backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

5 Masalah Kesihatan Yang Boleh Timbul Jika Anda Tidak Sunat, Lebih Baik Berkhatan Ya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/04/2020

    5 Masalah Kesihatan Yang Boleh Timbul Jika Anda Tidak Sunat, Lebih Baik Berkhatan Ya!

    Tahukah anda, terdapat beberapa risiko kesihatan yang mungkin akan berlaku jika anda tidak bersunat?

    Ya, bersunat memberikan banyak manfaat kesihatan kepada lelaki dan kaedah bersunat lelaki ini sememangnya disarankan untuk dilakukan.

    Beberapa masalah kesihatan boleh berlaku jika anda tidak bersunat. Namun kebanyakannya boleh dielakkan jika anda mengamalkan kebersihan diri yang optimum.

    Di bawah ini disenaraikan beberapa jenis masalah yang boleh berlaku jika anda tidak bersunat. 

    #1. Fimosis

    tidak bersunat

    Fimosis adalah satu keadaan di mana kulit penutup zakar atau kulup menjadi terlalu ketat, lalu menyebabkan ia tidak dapat ditarik kebelakang kepala zakar.

    Keadaan seperti ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan akan bertambah baik apabila kulup tersebut semakin longgar seiring peningkatan usia.

    Dalam kalangan lelaki dewasa pula, ia biasa berlaku disebabkan oleh penyakit jangkitan seksual. Ia biasanya tidak menyebabkan sebarang simptom dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

    Namun, dalam kebanyakan kes, ia boleh menyebabkan beberapa keadaan seperti berikut:

    • Kesakitan dan kelembutan di sekitar hujung zakar
    • Pembengkakan zakar
    • Pendarahan
    • Parut pada hujung zakar
    • Kesukaran mengawal pembuangan air kecil
    • Jangkitan

    #2. Parafimosis

    Parafimosis adalah satu keadaan di mana kulit kulup tersangkut di bawah kepala zakar dan tidak dapat ditarik balik ke atas.

    Kulit kulup boleh menjadi ketat di sekitar batang zakar lalu menyebabkan pembengkakan dan rasa yang tidak selesa.

    Parafimosis juga boleh menyebabkan cecair berkumpul di kawasan tersebut lalu memburukkan lagi keadaan bengkak yang berlaku. Jika tidak dirawat, ia akan menghalang aliran darah daripada sampai ke hujung kepala zakar.

    Penting untuk anda mendapatkan rawatan perubatan jika keadaan ini berlaku untuk mengelakkan sebarang komplikasi lain.

    #3. Jangkitan kulat atau bakteria

    Jika anda tidak selalu mencuci zakar, bakteria boleh berkumpul pada kulup dan menyebabkan jangkitan. Jangkitan juga boleh berlaku jika terdapat luka kecil pada kulup. 

    Balanitis adalah salah satu daripada jangkitan yang boleh berlaku. Ia adalah keradangan pada kepala zakar dan ia biasanya disebabkan oleh jangkitan yang menjejaskan kulit kulup.

    Simptom-simptom balanitis termasuklah:

    • Kesakitan dan kegatalan pada zakar
    • Pembengkakan pada zakar
    • Kesakitan sewaktu membuang air kecil
    • Pengeluaran bendalir di bawah kulup yang lebih pekat daripada biasa dengan bau yang kurang menyenangkan

    #4. Kecederaan

    tidak bersunat

    Memandangkan kulit kulup ini sering berjuntai melebihi kepala zakar, ia lebih mudah untuk terdedah kepada kecederaan. Sebagai contoh, anda mungkin akan ter’zip’ kulup anda sekali ketika anda cuba menaikkan zip seluar.

    Kecederaan seperti ini boleh merosakkan kulit dan kemungkinan juga pada urethral meatus, iaitu satu tiub yang berada pada hujung zakar.

    Ia boleh menyebabkan sedikit masalah ketika anda membuang air kecil. Ia juga boleh menyebabkan rasa sakit yang agak teruk.

    #5. Jangkitan yis

    Walaupun jangkitan yis lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita, ia juga boleh menjangkiti lelaki yang tidak bersunat di sekitar atau bawah kulit kulup.

    Terdapat pelbagai jenis kulat yang boleh menyebabkan jangkitan termasuklah Candida albicans

    Jangkitan yis kadangkala boleh berlaku tanpa sebarang simptom. Tetapi dalam banyak kes, ia boleh menyebabkan gatal-gatal, sakit dan bengkak pada zakar.

    Ruam dan bintik-bintik juga mungkin akan timbul di sekitar zakar.

    #6. Penyakit jangkitan seksual

    tidak bersunat

    Tahukah anda, mereka yang bersunat mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit jangkitan seksual berbanding lelaki yang tidak bersunat.

    Kaedah bersunat lelaki boleh mengurangkan risiko-risiko berikut:

    • Human papillomavirus (HPV)
    • Herpes pada kemaluan
    • Trikomoniasis (jangkitan yang disebabkan oleh parasit Trichomonas vaginalis)
    • Jangkitan Mycoplasma
    • Sifilis
    • Chancroid
    • HIV

    Kesimpulan

    Kebanyakan masalah yang timbul akibat daripada tidak bersunat ini boleh diatasi jika anda mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi. Antara tip kebersihan yang boleh anda amalkan ialah:

    • Cuci kulup anda setiap hari dengan menggunakan air suam
    • Elakkan penggunaan produk pencuci seperti sabun atau sabun mandian di kawasan tersebut
    • Selalu bertukar pakaian dalam
    • Elakkan penggunaan bedak talkum atau deodoran pada zakar

    Dengan ini, zakar anda akan menjadi lebih bersih dan tidak mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

    Paling penting, amalan kebersihan seperti ini dapat menjauhkan anda dari risiko pelbagai penyakit seperti yang telah disenaraikan di atas.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/04/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan