yang menyayangi anda seadanya. 

  • Keinginan untuk sentiasa di pihak yang betul

Setiap kali timbul perbalahan, salah faham mahupun sengketa, pastinya kita akan cuba untuk berhujah bagi membuktikan kita di pihak yang betul, bukan? Tetapi adakah anda sedar, perbuatan ini hanya akan menyebabkan anda lebih mengalami tekanan?

Menurut Anthony, seringkali perbalahan itu akan menyebabkan kita melafazkan sesuatu yang akan kita sesali nanti. Malahan, ada kalanya, salah faham dari punca yang remeh boleh membuatkan kita terjebak kepada persengketaan yang lebih besar.

Sebaliknya, cuba untuk mencari penyelesaian terbaik. Mungkin perbalahan, salah faham atau persengketaan yang wujud itu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum masalah lain dapat diatasi. Ia dapat membantu untuk melepaskan keinginan untuk sentiasa berada di pihak yang betul. 

Konklusinya 

Enam perkara yang dinyatakan di atas tampak sukar dan mencabar untuk dilakukan. Tetapi percayalah, apabila anda berjaya melakukannya, ia pastinya sesuatu yang berbaloi dan dapat membantu membuatkan anda lebih bahagia dan gembira dalam mengharungi hari-hari mendatang pada tahun baru ini. Selamat mencuba!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    menjadi-individu-lebih-gembira

    Ketahui Cara Menjadi Individu Lebih Gembira Tahun 2020

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 09/01/2020 . 4 minit bacaan