backup og meta

Bolehkah Seorang Introvert Menjadi Pemimpin?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/07/2020

    Bolehkah Seorang Introvert Menjadi Pemimpin?

    Bila bercakap tentang kepimpinan dan pemimpin, imej yang selalu kita bayangkan adalah individu yang berkeyakinan tinggi, pandai bercakap dan bersosial serta kebanyakan ciri-ciri yang dikaitkan dengan personaliti extrovert. Pun begitu, ini tidak bermakna personaliti introvert tidak boleh memimpin dengan baik.

    Kajian oleh Harvard Business Review mendapati bahawa introvert adalah pemimpin yang lebih berkesan dalam keadaan yang kompleks dan tidak dapat diramalkan. Malah, introvert sangat sesuai untuk menghadapi keadaan yang tidak dapat ditangani extrovert, dan menyumbang kepada kejayaan jangka panjang syarikat.

    Introvert berupaya memimpin, bahkan mempunyai kelebihan berbanding mereka yang extrovert. Berikut merupakan beberapa ciri kepimpinan introvert yang sering diabaikan.

    1. Mereka dimotivasikan oleh produktiviti, bukan cita-cita

    Salah satu salah tanggapan salah mengenai personaliti ini adalah mereka tidak termotivasi untuk berjaya berbanding mereka yang mempunyai dorongan sosial. Sebenarnya mereka hanya didorong oleh faktor yang berbeza dan mengukur kejayaan dengan ukuran yang berbeza.

    Otak individu introvert berbeza kerana sistem ganjarannya dipicu oleh rangsangan yang berbeza. Berbanding pengiktirafan dan peningkatan kedudukan kerjaya, pemimpin introvert mendapat lebih banyak kepuasan dengan  mengekalkan produktiviti pasukan dan hasil kerja yang berkualiti tinggi.

    2. Mereka membina hubungan yang lebih bermakna

    Kerana didorong oleh kualiti dan produktiviti, mereka sering kelihatan terputus daripada orang lain, tidak dapat atau tidak mahu membina hubungan peribadi. Walau bagaimanapun, sepertimana motivasi mereka, hubungan yang dibina introvert mempunyai keutamaan yang berbeza.

    Walaupun mereka mungkin tidak banyak bercakap dalam kumpulan besar, introvert sangat pandai membina hubungan yang lebih mendalam dan lebih bermakna dengan pekerja dan pelanggan mereka dalam persekitaran bersemuka secara individu. Pembentukan hubungan yang tulen ini menjadikan pemimpin yang introvert lebih ‘sekepala’ dengan setiap anggota pasukan berbanding seorang pemimpin yang extrovert.

    3. Mereka tidak mudah terganggu

    Introvert sebenarnya bukanlah terputus daripada orang lain dan persekitaran, sebaliknya mereka lebih berkemampuan menyaring keluar kebisingan luar dan memberi tumpuan. Mereka mendapat tenaga daripada dalam, dan disebabkan  itu mereka boleh memberi tumpuan dengan mudah kepada tugas tanpa terganggu oleh perbualan yang kuat atau bunyi lain.

    Keupayaan untuk menumpukan perhatian di tengah-tengah gangguan menambah kualiti kepimpinan mereka. Motivasi mereka untuk kualiti dan produktiviti menjadi lebih mudah untuk dikekalkan, dan mereka boleh memberi tumpuan kepada keperluan ahli pasukan tanpa ditenggelami oleh tugas atau tuntutan lain.

    4. Mereka menyelesaikan masalah dengan teliti, bukannya terburu-buru

    Penyelesaian masalah adalah keupayaan penting dalam kepimpinan dan menurut penyelidikan, otak individu introvert didapati mempunyai gray matter pada korteks prefrontal yang lebih tebal, yang merupakan bahagian otak di mana pemikiran abstrak dan proses membuat keputusan berlaku. Ini bererti introvert membuat keputusan selepas berfikir masak-masak dan memikirkan cara kreatif untuk menyelesaikan masalah. Penyelidikan juga mendapati bahawa introvert kurang berkemungkinan membuat keputusan tergesa-gesa.

    Disebabkan kerja berkualiti sentiasa menjadi matlamat introvert, mereka tidak akan berpuas hati dengan hasil yang sederhana. Sebagai contoh, seorang pemimpin introvert kurang berkemungkinan meluluskan sesuatu projek jika ahli pasukan lain mempunyai bantahan atau kesilapan. Pemimpin seperti ini akan memastikan masalah ditangani sebelum meneruskan projek. Sekiranya timbul perselisihan pendapat, sikap tidak mementingkan pandangan orang lain kepadanya membuatkan mereka membuat keputusan berdasarkan kebaikan projek, bukan pandangan individu.

    Pemimpin terbaik bukanlah mereka yang paling kuat bercakap dan paling ketara kewujudannya. Bertindak di sebalik populariti dan perhatian membuatkan pemimpin introvert berupaya menyerlahkan kualiti kerja dan pasukan yang dipimpinnya. Jika anda seorang introvert, jangan berasa rendah diri atas keupayaan anda memimpin, kerana ukuran akhir bukanlah kecenderungan personaliti anda, sebaliknya keupayaan dalaman anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan