Nak Kulit Wajah Sentiasa Cantik? Ini Pencuci Muka Yang Terbaik Mengikut Jenis Kulit Anda!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/08/2020 . 9 minit bacaan
Share now

Pemilihan pencuci muka yang bersesuaian amatlah penting mengikut jenis kulit anda, tidak kira sama ada anda memiliki jenis kulit kering atau keadaan kulit yang berminyak. Pencuci muka bukan sahaja bertujuan untuk menghilangkan kekotoran dan minyak berlebihan di kawasan muka, malah ia turut bertindak sebagai pelembap kulit agar tidak terlalu kering selain tujuan lain seperti mengecilkan pori-pori muka dan menyeimbangkan tona kulit wajah. Ikuti penulisan di bawah untuk mengetahui jenis-jenis pencuci muka yang terdapat di pasaran, tips memilih pencuci muka dan kesalahan yang sering dilakukan ketika mencuci muka.

Kenal pasti jenis kulit anda terlebih dahulu sebelum memilih pencuci muka

Sebelum membuat sebarang pilihan mengenai produk pencuci muka, adalah amat penting untuk anda mengetahui jenis kulit muka anda terlebih dahulu agar produk yang dipilih adalah bersesuaian dengan keadaan kulit wajah anda. Secara umumnya, terdapat lima jenis kulit muka:

  • Normal: Seimbang daripada aspek kelembapan kulit, minyak dan ketahanan.
  • Berminyak: Kulit kelihatan berminyak dan berkilat selepas beberapa jam dicuci. Pilih pencuci muka dengan pH rendah (acidic) untuk memudahkan proses penyingkiran minyak.
  • Kering: Liang roma pada kulit sukar dilihat selepas beberapa jam muka dicuci. Elakkan pencuci muka yang mengandungi kandungan alkohol dan minyak kerana ia akan menyebabkan kekeringan pada kulit muka.
  • Sensitif: Kulit akan sering berasa gatal ataupun tegang selain mudah mengalami reaksi alahan apabila terkena bahan kimia tertentu. Elakkan pencuci muka yang mengandungi pewangi (fragrance), minyak atau bahan kimia yang boleh merengsakan kulit.
  • Kombinasi: Sebahagian kulit wajah akan berminyak, kebiasaannya pada bahagian zon-T. Sementara bahagian lain adalah kering atau sensitif. Pilih pencuci muka yang lembut pada kulit dan bilas dengan air suam.

Jenis pencuci muka yang biasa terdapat di pasaran

pencuci muka

Terdapat pelbagai pilihan pencuci muka dengan manfaat yang tersendiri di pasaran. Jika anda berasa keliru mengenai pemilihan pencuci muka yang sesuai, kenal pasti jenis kulit anda terlebih dahulu seperti panduan di atas, dan pilih jenis pencuci muka yang sama dengan kehendak kulit anda. Baca label terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian. Berikut merupakan antara jenis pencuci muka yang terdapat di pasaran.

Pencuci muka gel

Pencuci muka ini berwarna jernih dan mempunyai konsistensi seperti gel. Dicipta untuk pembersihan yang mendalam, ia berkesan membersihkan liang roma yang tersumbat, mengeluarkan minyak berlebihan dan membunuh bakteria penyebab jerawat disebabkan kandungannya yang bersifat antiseptik dan pengelupasan. Ia sesuai dengan jenis kulit berminyak dan kombinasi kulit berminyak dan kering.

Pencuci muka krim

Pencuci muka krim biasanya mempunyai konsistensi yang bersifat tebal, berkrim dan mengandungi bahan pelembap. Ia membersihkan kulit anda secara perlahan-lahan tanpa menyingkirkan minyak semula jadi pada muka. Pembersih krim juga boleh didapati dalam bentuk “susu” atau “losyen”. Pencuci muka jenis krim ini amat sesuai dengan jenis kulit kering dan sensitif.

Pencuci muka berbuih

Pencuci muka berbuih adalah jenis pembersih muka ringan dalam bentuk krim atau gel yang bertukar menjadi berbuih. Pembersih jenis ini menyingkirkan minyak berlebihan sepertimana fungsi pembersih muka jenis gel. Ia amat bersesuaian dengan jenis kulit berminyak dan kombinasi antara kulit berminyak dan kulit kering.

Pencuci muka minyak

Membasuh kulit anda dengan minyak mungkin kedengaran sedikit aneh atau pelik, terutamanya jika anda mempunyai kulit berminyak. Tetapi pembersih muka minyak ini adalah cara yang agak lembut untuk menyingkirkan bendasing penyumbat liang roma termasuklah solekan kalis air dan semuanya tanpa mengeringkan kulit anda. Pencuci muka minyak ini sesuai dengan kebanyakan jenis kulit manusia.

Pencuci muka tanah liat

Dikenali dengan kuasa penyerapan yang dimilikinya, pembersih tanah liat ini berfungsi membersihkan kulit anda dengan mengeluarkan minyak dan toksin yang berlebihan daripada liang roma anda. Pencuci jenis ini amat sesuai dengan keadaan kulit berminyak dan kombinasi antara kulit berminyak dan kulit kering.

Pencuci muka micellar

Berasal dari Perancis, micellar bererti molekul minyak kecil yang tergantung dalam air. Pencuci muka micellar berfungsi menarik minyak, kotoran dan solekan. Ia lebih digunakan sebagai medium untuk menanggalkan solekan di wajah dengan pantas. Apabila anda menggunakan jenis pencuci muka ini, anda tidak perlu membilas wajah dengan air. Ia bertindak seperti produk 2 dalam 1 yang mencuci wajah dan membersihkannya. Jenis ini sesuai dengan jenis kulit kering dan sensitif.

Pencuci muka serbuk

Pencuci muka serbuk mungkin kedengaran agak asing kepada anda. Pencuci muka ini akan bertukar menjadi berkrim apabila dicampurkan dengan air. Pencuci muka jenis ini membersihkan kulit anda di samping memberikan pengelupasan yang lembut. Tidak seperti pencuci muka pengelupasan fizikal yang biasa seperti manik dan skrub, pencuci serbuk meluncur licin pada kulit anda, jadi anda boleh menggunakannya setiap hari walaupun jika anda mempunyai kulit sensitif. Ia amat sesuai dengan keadaan kulit yang berminyak dan sensitif.

Sabun buku

Sabun buku sebagai pencuci muka mempunyai kandungan pH yang mesra kulit selain bahan nutrien seperti gliserin dan minyak pati. Sabun buku amat sesuai dengan keadaan kulit yang berminyak dan kombinasi antara kulit berminyak dan kulit kering.

Kain dan span pencuci muka

Pencuci muka seperti ini bersifat lebih fizikal dan diperbuat daripada serat khas yang kebiasaannya dihasilkan daripada tumbuhan. Penggunaan kain ini tidak memerlukan penggunaan pencuci muka biasa untuk menghapuskan kekotoran secara menyeluruh selain turut bertindak menanggalkan sel-sel kulit mati. Ia bersesuaian untuk jenis kulit berminyak dan kombinasi kulit yang berminyak dan kulit yang kering.

Tip memilih pencuci muka yang sesuai dengan kulit wajah anda

pencuci muka

Setiap rutin penjagaan kulit bermula dengan pencuci muka yang baik. Pencuci muka yang baik menghilangkan kotoran dan minyak yang berlebihan, memberikan kulit yang bersih dan jelas untuk produk penjagaan kulit yang lain berfungsi. Walau bagaimanapun, mencari pencuci muka yang sesuai boleh menjadi sangat rumit. Jangan biarkan beratus-ratus jenama dan jenis pencuci muka mengelirukan anda. Pencuci muka yang baik harus dipilih berdasarkan jenis kulit anda.

Jika anda mempunyai kulit yang normal atau berminyak

Pencuci muka berbuih adalah yang terbaik untuk anda kerana bukan sahaja boleh menghilangkan kotoran di permukaan malah dalam liang roma anda. Walau bagaimanapun, pencuci muka yang baik harus memastikan kulit anda kekal licin dan terhidrasi. Banyak pencuci berbuih membersih secara berlebihan, menyebabkan kulit anda berasa tegang dan kering. Anda harus menjauhi produk seperti itu. Rujuk kandungan pencuci muka untuk SLS / SLES dan detergen sulfat lain secara amnya. Bahan-bahan ini biasanya terlalu kuat untuk kulit wajah halus dan boleh menyebabkan minyak semula jadi daripada kulit anda tertanggal, jadi kulit wajah anda terdedah kepada kekeringan dan pengelupasan. Disebabkan itu jugalah, sabun buku tidak disarankan untuk kulit anda. Pencuci dengan bahan detergen yang kuat boleh menyebabkan kulit mengalami keradangan dan juga berjerawat. Pencuci muka yang mengandungi minyak juga merupakan kaedah yang berkesan untuk menghilangkan kekotoran dari kulit anda, terutamanya jika anda gemar menggunakan produk kosmetik kalis air. Adalah lebih baik untuk anda menggunakan minyak yang mengandungi monounsaturated fat seperti minyak jojoba. Minyak yang berat seperti minyak zaitun akan berkemungkinan besar menyumbat liang-liang pori dan menyebabkan jerawat.

Jika anda mempunyai kulit kering atau sensitif

Oleh sebab keupayaan pencuci jenis berbuih membersih secara mendalam, ia biasanya turut melucutkan minyak semula jadi pada kulit kering dan sensitif. Oleh itu, pencuci berkrim atau bersusu lebih sesuai untuk kulit kering/ sensitif kerana direka khas untuk membersihkan kulit secara perlahan-lahan selain tetap mengekalkan hidrasi. Anda disarankan untuk mencari agen penghidratan dalam senarai ramuan pencuci tersebut, seperti asid hyaluronik. Sekiranya kulit anda terlalu sensitif sehingga tidak ada pencuci yang dapat melegakannya, anda boleh mencuba air micellar. Air micellar terdiri daripada micelles, molekul pembersihan minyak kecil. Micelles dapat menarik kotoran dari kulit anda tanpa mengeringkannya. Apa yang perlu anda lakukan adalah merendam beberapa bola kapas dengan air micellar dan lap muka anda sehingga bersih. Anda tidak perlu membilas dengan air selepas menggunakan micellar.

Mitos-mitos yang berkaitan pembersihan muka

Mitos 1: Anda tidak boleh mencuci wajah anda ketika mandi

Apabila anda membasuh wajah anda di bilik mandi, kabus hangat daripada pancuran mandi menggalakkan pengelupasan yang lebih mendalam. Selagi mana anda tidak menggunakan air yang bersuhu panas atau sabun yang agak kuat, pencucian wajah anda semasa mandi di bilik mandi akan lebih menjimatkan masa, menjimatkan air, dan memberi anda pembersihan yang lebih mendalam.

Mitos 2: Anda perlu mencuci wajah anda dua kali sehari

Adakah anda perlu mencuci wajah anda sebanyak dua kali dalam sehari? Ia sebenarnya bergantung kepada jenis kulit anda dan apa yang anda perlukan untuk mencuci. Sebagai contoh, untuk jenis kulit yang kering atau sensitif, anda disarankan untuk membersihkannya sekali pada waktu petang, manakala untuk kulit berminyak, mungkin memerlukan anda untuk membersihkannya sekurang-kurangnya dua kali sehari. Walau bagaimanapun, jika anda melakukan senaman atau memakai solekan yang agak berat, anda dicadangkan untuk mencuci wajah anda sebanyak dua kali iaitu selepas selesai senaman anda dan sebelum anda tidur. Pembersihan wajah sebelum tidur kebiasaannya disyorkan bukan sahaja untuk membuang solekan tetapi juga untuk mengeluarkan kotoran yang terkumpul pada bahagian kulit siang hari. Zarah-zarah kekotoran tersebut boleh menyebabkan kerosakan oksidatif dan menyumbang kepada kerosakan kolagen dan kemunculan kedutan di wajah.

Mitos 3: Pembersihan dua kali dengan menggunakan pembersih berasaskan minyak dan air adalah perlu

Apabila anda melakukan pencucian wajah dengan menggunakan produk berasaskan minyak, anda juga sangat digalakkan untuk menyusulinya dengan produk pencuci wajah berasaskan air. Tetapi, jika anda mencuci wajah anda terlebih dahulu dengan pembersih berasaskan air, anda tidak memerlukan proses kedua yang menggunakan produk berasaskan minyak supaya ia berkesan. Pembersih wajah berasaskan minyak boleh memberi manfaat untuk menghapuskan solekan atau kotoran tertentu. Walau bagaimanapun, ia perlu dibasuh dengan pembersih berasaskan air selepas itu untuk membersihkan baki kotoran yang berkemungkinaan tertinggal pada wajah. Penggunaan pembersih berasaskan air sesuai untuk semua jenis kulit.

Mitos 4: Produk anda hanya berkesan jika wajah anda terasa sedikit terbakar atau tegang selepas menggunakan

Hal ini ternyata tidak benar sama sekali. Apabila kulit berasa terbakar atau mengalami iritasi disebabkan oleh bahan-bahan produk penjagaan kulit, ia akan memberi kesan terhadap lapisan asid pelindung kulit, yang boleh menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan juga berlakunya jangkitan kulit. Walau bagaimanapun, asid dan retinoid tertentu boleh menghasilkan sedikit sensasi terbakar atau tindak balas pengelupasan sehingga kulit telah diselaraskan kepadanya. Secara umumnya, gejala-gejala ini merosot apabila perolehan selular dapat disesuaikan semula oleh bahan aktif. Sekiranya anda tidak pasti sama ada tindak balas kulit anda terhadap sesuatu produk adalah normal atau tidak, hubungi ahli dermatologi sebelum ia digunakan.

Mitos 5: Mencuci muka anda dengan sabun dan air sudah mencukupi

Sabun biasa adalah digunakan bagi membersihkan perkara-perkara biasa sahaja. Sabun biasa akan menanggalkan minyak dan hidrator semula jadi dari kulit anda, yang boleh mengganggu pH kulit anda dan merosakkan lapisan kulit. Hal ini akan menyebabkan kekeringan, kerengsaan, dan kehilangan kelembapan kulit. Sebaliknya, gunakan pembersih muka yang lembut tanpa pewangi yang menawarkan pembersihan secara menyeluruh.

Mitos 6: Scrubbing adalah cara terbaik untuk mendapatkan pembersihan secara mendalam

pencuci muka

Scrubbing atau menggosok dengan kain lap atau sebarang alat mekanikal tidak akan menanggalkan minyak berlebihan atau solekan pada permukaan kulit. Scrubber mekanikal boleh menyebabkan rekahan mikroskopik pada kulit yang dapat meningkatkan risiko reaksi alahan atau kerengsaan kulit. Lama kelamaan, kulit anda bertindak balas terhadap pengelupasan mekanikal yang agresif dengan menghasilkan lebih banyak minyak, yang boleh mengakibatkan penyumbatan liang pori. Ini sering menjadi kitaran ganas. 

Mitos 7: Anda lebih cenderung mendapat jerawat jika anda tidak mencuci wajah anda setiap hari

Walaupun mengekalkan kulit yang bersih boleh membantu mencegah jerawat, terdapat faktor lain seperti genetik dan hormon yang boleh menyebabkan kemunculan jerawat. Sekiranya anda mempunyai kulit yang berminyak dan mudah terdedah kepada pembentukan jerawat, maka anda mungkin mengalami lebih banyak liang yang tersumbat dan kemunculan jerawat jika anda tidak membasuh muka anda dengan kerap. Tetapi, jika anda tidak mempunyai kulit yang berminyak atau mudah terdedah kepada kemunculan jerawat, anda mungkin tidak mendapat jerawat walaupun anda tidak mencuci wajah anda setiap hari.

Mitos 8: Anda tidak boleh menggunakan kain lap untuk mengeringkan wajah anda

Mengeringkan wajah anda dengan kain lap boleh menimbulkan masalah dalam dua situasi: Pertama, jika kain tercemar dengan bakteria, yis, dan kulat; dan kedua, jika keadaan kain yang sangat kasar yang boleh menyebabkan kerengsaan. Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan kain yang lembut, bersih dan kering, dan mengelap wajah anda dengan lembut tanpa menggosoknya dengan kasar, ia bukanlah satu masalah.

Mitos 9: Mencuci wajah anda dengan hanya menggunakan makeup remover pada waktu malam sudah mencukupi

Sekiranya anda melakukan solekan penuh pada siang hari, anda perlu menggunakan tisu pembersih solekan terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya kaedah dalam rutin mencuci wajah anda pada waktu malam. Tisu pembersih menanggalkan sebahagian besar bakteria, kotoran, dan minyak, tetapi juga meninggalkan baki kotoran di permukaan kulit. Ini berpotensi menyebabkan kemunculan jerawat dan kelenjar yang dijangkiti, terutama di sekitar kawasan kelopak mata dan bulu mata. Pembersihan muka yang sesuai memerlukan bilasan berasaskan air untuk membersihkannya secara sepenuhnya.

Mitos 10: Anda tidak perlu mencuci tangan sebelum mencuci muka anda

Walaupun tangan anda tidak kelihatan atau dirasakan kotor, perlu diingat bahawa anda menggunakan tangan anda secara kerap. Kebanyakan individu menggunakan tangan dengan kerap untuk menaip pada papan kekunci dan telefon, atau memandu. Bakteria atau bahan kimia pada permukaan-permukaan ini boleh menyebabkan kerengsaan atau jangkitan pada kulit dan mata, terutamanya dalam kalangan individu yang terdedah kepada ekzema. Jadi, jika anda ingin meminimumkan risiko seperti berikut, adalah penting untuk anda membasuh tangan anda sebelum membasuh muka.

Mitos 11: Anda tidak perlu menanggalkan solekan anda sebelum anda mencuci muka anda

Sekiranya anda tidak memakai terlalu banyak solekan sepanjang hari, sesetengah ahli dermatologi mendapati bahawa pembersih wajah boleh melakukan tugas berganda iaitu dengan menanggalkan solekan sekali gus membersihkan kotoran pada kulit. Walau bagaimanapun, anda digalakkan untuk menanggalkan solekan terlebih dahulu sebagai langkah pertama sebelum mencuci wajah anda. Solekan mempunyai pigmen, bahan pengawet, mineral, dan logam yang seringkali menyebabkan penyumbatan liang-liang anda jika ditinggalkan terlalu lama. Hal ini akan menyukarkan keberkesanan produk pencuci wajah anda untuk masuk ke dalam kulit anda dan memberi kesan yang lebih efektif.

Mencari pencuci terbaik yang sesuai untuk anda akan mengambil sedikit masa. Anda mungkin perlu mencuba beberapa pencuci wajah sebelum menemui pencuci yang sesuai dengan kulit wajah anda. Pastikan anda memberi perhatian kepada tindak balas kulit anda kepada setiap pencuci yang anda cuba untuk memastikan kesesuaiannya. Ringkasnya, pencuci yang baik haruslah membersih dengan baik sambil mengekalkan kelembapan kulit anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Mahu Libatkan Anak Anda Dalam Sukan Lasak? Perhatikan Hal Ini Terlebih Dahulu

    Terdapat satu perkara yang perlu anda perhatikan atau ambil perhatian sebelum melibatkan anak anda bersama dalam sukan lasak. Apa dia?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Keibubapaan, Penjagaan Kanak-kanak 29/10/2019 . 2 minit bacaan

    Kening Sering Gatal? Ketahui Punca Dan Langkah Mengatasinya!

    Pernahkah anda mengalami kening gatal? Jika ya, ia adalah perkara yang normal namun mungkin menunjukkan petanda penyakit. Sila ikuti artikel ini.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Sihat Bergaya 06/10/2019 . 8 minit bacaan

    Tahi Lalat: Benarkah Ia Petanda Kanser Kulit?

    Tahukah anda bahawa tahi lalat sebenarnya mungkin merupakan petanda kanser kulit? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Sihat Bergaya 06/10/2019 . 8 minit bacaan

    Pentingkan Penjagaan Wajah? Ini 11 Perkara Tentang Serum Muka Yang Perlu Anda Tahu

    Selain penjagaan asas seperti mencuci muka dan pelembap, adakah penggunaan serum muka sebagai salah satu langkah dalam rutin penjagaan wajah, penting?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Sihat Bergaya 03/09/2019 . 4 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    leher berkedut

    Leher Berkedut & Menggeleber Akibat Usia? TENANG, Ada 3 Cara Untuk Mengurangkannya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 24/09/2020 . 3 minit bacaan
    penjagaan muka

    MENGEJUTKAN! Madu, Minyak Kelapa- Ini Antara 7 Bahan Yang TIDAK BOLEH Disapu Pada Muka

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 27/08/2020 . 3 minit bacaan
    kulit wajah

    Kulit Wajah Pun Kena Detoks? Kenali Trend Terbaharu Dunia Kecantikan, Skin Fasting! Berkesan Ke?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 20/08/2020 . 3 minit bacaan
    mencuci muka ala korea

    Rahsia Kulit Wajah Cantik Orang Korea, Teknik Double Cleansing, 2x Cuci Muka, Perlu Ke?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 17/07/2020 . 3 minit bacaan