Mengapa probiotik baik untuk ibu hamil?
Fungsi probiotik kepada tubuh ibu hamil masih lagi menjadi perdebatan ramai penyelidik. Namun, probiotik diketahui membantu mengurangkan bakteria jahat dalam tubuh, sekali gus mengurangkan potensi mendapat jangkitan tertentu dan masalah kesihatan lain.
Peranan probiotik dalam membantu sistem penghadaman bekerja dengan berkesan juga dapat mencegah gejala-gejala kehamilan yang sering melanda wanita hamil seperti sembelit dan cirit-birit.
Manfaat probiotik semasa laktasi
Penyusuan susu ibu adalah cara penting untuk memberikan nutrisi dan membekalkan keselesaan fizikal kepada bayi. Manfaat lain penyusuan susu ibu atau laktasi adalah bakteria baik dalam usus ibu disalurkan dari ibu kepada bayi melalui susu badan. Jika ibu mengambil probiotik, terdapat bukti yang mengatakan bakteria baik ini boleh membantu menguatkan sistem imun bayi. Malahan, pengambilan probiotik semasa hamil juga amat baik untuk merawat atau mencegah kolik, alergi dan juga keadaan kulit atopik seperti ekzema.
Kaitan pengambilan probiotik semasa hamil dan laktasi dengan ekzema untuk kanak-kanak
Menurut kajian yang dilakukan oleh Imperial College London dan University of Nottingham di United Kingdom, wanita yang mengambil probiotik semasa hamil dan laktasi adalah kurang cenderung mempunyai anak dengan ekzema, berbanding ibu hamil yang tidak mengambil probiotik.
Pengambilan probiotik oleh wanita semasa hamil dan laktasi juga dikaitkan dengan 22 peratus lebih rendah risiko kanak-kanak mendapat ekzema, iaitu gangguan keradangan kulit. Ini adalah sama dengan pencegahan 44 kes ekzema untuk setiap 1,000 kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, kajian tersebut bukanlah dibuat untuk membuktikan bagaimana probiotik dapat mencegah ekzema, namun terdapat kebarangkalian bahawa pengambilan probiotik mengubah komposisi susu ibu serta mempengaruhi cara sistem imun dan perkembangan kulit seseorang kanak-kanak.