backup og meta

Lelaki Dengan Jambang Lebih Subur? Bukan Itu Saja, Ada Kajian Kata Ia Juga Perisai Jejaka!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/01/2022

    Lelaki Dengan Jambang Lebih Subur? Bukan Itu Saja, Ada Kajian Kata Ia Juga Perisai Jejaka!

    Ada dalam kalangan pembaca yang suka lelaki berjambang? Perbuatan simpan jambang lelaki boleh dianggap sebagai trend pada masa kini!

    Malahan, ada dalam kalangan wanita yang menganggap mereka yang menyimpan jambang itu jauh lebih seksi berbanding dengan lelaki yang tidak berjambang.

    Percaya atau tidak, jambang sebenarnya mempunyai kelebihan dari sudut evolusi manusia.

    Suatu ketika dahulu, jambang yang lebat sering dikaitkan dengan kesuburan dan lambang kepada dominasi sosial.

    Ia persis seekor singa jantan yang merupakan ketua kepada sekumpulan singa betina yang lain (turut dikenali sebagai pride).

    Jika dilihat dalam dunia haiwan, rambut panjang dan lebat yang dimiliki oleh singa jantan mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

    Ia boleh melindungi leher ‘kucing besar’ itu daripada cakaran kuku panjang singa lain atau gigitan yang boleh membawa maut.

    Begitu juga dengan jambang pada manusia lelaki. Ia boleh bertindak sebagai kusyen yang menyerap daya tumbukan atau hentaman yang ditujukan terhadap tulang dagu.

    Seperti apa yang pernah dipersetujui oleh saintis, tulang dagu adalah bahagian muka yang sering mengalami kepatahan ketika pertempuran di antara dua individu.

    Hanya sekadar hiasan atau perisai bagi kaum lelaki?

    jambang lelaki

    Suatu ketika dahulu, bapa evolusi, Charles Darwin pernah menganggap jambang jejaka sebagai alat yang digunakan untuk menarik perhatian pasangan wanita.

    Ia tidak sama dengan rambut panjang pada singa jantan yang sering digunakan bagi melindungi haiwan tersebut daripada ancaman fizikal.

    Walau bagaimanapun, kajian yang diterbitkan pada April 2020 menunjukkan pandangan dan dapatan yang berbeza.

    Saintis dalam kajian tersebut berpendapat bahawa kehadiran jambang boleh meratakan daya yang dikenakan terhadap dagu semasa pertempuran.

    Ia merupakan satu perubahan atau evolusi yang berlaku bagi memberikan kelebihan kepada seseorang untuk memenangi pertarungan di antara dua lelaki.

    Banyak bukti saintifik yang menunjukkan perubahan pada struktur rangka tulang dan otot lelaki berlaku untuk mengadaptasi dan memberikan kelebihan semasa mereka berlawan dengan lelaki lain.

    Pengkaji terdahulu juga pernah menyatakan evolusi pada bentuk muka lelaki berlaku dari masa ke masa bagi melindungi wajah semasa pergelutan.

    Oleh itu, wajarlah kita menganggap tabiat simpan jambang bukan sahaja memberikan tarikan sosial malah mempunyai fungsi evolusi yang sama dengan perubahan struktur muka lelaki.

    Anda mungkin berminat:

    Kajian terhadap fungsi jambang jejaka dari sudut pandang evolusi

    jambang lelaki

    Walaupun kita tidak pernah menggunakan subjek manusia untuk menguji hipotesis seperti yang diperbincangkan di atas, ada kajian yang pernah dijalankan bagi menguji ketepatan deduksi berkenaan dengan kebolehan jambang untuk menyerap daya.

    Dalam kajian tersebut, saintis telah mencipta model tulang yang hampir sama dengan tengkorak manusia.

    Mereka memotongnya sehingga membentuk analog yang berupa batu-bata dan membalutnya dengan kulit kambing biri-biri.

    Kenapa guna kulit kambing biri-biri? Ia berikutan pengambilan sampel kulit jambang daripada mayat manusia dianggap tidak praktikal untuk tujuan kajian ini.

    Walaupun kulit kambing biri-biri bukanlah analog yang sesuai untuk kegunaan eksperimen ini, tapi isipadu folikel pada sampel kulit tersebut menyerupai isipadu folikel pada kulit jambang manusia.

    Bukan semua haiwan mempunyai ciri-ciri yang sama, oleh sebab itulah kambing biri-biri menjadi pilihan pengkaji.

    Terdapat tiga jenis kulit penyelubung yang digunakan bagi menguji keberkesanan jambang dalam menyerap data.

    1. Sampel dibaluti kulit berbulu, tiada bulu yang dipotong.
    2. Sampel dibaluti kulit yang dipotong sedikit bulunya bagi melihat sekiranya folikel boleh membantu memberikan perlindungan.
    3. Sampel dibaluti kulit yang tiada folikel langsung.

    Sampel berbalut tersebut akan diletakkan di atas satu permukaan dan rod (sumber daya) akan dilepaskan ke atasnya.

    Apa dapatan eksperimen tersebut? Adakah jambang lelaki boleh menyerap daya?

    jambang lelaki

    Seperti yang anda jangka, sampel yang dibaluti kulit berbulu mempunyai tahap keefektifan yang lebih tinggi dalam keupayaan menyerap daya.

    Ia mampu membuat penyerapan setinggi 30 peratus tenaga berbanding dengan sampel yang dibaluti dengan kulit dipotong bulunya atau kulit yang tidak mempunyai folikel.

    Di bawah mesin yang menjadi tempat mengukur tahap keupayaan menyerap daya, dapatan menunjukkan:

    1. 100 peratus sampel yang dibaluti kulit tanpa folikel hancur.
    2. 95 peratus sampel yang dibaluti kulit dipotong bulunya hancur.
    3. 45 peratus sampel yang dibaluti kulit berbulu mengalami keretakan atau hancur.

    Bukan itu sahaja, sampel yang dibaluti kulit berbulu juga memerlukan masa yang lama untuk mencapai paras titik pecah (breaking point) berbanding dengan sampel lain.

    Melalui kajian tersebut, jelas menunjukkan jambang jejaka berupaya untuk menurunkan tahap kecederaan pada kulit dan otot yang menyaluti permukaan tulang muka.

    Walau bagaimanapun, integriti deduksi tersebut perlu diuji semula dalam kajian lain bagi mengesahkan ketepatannya.

    Setiap rambut yang menyelubungi permukaan dagu lelaki yang simpan jambang berupaya untuk menyerap tenaga daripada tumbukan dan meratakan daya bagi mengurangkan impaknya.

    Jika anda mempunyai jambang, ketahuilah ia bukan sahaja boleh bertindak sebagai daya penarik malah mungkin menyelamatkan anda semasa pertempuran dengan individu lain, kelak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 21/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan