backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Awas, JANGAN Ambil 7 Makanan Ini Jika Anda Ingin Elak Diabetes!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/08/2022

    Awas, JANGAN Ambil 7 Makanan Ini Jika Anda Ingin Elak Diabetes!

    Diabetes (kencing manis) merupakan penyakit kronik yang lazim berlaku di Malaysia. Ia berlaku apabila paras gula di dalam darah berada pada tahap yang tinggi menyebabkan simptom dan komplikasi kesihatan. Penyakit ini berpunca daripada pelbagai jenis faktor namun artikel ini akan membincangkan perihal makanan elak kencing manis. 

    Jenis makanan elak kencing manis

    Ia merujuk kepada makanan-makanan yang lebih cenderung untuk menyebabkan masalah diabetes jika diambil pada kuantiti yang banyak.

    Secara amnya, semua makanan boleh menyebabkan diabetes jika diambil melebihi keperluan harian.

    Namun, makanan diabetes mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi sehingga pengambilannya boleh menyebabkan peningkatan mendadak pada risiko diabetes.

    Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    1. Nasi dan roti putih

    makanan elak kencing manis

    Nasi merupakan makanan ruji orang Malaysia. Jika dilihat sahaja pada tabiat pemakanan harian, nasi pasti menjadi hidangan wajib berikutan ia murah dan mudah untuk didapati.

    Walau bagaimanapun, makanan ini boleh meningkatkan paras gula di dalam darah memandangkan ia mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi dan serat yang rendah.

    Mungkin ramai di antara rakan anda yang menyarankan anda untuk menukar menu daripada nasi kepada roti putih.

    Namun, pelbagai jenis kajian yang dijalankan oleh saintis telah mendapati bahawa pengambilan makanan tersebut dikaitkan dengan peningkatan paras gula meskipun ia lebih rendah berbanding nasi. 

    2. Makanan yang mengandungi lemak trans

    Lemak trans memang memudaratkan. Ia dicipta melalui penambahan molekul hidrogen terhadap asid lemak tidak tepu supaya strukturnya menjadi lebih stabil.

    Makanan seperti mentega, krimer, biskut kering dan mufin mengandungi molekul tersebut bagi memanjangkan tempoh simpannya.

    Walaupun lemak trans tidak dikaitkan dengan kenaikan gula dalam darah, tapi ia boleh menyebabkan peningkatan pada lemak perut dan kerintangan insulin.

    3. Bijirin sarapan, makanan diabetes yang seharusnya dielakkan 

    Jika anda mempunyai masalah diabetes, pengambilan bijirin sarapan boleh menyebabkan paras gula anda meningkat secara mendadak.

    Walaupun sesetengah bijirin dibuat untuk tujuan kesihatan, namun kebanyakannya diperbuat daripada karbohidrat dan bahan yang diproses.

    Jadi, bijirin sarapan tidak berupaya untuk memberikan rasa kekenyangan melainkan ia diambil pada jumlah yang banyak. Perkara itu boleh menyebabkan peningkatan paras gula.

    4. Makanan elak kencing manis – Minuman kopi berperisa

    makanan elak kencing manis

    Kopi jika diambil pada kadar saranan mampu menghindarkan masalah diabetes. Perkara ini telah dibuktikan melalui banyak kajian terdahulu.

    Walau bagaimanapun, mereka yang mengambil minuman kopi berperisa tidak dapat menikmati kebaikan tersebut. Ini berikutan kopi berperisa lazimnya mempunyai kandungan gula yang tinggi. 

    Perkara ini boleh menyebabkan masalah berat badan berlebihan seterusnya diabetes.

    5. Makanan ringan dalam bungkusan

    Makanan yang dibungkus seperti biskut dan keropok bukanlah pilihan makanan ringan yang baik. Ia mengandungi karbohidrat cepat serap dan nutrisi yang rendah menyebabkan kandungan gula meningkat dengan mendadak.

    Terdapat juga isu yang mengatakan bahawa kandungan karbohidrat pada sesuatu makanan ringan itu jauh lebih tinggi daripada apa yang tertulis pada label makanan. Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Nasional di Amerika Syarikat pada tahun 2013.

    Jika anda berasa lapar, ambil kekacang sebagai alas perut.

    6. Makanan elak kencing manis: Kentang goreng

    Kentang mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi. Sebiji kentang mengandungi 33 gram karbohidrat dan 4 gram serat.

    Apabila ia dikupas dan digoreng di dalam minyak panas, bukan sahaja ia boleh menyebabkan diabetes, ia turut menghasilkan kompaun berbahaya seperti advanced glycation end product (AGE) yang boleh meningkatkan keradangan dan mempercepatkan proses penuaan.

    Perkara ini tidak tertumpu kepada kentang goreng semata-mata malah makanan lain yang turut digoreng.

    7. Jus buah-buahan

    makanan elak kencing manis

    Makanan elak kencing manis yang seterusnya adalah jus buah. Mungkin ramai beranggapan bahawa jus buah baik untuk kesihatan.

    Namun, kandungan gula tambahan membuatkannya sebagai minuman yang perlu dielakkan jika anda mempunyai atau ingin menghindari masalah diabetes.

    Perkara ini sama bagi jus buah yang tidak ditambah gula juga. Kebanyakan jus buah mengandungi fruktosa yang sering dikaitkan dengan kerintangan insulin.

    Konklusi

    Jika anda ingin menghindari masalah diabetes, inilah masa yang sesuai untuk anda mempertimbangkan jenis makanan elak kencing manis ini yang anda ambil setiap hari.

    Ambil makanan yang mengandungi serat dan protein pada kadar yang disarankan bagi mendapatkan nutrisi yang mencukupi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan