backup og meta

Tidak Perlu Banyak Wang, Ini 12 Cara Menikmati Hidup Dengan Gembira

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/04/2021

    Tidak Perlu Banyak Wang, Ini 12 Cara Menikmati Hidup Dengan Gembira

    Kita semua layak untuk hidup gembira di bumi ini. Namun, adakalanya kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menikmati hidup. Jangan risau, ada beberapa cara untuk gembira yang sangat mudah dilakukan. Jom!

    Cara untuk hidup gembira setiap hari

    #1. Senyum

    Dengan hanya senyum, ia akan menyebabkan otak anda melepaskan hormon dopamin yang menyebabkan anda menjadi gembira.

    Oleh itu, sekiranya anda berasa sedih pada masa akan datang, cubalah senyum untuk merasakan nikmatnya. Paling mudah, senyum untuk diri anda sendiri setiap hari di hadapan cermin.

    #2. Bersenam

    Manfaat bersenam atau bersukan sememangnya tidak dapat dinafikan terhadap fizikal anda. Namun, bersenam juga boleh memberikan manfaat kepada mood dan mental anda.

    Jika anda kerap bersenam, ia boleh membantu mengurangkan stres, resah dan elak kemurungan. Bersenam juga boleh meningkatkan keyakinan diri dan juga kegembiraan. 

    #3. Dapatkan tidur yang mencukupi

    Tidur yang mencukupi sememangnya amat penting untuk keperluan tubuh badan anda. Ia bukan hanya untuk kesihatan tubuh badan, tetapi juga untuk fungsi otak yang lebih baik selain kesejahteraan emosi.

    Anda memerlukan sekurang-kurangnya 7 atau 8 jam waktu tidur setiap hari untuk memastikan tubuh badan anda dapat berfungsi secara optimum.

    Cara untuk hidup gembira setiap minggu

    #1. Melepak bersama rakan

    cara untuk gembira

    Salah satu sifat semula jadi manusia adalah bersosial. Jika anda bersosial, ia seperti memenuhi keperluan sifat semula jadi anda sendiri.

    Bagi orang dewasa, mungkin agak sukar untuk membuat rakan baharu.

    Namun, bukan jumlah yang menjadi persoalannya tetapi kualiti rakan yang berada di sekeliling anda adalah lebih penting.

    Anda boleh melakukan aktiviti kegemaran secara bersama-sama dengan rakan anda bagi merapatkan hubungan.

    #2. Buat jadual mingguan anda

    Anda tidak tahu apa yang ingin dilakukan setiap minggu?

    Cuba duduk sebentar dan buat satu senarai aktiviti yang akan dan perlu dilakukan pada minggu hadapan.

    Senaraikan aktiviti yang boleh menjadikan anda berasa lebih tenang dan gembira seperti pergi membeli belah, mencuci pakaian atau membuat kerja-kerja sukarelawan.

    Buat senarai anda sama ada pada helaian kertas, buku diari atau hanya pada kalendar di telefon pintar milik anda.

    #3. Pergi ke hutan rekreasi

    Anda boleh cuba meluangkan sedikit masa untuk berada lebih dekat dengan alam semula jadi seperti pergi ke taman rekreasi, hutan rekreasi, memanjat bukit atau gunung atau pantai.

    Tahukah anda, jika anda meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit di kawasan hijau seperti hutan, ia boleh membantu menurunkan tekanan darah anda dan juga kemurungan.

    Alang-alang anda ke hutan rekreasi, anda juga boleh melakukan sedikit senaman di sana. 

    Cara untuk hidup gembira setiap bulan

    #1. Beramal atau bersedekah

    Kita mungkin akan berasa lebih gembira dan tenang jika dapat membantu atau melepaskan kesusahan orang lain.

    Sekiranya anda berasa seronok dan boleh membuatkan anda gembira dengan bersedekah, anda boleh lakukannya secara konsisten setiap bulan.

    Antara perkara yang boleh anda lakukan adalah menjadi sukarelawan di dapur komuniti, menyertai ekspedisi memberikan bantuan serta berkhidmat di rumah anak yatim atau pusat penjagaan warga emas. 

    #2. Nikmati masa yang terluang bersendirian

    Anda masih boleh menikmati masa terluang anda atau aktiviti yang telah dirancang tanpa kehadiran rakan anda.

    Walaupun rakan anda mungkin membatalkan penyertaan mereka terhadap rancangan yang telah dirancang, ini tidak bermakna bahawa anda tidak boleh menikmatinya bersendirian.

    Pergi sahaja menonton wayang, membeli-belah atau bercuti berseorangan jika ia mampu menggembirakan anda. Tiada siapa yang dapat menghalang kehendak anda. 

    #3. Buat senarai aktiviti gembira

    Mungkin ada masanya anda memiliki sedikit masa terluang ketika menunggu sesuatu. Sebagai contoh ketika anda berbaris di bank, menunggu giliran di pejabat atau berehat sebentar setelah memandu.

    Pada ketika ini, cuba fikirkan beberapa perkara yang menggembirakan yang ingin anda lakukan pada masa akan datang. Adakalanya, idea yang lebih baik akan hadir pada waktu-waktu sebegini. 

    Cara untuk hidup gembira setiap tahun

    #1. Ambil masa untuk refleksi diri

    hidup gembira

    Apabila tiba masa untuk menyambut tahun baharu, ambil sedikit masa untuk melakukan refleksi diri.

    Tanyakan diri anda berkenaan apa yang telah anda lakukan sebelum ini. Apa pelan anda untuk masa akan datang? Adakah anda berasa gembira pada tahun yang lalu?

    Jika anda rasakan bahawa anda tidak begitu gembira atau mempunyai emosi yang terganggu pada tahun lepas, pertimbangkan untuk membuat perjumpaan bersama ahli terapi.

    Ini bagi memastikan agar kejadian yang sama tidak lagi berulang pada tahun berikutnya dan anda dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

    #2. Nilai semula matlamat anda

    Fikirkan apa matlamat anda. Jika anda rasakan anda masih perlu mengikuti matlamat tersebut, maka teruskanlah.

    Namun jika matlamat anda sudah tidak relevan lagi, tiada masalah untuk anda menukarnya kepada yang baharu kerana lumrah manusia akan sentiasa berubah mengikut masa. 

    #3. Jaga kesihatan tubuh badan anda

    Di sebalik kesibukan anda menjaga emosi sendiri, jangan dilupakan kesihatan fizikal tubuh badan. Lakukan pemeriksaan berkala berkenaan diri anda.

    Jaga diri anda sebaiknya terutama jika anda menghidap sebarang penyakit kronik.

    Lakukan juga pemeriksaan terhadap kesihatan mulut dan gigi anda. Periksa penglihatan anda sama ada mempunyai sebarang masalah atau tidak.

    Kesimpulan

    Anda perlu kekal gembira kerana anda berhak terhadapnya. Tiada apa yang dapat menghalang anda untuk terus gembira.

    Jika anda tidak tahu caranya, ikuti sahaja cara untuk gembira yang kami sediakan di sini. Ia pasti dapat membantu anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan