Jangan Terkejut, Orang Perempuan Pun Boleh Ada Halkum Besar! Tapi Apa Sebabnya?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 11/07/2020 . 3 minit bacaan
Share now

Halkum besar lebih sinonim menunjukkan ciri fizikal orang lelaki. Halkum wanita pula pada kebiasaannya tidak jelas atau lebih kecil berbanding golongan lelaki. 

Namun, adakah terdapat kemungkinan wanita juga boleh mempunyai halkum seperti lelaki? Jika ya atau tidak, apakah sebab ia boleh terjadi sebegitu?

Ikuti kupasan lanjut berkenaan halkum melalui artikel di bawah ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan halkum?

Sewaktu tibanya fasa akil baligh, seseorang remaja akan mengalami beberapa perubahan pada fizikal mereka.

Perubahan ini termasuklah pertumbuhan laring atau dikenali sebagai kotak suara.

Bagi individu lelaki, bahagian depan tulang rawan tiroid yang mengelilingi laring cenderung untuk menonjol ke bahagian luar, mewujudkan satu ciri khas yang dikenali sebagai halkum. 

Apakah fungsi sebenar halkum?

Kewujudan halkum itu tidaklah mempunyai sebarang fungsi yang khusus dari segi perubatan.

Namun, kotak suara atau laring tersebut mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Laring bertindak melindungi pita suara manusia. Pita suara pula berfungsi ketika anda ingin bercakap, menjerit, ketawa, berbisik atau menyanyi.

Namun, kewujudan halkum ini tidak membuatkan anda boleh menyanyi dengan lebih merdu berbanding mereka yang tidak mempunyai halkum.

Halkum besar hanya menunjukkan bahawa anda mempunyai laring yang sedikit besar berbanding orang lain. 

Bolehkah wanita mempunyai halkum besar seperti orang lelaki?

halkum besar

Sewaktu remaja lelaki membesar atau melalui tempoh akil baligh, laring mereka juga akan menjadi lebih besar.

Ia kemudiannya menyebabkan suara mereka menjadi lebih garau dari semasa ke semasa.

Remaja perempuan juga turut mengalami perubahan pada kotak suara mereka sewaktu fasa akil baligh.

Namun, tahap pembesaran laring dalam kalangan perempuan tidaklah begitu jelas berbanding individu lelaki.

Oleh sebab itu, kebanyakan wanita tidak mempunyai halkum.

Ada sesetengah wanita yang turut mempunyai saiz halkum wanita yang besar disebabkan paras jumlah hormon testosteron yang tinggi dalam tubuh badan mereka.

Jika hormon testosteron atau hormon lelaki ini meningkat berbanding biasa, maka wanita akan mempunyai halkum wanita yang lebih besar selain beberapa ciri kelelakian lain termasuklah bulu badan. 

Kenapa ada yang mempunyai halkum besar, ada pula yang mempunyai halkum kecil?

Ada sesetengah individu yang mempunyai halkum bersaiz lebih besar dan ada juga yang mempunyai saiz yang lebih kecil.

Ini disebabkan oleh saiz tulang rawan pada laring tersebut.

Bagi mereka yang mempunyai saiz halkum besar, ia bermaksud mereka mempunyai tulang rawan yang lebih banyak berbanding individu dengan halkum yang kecil.

Suara mereka juga menjadi lebih dalam atau lebih garau.

Oleh sebab itu, wanita mempunyai suara yang lebih nyaring atau tidak garau berbanding kaum lelaki. 

Saya wanita dengan halkum bersaiz besar, bolehkah saya mengubah saiz halkum menjadi lebih kecil?

halkum wanita

Kewujudan halkum pada diri seseorang individu tersebut sebenarnya bergantung kepada genetik masing-masing.

Namun, jika anda seorang wanita dan berasa sedikit malu dengan halkum bersaiz ini, ada cara untuk mengatasinya.

Terdapat pilihan rawatan yang melibatkan pembedahan bagi mengubah saiz halkum anda.

Pembedahan ini boleh dilakukan bukan sahaja untuk mengecilkan saiz halkum, tetapi juga boleh digunakan untuk membesarkannya. 

Anda mungkin perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan melakukan pembedahan mengecilkan halkum.

Ini untuk memastikan anda mendapat maklumat atau info yang tepat dan mencukupi berkenaan manfaat dan risiko hasil daripada melakukan pembedahan tersebut.

Bagi pembedahan ini, ia mungkin mengambil masa sekitar beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya. 

Perlukah saya berasa risau kerana mempunyai halkum yang besar?

Mempunyai sama ada halkum besar atau kecil, ia sedikit pun tidak mempengaruhi kesihatan tubuh badan anda.

Ia bukanlah satu simptom atau tanda bahawa anda mempunyai penyakit tertentu pada bahagian leher atau tekak anda.

Ia hanya menunjukkan yang anda mempunyai tulang rawan lebih besar pada bahagian laring anda.

Saiz halkum yang besar atau kecil tidak menjejaskan sedikit pun kesihatan anda.

Namun, bagi wanita yang mementingkan paras rupa kewanitaan mereka, halkum yang bersaiz ini mungkin boleh diibaratkan sebagai satu gangguan kepada imej mereka.

Ini kerana ia akan menyebabkan mereka kelihatan lebih ‘lelaki’ berbanding wanita.

Ia seterusnya menyebabkan mereka berasa malu atau tidak selesa dengan kewujudan halkum besar ini.

Jika anda benar-benar ingin mengubah saiz halkum tersebut kerana berasa malu, berjumpalah dengan doktor untuk berbincang berkenaan hal ini dengan lebih lanjut. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy"