backup og meta

Kulit Terdedah Kepada Cahaya Matahari, Baik atau Buruk?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/07/2020

    Kulit Terdedah Kepada Cahaya Matahari, Baik atau Buruk?

    Sinar ultraviolet daripada pendedahan matahari telah dikenalpasti sebagai penyebab utama kanser kulit. Walau bagaimanapun, pendedahan cahaya matahari adalah penting untuk penghasilan vitamin D, yang dapat melindungi daripada kanser dalaman dan beberapa penyakit lain. Oleh itu, ramai yang berada dalam dilema, patutkah kita meningkatkan atau mengurangkan pendedahan kepada matahari? Untuk membuat keputusan yang tepat, ketahui kebaikan dan keburukannya.

    Kebaikan cahaya matahari

    Pendedahan kepada cahaya matahari membantu badan menghasilkan vitamin D kerana sangat sedikit makanan yang mengandungi vitamin ini. Vitamin D boleh didapati dalam daging ikan berlemak seperti salmon, tuna, dan makarel serta minyak hati ikan (fish liver oil). Sejumlah kecil vitamin D boleh didapati dalam hati, keju, dan kuning telur manakala cendawan mempunyai kandungan vitamin D yang berbeza berdasarkan jenisnya. Vitamin D memudahkan penyerapan kalsium dan fosfat yang penting untuk tulang, gigi dan otot yang sihat. Vitamin D yang mencukupi mencegah banyak penyakit, termasuk kanser, penyakit jantung dan penyakit autoimun.

    Dalam perbandingan kajian yang dilakukan pada tahun 2014, pesakit kanser payudara dengan tahap vitamin D yang tinggi (lebih daripada 32ng / mL) pada masa diagnosis mempunyai kadar kematian separuh daripada pesakit yang mempunyai tahap vitamin D yang rendah ( kurang daripada 14ng / mL). Kanser kolorektal, kanser prostat, kanser pundi kencing dan Non-Hodgkin Lymphoma juga dilaporkan mendapat manfaat daripada pendedahan kepada cahaya matahari.

    Pendedahan kepada matahari juga dikaitkan dengan pengurangan tekanan darah tinggi disebabkan nitrat oksida yang diransang oleh sinar UV. Nitrogen oksida yang terdapat pada kulit manusia didapati bergerak kepada saluran darah apabila tubuh terdedah kepada sinar UVA. Nitrik oksida dikenali sebagai ejen mengendurkan saluran darah, seterusnya menyebabkan pengurangan tekanan darah.

    Selain vitamin D dan nitrik oksida, pendedahan kepada matahari didapati menggalakkan pengeluaran melatonin, serotonin dan mengatur kitaran circadian, jam biologi tubuh manusia. Ini seterusnya, akan menggalakkan waktu tidur yang lebih baik dan kesejahteraan emosi.

    Keburukan cahaya matahari

    Kesan buruk pendedahan kepada cahaya matahari termasuklah perkembangan kanser kulit dan penuaan pada kulit. Wanita yang mengalami selaran matahari melepuh sebanyak lima kali atau lebih di antara umur 15 dan 20 tahun, memiliki risiko melanoma yang lebih tinggi, iaitu kanser kulit paling agresif sebanyak 80% berbanding wanita yang tidak mengalaminya.

    Melanoma adalah kanser kulit yang timbul dari melanosit, sel-sel yang mengawal pigmentasi kulit. Selain kemungkinan faktor genetik, sinar ultraviolet daripada pendedahan cahaya matahari boleh mendorong pembentukannya. Kanser kulit lain seperti karsinoma sel skuamosa dan karsinoma sel basal juga boleh dikaitkan dengan pendedahan cahaya matahari.

    Patutkah saya mengehadkan atau meningkatkan pendedahan kepada cahaya matahari?

    Kanser kulit dan penuaan mungkin membuatkan anda risau untuk selalu mendedahkan diri kepada cahaya matahari. Tetapi kaitan antara melanoma dan sinar ultraviolet adalah lebih kompleks daripada yang anda fikirkan. Pendedahan kepada matahari tanpa berlakunya selaran matahari dikaitkan dengan pengurangan risiko melanoma, sementara selaran matahari meningkatkan risiko melanoma sehingga dua kali ganda. Malah, kajian mendapati pekerja di luar yang terdedah kepada matahari sebenarnya kurang mengalami melanoma berbanding mereka yang bekerja di dalam bangunan.

    Oleh itu, kesederhanaan adalah kuncinya. Tanpa pendedahan cahaya matahari yang mencukupi, anda akan terlepas manfaatnya dan berisiko mengalami kekurangan vitamin D. Apa yang perlu anda lakukan adalah mengambil langkah pencegahan yang betul sewaktu mendedahkan diri anda di bawah sinar matahari. Gunakan krim pelindung matahari untuk melindungi diri daripada sinar ultraviolet dan lembapkan kulit anda secukupnya untuk mencegah kerosakan kulit disebabkan pendedahan kepada matahari.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan