
Ekzema Tak Kunjung Pulih? Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Penggunaan Probiotik
Ekzema adalah masalah kulit yang merangkumi kegatalan, kemerahan dan keradangan sehingga boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Selain rawatan yang disarankan oleh doktor, penggunaan probiotik turut menjadi antara pendekatan yang sedang dikaji bagi membantu menyokong sistem imun dan kesihatan usus.
Namun, yang menjadi persoalannya di sini, sejauh manakah ia berkesan dalam merawat masalah ekzema?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Apa itu ekzema?
Ekzema, juga dikenali sebagai dermatitis atopik biasanya terjadi pada bayi serta kanak kanak.
Masalah keradangan pada kulit disertai dengan bengkak, gatal dan ruam merah ini kadang-kadang kelihatan seperti kulit melecur yang berair.
Selain itu, ekzema selalunya berlaku di muka, pergelangan tangan, pertengahan siku dan juga lutut. Kulit yang terlibat akan menjadi berkerak.
Biasanya kanak-kanak mendapat masalah kulit ekzema sebelum berumur 5 tahun.
Kebanyakan kanak-kanak akan membesar tanpa masalah ini jika mereka tidak menghadapi alahan atau asma, dan anda juga perlu tahu ia bukanlah sejenis jangkitan.
Beberapa faktor boleh menjadi punca ekzema, antaranya ialah:
- Keturunan
- Bukan alahan tetapi mempunyai pelbagai pencetus
- Boleh terjadi pada kulit yang kering, gatal dan sensitif pada kepanasan, kain berbulu dan permukaan yang kasar
- Infeksi virus
- Bahan kimia/perangsang seperti sabun, pembersih atau minyak wangi
- Lain lain jenis jangkitan
- Alahan atau alergi kepada bahan makanan atau lain-lain bahan yang boleh menyebabkan alahan
Apa itu probiotik dan bagaimana ia berfungsi?
Probiotik ialah mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria baik dan yis yang membantu mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus.
Sebilangan makanan secara semula jadi kaya dengan probiotik. Ini termasuk:
- Yogurt
- Kimchi
- Coklat gelap
- Miso
- Keju mentah
- Cuka epal
Bakteria hidup dalam probiotik akan melekat pada dinding usus, meninggalkan ruang yang lebih sedikit untuk bakteria yang tidak diingini atau buruk tumbuh.
Justeru, ia akan mendorong keseimbangan bakteria yang sihat dalam sistem pencernaan dan meningkatkan fungsinya.
Di samping itu, pengambilan probiotik turut boleh:
- Meningkatkan fungsi pencernaan
- Menghasilkan sistem ketahanan badan yang lebih kuat
- Mengurangkan risiko mengalami jangkitan saluran kencing
Antara persoalan lain yang kerap menjadi tanda tanya adalah “kenapa perlu makan probiotik?”.
Umumnya, selain membantu menyokong kesihatan sistem penghadaman, probiotik turut dikaji kerana peranannya dalam menyokong fungsi sistem imun.
Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa keadaan kesihatan termasuk ekzema.
Penggunaan probiotik dalam merawat ekzema
Ekzema juga mempunyai beberapa jenis, tetapi jenis yang paling biasa terjadi adalah dermatitis atopik.
Dermatitis atopik boleh diperburuk oleh faktor persekitaran dan perengsa, tetapi ini bukan penyebabnya.
Punca sebenar dikaitkan dengan tindak balas sistem imun yang menyebabkan kulit menjadi meradang, kering dan merekah.
Disebabkan keadaan ini mempunyai kaitan dengan sistem imun, penggunaan probiotik telah dikaji sebagai salah satu pendekatan yang berpotensi membantu menyokong sistem imun yang sihat.
Ini kerana keseimbangan bakteria dalam sistem penghadaman merupakan antara faktor yang mempengaruhi fungsi sistem imun seseorang.

Justeru, probiotik dipercayai membantu meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus, sekali gus berpotensi menyokong pengurusan masalah kulit seperti ekzema.
Betul ke berkesan?
Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan pemberian probiotik kepada kanak-kanak mungkin membantu mengurangkan risiko mengalami ekzema.
Kajian pada tahun 2010 mendapati kanak-kanak yang mengalami penyakit alahan seperti dermatitis atopik mempunyai mikrobiota usus yang berbeza berbanding kanak-kanak yang sihat.
Penemuan ini menyokong idea bahawa pengambilan probiotik untuk membantu menyeimbangkan bakteria usus mungkin memberi manfaat.
Kajian yang sama turut menunjukkan sedikit peningkatan klinikal terhadap dermatitis atopik dengan penggunaan probiotik.
Walau bagaimanapun, penemuan tersebut masih belum cukup kukuh untuk mengesahkan probiotik sebagai rawatan yang berkesan bagi ekzema.
Satu lagi kajian pada tahun 2016 mendapati terdapat beberapa penyelidikan yang menunjukkan probiotik mungkin memberi kesan positif terhadap dermatitis atopik.
Keberkesanan tersebut bergantung kepada:
- Strain probiotik tertentu yang digunakan
- Tempoh pendedahan
- Dos
Walau bagaimanapun, kajian tersebut turut menyatakan bahawa bukti sedia ada masih belum mencukupi untuk menyokong penggunaan probiotik sebagai rawatan utama ekzema.
Ramai juga tertanya-tanya bila waktu terbaik makan probiotik.
Secara umumnya, perkara yang lebih penting ialah memastikan probiotik diambil secara konsisten mengikut arahan produk atau nasihat doktor.
Dalam konteks ekzema, penyelidik lebih memberi perhatian kepada jenis strain, dos dan tempoh pengambilan berbanding waktu pengambilannya.
Rawatan-rawatan lain
Terdapat beberapa jenis rawatan lain yang boleh dilakukan untuk merawat ekzema. Ini termasuk:
- Emolien (pelembap) yang boleh digunakan setiap hari untuk mengelakkan masalah kekeringan kulit
- Krim kortikosteroid topikal yang mengurangkan bengkak dan kemerahan
- Antihistamin untuk mengurangkan kegatalan
- Penggunaan pembalut untuk membolehkan kawasan yang terjejas sembuh
Selain rawatan perubatan di atas, perubahan gaya hidup juga harus dilakukan oleh orang yang menderita masalah ini bagi mengelakkan kondisi bertambah buruk, antaranya:
- Memakai kain semula jadi seperti sutera dan kapas untuk mengurangkan kegatalan pada kulit
- Memastikan suhu persekitaran sejuk dan nyaman jika cuaca panas menjadi faktor perengsa
- Mengelakkan sabun, detergen atau losyen badan yang tidak sesuai bagi pesakit ekzema
- Elak makan makanan yang mencetuskan alahan
Kesimpulannya
Hubungan antara bakteria baik dalam usus dan sistem imun menjadikan penggunaan probiotik antara bidang yang masih aktif dikaji dalam pengurusan ekzema.
Walaupun beberapa kajian menunjukkan hasil yang menggalakkan, bukti sedia ada masih belum mencukupi untuk mengesahkan probiotik sebagai rawatan utama bagi ekzema.
Oleh itu, individu yang ingin mengamalkan probiotik disarankan mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai jenis dan cara pengambilan yang sesuai sebagai sebahagian daripada pelan rawatan yang disyorkan.