backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Manfaat Yang Boleh Anda Dapati Daripada Kumpulan Sokongan

Ditulis oleh Aina Nur Azmi · Hello Health Group


Disemak pada 26/02/2020

    Manfaat Yang Boleh Anda Dapati Daripada Kumpulan Sokongan

    Artikel ini ditulis dengan kerjasama Naluri

    Bergelut dan melalui masa-masa sukar dalam hidup anda boleh menjadi mencabar terutamanya apabila anda berurusan dengannya secara berseorangan. Tekanan bersendirian dan salah faham oleh orang lain juga boleh menyumbang kepada stres. Sama ada anda melalui masa-masa yang sukar atau anda merupakan penjaga bagi seseorang yang bergelut secara mental atau fizikal, kumpulan sokongan pasti dapat membantu.

    Kumpulan sokongan menghimpunkan orang-orang yang mengalami atau telah mengalami pengalaman yang sama (kematian orang yang dikasihi, menjaga orang sakit, menghidap penyakit kronik, ketagihan) dengan memberi peluang kepada ahli kumpulan untuk berkongsi pengalaman peribadi, perasaan dan strategi mengatasinya. Ia menyediakan sokongan emosi dan kesihatan  untuk setiap peserta melalui perkongsian pengalaman daripada orang lain.

    Manfaat kumpulan sokongan

    kumpulan sokongan

    Kumpulan sokongan mungkin disediakan oleh hospital, klinik, pusat-pusat psikologi dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Ia tidak sama dengan terapi kumpulan. Terapi kumpulan menawarkan rawatan kesihatan mental tertentu dan dibantu oleh ahli kesihatan mental terlatih. Kumpulan sokongan, sebaliknya, boleh dijalankan oleh ahli-ahli kumpulan, doktor perubatan, ahli kesihatan mental, jururawat atau pekerja sosial. Sesetengah perjumpaan kumpulan sokongan menjemput speaker / fasilitator untuk membincangkan topik tertentu dan memberikan pendidikan lanjut. Manfaat kumpulan sokongan termasuklah:

    1. Mewujudkan rasa kepunyaan

    Melalui kumpulan sokongan, para peserta tidak lagi merasa kesepian kerana mereka menyedari bahawa mereka bukanlah satu-satunya manusia yang bergelut dengan masalah-masalah tertentu. Ia membantu mereka menguruskan tekanan dan mengurangkan risiko kemurungan. Ia mengurangkan kegelisahan dalam menangani kesukaran dengan memahami dan menyedari bahawa ada orang lain yang bergelut dengan masalah yang serupa dan pernah merasa situasi tersebut untuk membantu mereka melalui perkara tersebut.

    2. Selamat untuk meluahkan perasaan

    Peserta-peserta dalam kumpulan sokongan akan berasa kurang dihakimi dan tidak berasa terpencil daripada orang lain kerana mereka semua berada dalam masalah dan perkara yang sama. Mengetahui bahawa semua orang dalam kumpulan mempunyai matlamat yang sama, mereka akan dapat meluahkan perasaan dengan lebih terbuka dan berasa selesa untuk berkongsi pengalaman mereka.

    3. Memperkasakan peserta

    Mengetahui bahawa anda mempunyai cara untuk mengawal masalah anda akan dapat mengubah pandangan anda tentang keadaan sekarang. Begitu juga kemampuan untuk menjadi diri sendiri semasa sesi kumpulan, tanpa ragu-ragu dan bimbang berkenaan bagaimana orang lain akan melihat anda. Dorongan dan sokongan daripada ahli kumpulan juga akan membantu dalam memperkasakan peserta.

    4. Perkongsian dan pembelajaran daripada orang lain

    kumpulan sokongan

    Mendengar perkongsian orang lain membantu anda mengetahui apa yang perlu dilakukan dan apa yang boleh dijangkakan dalam menghadapi situasi semasa anda. Anda juga akan mendapat kesedaran tentang nasihat praktikal dan tips mengenai pilihan rawatan. Ini juga termasuk kemahiran untuk mengatasinya, buku-buku yang berguna dan sumber-sumber lain untuk membantu menguruskan keadaan anda.

    5. Menambahbaik kemahiran-kemahiran sosial

    Kumpulan sokongan juga merupakan tempat yang berharga untuk mengamalkan dan meningkatkan kemahiran sosial anda. Terutamanya tentang bagaimana untuk bertindak dan berkomunikasi dengan orang lain. Seringkali terjadi, mereka yang sedang bergelut dengan masalah tertentu menjadi terpencil dan tidak tahu bersosial. Oleh itu, kumpulan sokongan sepatutnya menjadi peluang untuk mereka berhubung semula dengan dunia.

    6. Memberikan harapan

    Mengambil bahagian dalam kumpulan sokongan dapat mengurangkan risiko keletihan dan berputus asa. Dengan belajar daripada pengalaman dan cerita-cerita kejayaan orang lain, anda akan dapat memupuk kekuatan diri. Bukan sahaja semangat anda akan kembali menyala, anda sendiri boleh memberi inspirasi kepada orang lain melalui kata-kata yang positif dan menggalakkan. Semakin banyak anda meluahkan tentang diri anda dan mendengar cerita-cerita orang lain, semakin banyak anda akan belajar mengenai diri anda serta kekuatan dan kelemahan anda.

    7. Keberkesanan kos

    kumpulan sokongan

    Sesi kumpulan lebih murah berbanding sesi secara individu. Malah, sesetengah organisasi menawarkan sesi kumpulan percuma untuk mereka yang memerlukan.

    Apabila anda mengetahui bahawa anda tidak bersendirian dalam perjuangan ini, anda akan berasa masalah menjadi lebih mudah untuk ditanggung. Apabila anda bersendirian, anda akan berasa susah untuk meluahkan diri, berasa sangat sensitif dan sering kali membuat orang lain mempunyai tanggapan yang salah terhadap anda. Hasilnya, anda akan memencilkan diri, menyebabkan keadaan anda semakin merosot. Oleh itu, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian, carilah bantuan dan sokongan sebelum terlambat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Aina Nur Azmi

    · Hello Health Group


    Disemak pada 26/02/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan