backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Risau Nak Pakai Deodoran Pada Ketiak, Benarkah Ia Penyebab Kanser Payudara?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/10/2020

    Risau Nak Pakai Deodoran Pada Ketiak, Benarkah Ia Penyebab Kanser Payudara?

    Mungkin anda pernah mendengar mengenai dakwaan bahawa antiperspirant atau deodoran boleh menyebabkan kanser payudara. Adakah dakwaan atau teori ini benar-benar tepat atau sekadar cakap-cakap orang? Ikuti penulisan di bawah untuk mencari jawapannya.

    Apa itu antiperspirant/deodoran?

    Antiperspirant adalah sejenis bahan penyembur yang digunakan pada ketiak untuk mengurangkan perpeluhan dengan cara menyekat pori peluh. Walaupun deodoran juga digunakan dibawah ketiak, tetapi ia tidak menyekat pori peluh, hanya sekadar mengurangkan bau yang kurang menyenangkan.

    Adakah terdapat perkaitan antara penggunaan antiperspirant/deodoran dengan kanser payudara seperti yang digembar-gemburkan?

    Beberapa saintis mencadangkan bahawa kedua-dua produk mungkin mempunyai bahan kandungan yang berbahaya dan penggunaannya pada ketiak yang berdekatan dengan payudara mungkin akan menyebabkan risiko pada payudara. Walau bagaimanapun, tidak terdapat bukti saintifik yang menyatakan penggunaan kedua-dua produk itu boleh merisikokan payudara manusia kepada kanser payudara. 

    Adakah penggunaan antiperspirant selepas bercukur akan membuatkan bahan kimia boleh memasuki tubuh badan melalui ketiak dan meningkatkan risiko payudara?

    Luka akibat pisau cukur atau mata cukur mungkin akan memberikan risiko jangkitan kulit. Sekiranya kulit ketiak anda sudah terluka atau dijangkiti, berkemungkinan sesetengah antiperspirant boleh menyebabkan sedikit iritasi pada kulit anda. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu sumber utama karsinogen (bahan penyebab kanser) yang memasuki tubuh dan menyebabkan kanser payudara. 

    Adakah saya perlu berhati-hati dengan kandungan aluminium dalam antiperspirant?

    Untuk makluman anda, bahan berasaskan aluminium adalah sejenis bahan aktif dalam antiperspirant. Ia berfungsi menyekat kelenjar peluh untuk mengelakkannya keluar ke permukaan kulit. 

    Sesetengah kajian menyatakan bahawa sebatian aluminium ini mungkin diserap oleh kulit dan menyebabkan perubahan pada reseptor estrogen sel payudara. Memandangkan estrogen ini boleh menggalakkan pertumbuhan kedua-dua sel payudara kanser dan bukan kanser, sesetengah saintis mencadangkan bahawa penggunaan antiperspirant yang mempunyai sebatian berasaskan aluminium mungkin menjadi faktor risiko pembentukan kanser payudara.

    Walau bagaimanapun, tidak jelas berapa banyakkah jumlah aluminium yang diserap oleh kulit. Satu kajian yang melihat kepada wanita yang mempunyai kanser payudara mendapati, tidak terdapat perbezaan yang jelas berkenaan kepekatan aluminium antara sel kanser dan sel normal yang lain. Ini membuktikan bahawa kedua-dua sel kanser dan bukan kanser pada payudara tidak mempunyai kandungan aluminium yang berbeza. Oleh itu, tidak terdapat sebarang perkaitan yang jelas berkenaan antiperspirant yang mengandungi aluminium dan pembentukan kanser payudara.

    Saya masih tidak yakin, adakah antiperspirant atau deodoran benar-benar tidak menyebabkan kanser payudara?

    Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati, tidak terdapat sebarang peningkatan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita yang menggunakan antiperspirant dan deodoran pada ketiak mereka. Selain itu, hasil kajian tersebut turut menunjukkan, tidak terdapat peningkatan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita yang menggunakan pisau cukur bersama-sama dengan antiperspirant atau deodoran selepas bercukur. 

    Masih tidak yakin? Kajian lain yang diterbitkan pada tahun 2006 juga menyatakan hal yang sama. Kajian tersebut mendapati bahawa, tidak terdapat perkaitan antara penggunaan antiperspirant dan risiko kanser payudara. 

    Memandangkan hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa deodoran dan antiperspirant selamat untuk dipakai, oleh itu, gunakanlah deodoran setiap kali selepas mandi untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan. Anda mungkin tidak menyedari sebarang bau tersebut memandangkan ia merupakan bau badan anda sendiri, tetapi rakan-rakan anda pasti menyedari perubahan bau udara di persekitaran mereka. Kasihanilah rakan-rakan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan