backup og meta

Malaysia Pernah Jadi Negara Bebas Polio, Tapi Jangan Anggap Kita Sudah Selamat, Wajib Ambil Vaksin!

Malaysia Pernah Jadi Negara Bebas Polio, Tapi Jangan Anggap Kita Sudah Selamat, Wajib Ambil Vaksin!

Mungkin masih ramai dalam kalangan kita yang belum tahu bahawa tanggal 24 Oktober pada setiap tahun merupakan Hari Polio Sedunia.

Ya, ia adalah sejenis penyakit yang sangat popular dan pernah juga menjadi salah satu wabak paling berbahaya suatu ketika dahulu.

Persoalannya, apa itu polio, punca dan akibat ia berlaku? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

Apa itu polio?

Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita berkenalan dengan definisi sebenar penyakit ini terlebih dahulu.

Untuk pengetahuan anda, polio adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus berjangkit bernama poliovirus.

Ia merebak daripada satu individu ke individu lain melalui laluan najis, oral atau dengan menjangkiti minuman atau makanan yang anda ambil.

Selepas memasuki tubuh badan, ia akan mula merebak dan membiak di usus, dan menyerang sistem saraf, sekali gus boleh mengakibatkan kelumpuhan.

Dalam pada itu, polio juga boleh menyebabkan kesukaran untuk penderita bernafas dan lebih menakutkan adalah ia boleh mendatangkan maut.

Simptom

Sekiranya virus ini menjangkiti kalian, mungkin terdapat beberapa simptom yang boleh menjadi petanda, antaranya:

  • Demam panas melebihi suhu 38°C
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Sakit perut
  • Sakit otot

Simptom yang lebih serius termasuklah poliomyelitis major.

Ia biasanya berlaku pada hari ke-7 hingga 14 selepas jangkitan dan akan menyebabkan demam panas, sakit kepala, tengkuk, belakang dan otot yang sangat teruk.

Kadangkala bahagian kulit tubuh badan juga akan mula terjadi satu sensasi aneh, seperti dicucuk oleh pin atau jarum ekoran tahap sensitiviti yang sangat luar biasa.

Mungkin juga muncul beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas, jadi sila berjumpa dengan doktor anda sekiranya mempunyai kebimbangan mengenainya.

polio

Punca

Seperti mana yang telah kami bincangkan di atas tadi, polio adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus berjangkit bernama poliovirus (enterovirus).
Ia boleh tersebar melalui pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi virus tersebut lantas boleh merebak dan membiak daripada satu individu ke individu lain.Dalam pada itu, ada beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan potensi anda dijangkiti penyakit ini, termasuklah:
  • Golongan warga emas
  • Bayi dan kanak-kanak
  • Ibu yang sedang hamil
  • Pernah melancong ke kawasan di mana polio selalu terjadi atau yang baru diserang wabak polio
  • Tinggal bersama atau menjaga mereka yang mungkin terkesan dengan poliovirus
  • Sistem imun tubuh badan yang lemah, seperti yang berlaku akibat jangkitan HIV
  • Individu yang telah dibuang tonsil (tonsilektomi)
  • Aktiviti fizikal yang terlalu kuat atau stres melampau pada tubuh badan selepas terdedah dengan virus polio, keduanya boleh melemahkan sistem imun
  • Tidak mendapatkan suntikan imunisasi polio

Pendek kata, ia memang berbahaya kerana penyakit ini berpotensi menjadi epidemik atau pandemik sekiranya dibiarkan tanpa mendapatkan sebarang rawatan susulan.

polio

Apa kesan penyakit ini terhadap otot anda?

Mungkin ramai yang pernah terdengar atau terbaca mengenai penyakit polio namun kurang arif akan akibat jika dijangkiti penyakit ini.

Buat anda yang mungkin belum tahu, virus ini akan menyerang otot-otot pada tubuh badan anda lantas mungkin mengakibatkan kelumpuhan.

Kelumpuhan yang terjadi ini adalah antara kesan daripada late effects of polio (LEoP) dan biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai sejarah penyakit ini.

Dalam erti kata yang lebih mudah, penderita polio mungkin akan mengalami kelumpuhan anggota tubuh badan jika lambat mendapatkan rawatan susulan.

Bukan niat untuk menakutkan, namun kelewatan dalam usaha kalian berkunjung ke pusat kesihatan berdekatan juga boleh mengakibatkan kematian.

Hari Polio Sedunia 2020

Pada penghujung tahun 2019, kita semua telah digemparkan dengan satu berita di mana seorang bayi berusia 3 bulan telah disahkan menghidap penyakit polio.

Ini merupakan kes pertama setelah Malaysia diisytiharkan sebagai negara bebas polio pada tahun 2000 berikutan penguatkuasaan pemberian vaksin secara meluas kepada bayi yang baru lahir.

Bayi yang malang itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam wad isolasi untuk tujuan pemerhatian dan rawatan lanjutan.

Ujian makmal yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia telah mendapati bahawa virus yang menjangkiti bayi tersebut mempunyai persamaan genetik dengan virus di Filipina yang menyebabkan kes Acute Flaccid Paralysis (AFP).

Ini merupakan antara contoh kes yang disebabkan oleh pergerakan manusia masuk ke dalam negara yang bebas polio.

Ini bermakna kita semua masih belum selamat meskipun pernah diisytihar sebagai negara bebas polio suatu ketika dahulu.

Vaksin adalah jalan penyelesaiannya

Bersempena Hari Polio Sedunia ini, marilah kita bersama mengingatkan semua kelompok masyarakat akan bahaya penyakit ini.

Cara mudah untuk mencegah dan menghalang ia kembali menjadi wabak adalah dengan semudah mengambil vaksin di hospital.

Jangan berdegil atau bersangka buruk terhadap vaksinasi kerana inilah satu-satunya cara untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat sejagat!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/polio-and-post-polio-syndrome
  2. https://www.who.int/biologicals/areas/vaccines/polio/en/
  3. https://www.cdc.gov/polio/what-is-polio/index.htm
  4. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/polio/basics/definition/con-20030957
  5. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15655-polio

Versi Terbaru

17/07/2023

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Anda Dah Ambil Suntikan Pneumokokal? Vaksin Baru 15 Valent Dah Dilancarkan!

Melawan Polio Menggunakan Paru-Paru Besi


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan