Mesti anda pernah mendengar banyak berita berkenaan dengan golongan orang tua mati disebabkan oleh jangkitan pneumonia, kan? Lebih-lebih lagi apabila anda membaca laporan kematian virus korona baharu yang menggegarkan dunia.
Mungkin anda sendiri pernah mengalami pneumonia. Namun menurut doktor, ia akan sembuh dengan sendirinya atau selepas mengambil ubat antibiotik.
Kenapa ramai orang tua lebih berisiko untuk mati disebabkan oleh pneumonia? Dan, mengapa bagi golongan usia pertengahan, ia bukanlah satu jangkitan yang berbahaya?
Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Perihal komplikasi virus korona baharu, jangkitan pneumonia
Pneumonia atau jangkitan paru-paru boleh melibatkan satu atau kedua-dua paru-paru dan ia boleh disebabkan oleh pelbagai jenis faktor termasuklah jangkitan oleh bakteria, kulat atau virus.
Apabila berlakunya jangkitan ini, kantung udara yang dikenali sebagai alveoli di dalam paru-paru mengalami keradangan. Ini menyebabkan terjadinya simptom sukar bernafas akibat daripada pengumpulan cecair atau nanah di dalam kantung tersebut.
Seperti jangkitan yang lain, mereka yang mengalami pneumonia boleh menyebarkannya kepada individu lain. Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini. Antaranya adalah:
- Mereka yang terdedah dengan bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan paru-paru seperti pencemaran udara
Oleh sebab infeksi pneumonia melibatkan paru-paru, simptom yang dialami oleh individu hampir sama dengan jangkitan saluran pernafasan yang lain:
- Demam
- Batuk berkahak
- Sejuk menggigil atau perpeluhan
- Kesukaran untuk bernafas sewaktu berehat atau ketika melakukan aktiviti ringan
- Kelesuan
- Hilang selera makan
- Loya dan muntah
Jangkitan pneumonia terhadap orang tua
Kantung udara (alveoli) mempunyai fungsi untuk mengawal atur pergerakan keluar masuk udara. Ia boleh menyimpan udara namun proses patologi infeksi pneumonia berupaya untuk mempengaruhi keberkesanan fungsi tersebut.
Apabila berlakunya keradangan pada kantung udara, kandungannya berubah serta-merta. Ruang yang sebelum ini dipenuhi dengan udara, kini juga dihuni oleh cecair seperti nanah pada peratusan tertentu.
Perkara ini menghalang fungsi optimum paru-paru menyebabkan simptom sesak nafas. Tanpa rawatan awal, jangkitan pneumonia boleh menyebabkan komplikasi berbahaya.
Orang tua (mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas) berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini. Bukan itu sahaja, mereka juga cenderung untuk mendapat jangkitan serius berbanding dengan golongan pertengahan yang boleh mengalami infeksi pneumonia ringan.
Artikel berkaitan:
Jangkitan pneumonia serius kebiasaannya memerlukan pemantauan rapi di hospital. Mereka yang mengalaminya akan memerlukan terapi oksigen bagi memenuhi keperluan sel badan terhadap gas tersebut berikutan keupayaan paru-paru untuk membekalkannya menurun.
Apabila meningkat usia seseorang individu itu, sistem pertahanan badan mereka akan menjadi semakin lemah. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan golongan tua mudah mendapat jangkitan malah mempengaruhi tahap keterukan penyakit tersebut.
Orang tua yang mempunyai masalah jantung atau penyakit kronik yang lain juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat infeksi pneumonia. Masih ingat lagikah anda akan penyanyi James Brown yang mati disebabkan oleh kegagalan jantung?
Walaupun punca utama kematiannya berkait dengan masalah jantung, namun beliau juga mengalami infeksi pneumonia yang teruk. Jangkitan tersebut menyebabkan simptom kegagalan jantungnya bertambah teruk sehingga menyebabkannya meninggal dunia.
Dengan kata lain, semakin banyak penyakit kronik yang dialami oleh pesakit, semakin tinggi risiko mereka untuk mendapat jangkitan pneumonia teruk.
Faktor persekitaran dan langkah-langkah pencegahan jangkitan pneumonia
Golongan tua yang menghuni institusi tertentu seperti hospital atau rumah orang tua juga berisiko untuk mendapat jangkitan pneumonia.
Mereka yang menjaga golongan ini perlu sedar akan peningkatan risiko tersebut dan mengambil langkah berjaga-jaga. Mereka yang menetap di hospital berikutan masalah kronik berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pneumonia disebabkan oleh bakteria rintang antibiotik.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah seperti berikut:
- Galakkan golongan tua untuk mengambil vaksin seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antaranya adalah vaksin tetanus, pneumokokal, influenza dan kayap
- Elakkan daripada bergaul dengan individu yang menunjukkan simptom selesema. Mereka yang ingin melawat ke hospital atau rumah orang tua perlu berada dalam keadaan sihat. Golongan tua terdedah untuk mendapat jangkitan
- Jika golongan tua ingin melawat orang sakit, pastikan mereka memakai peralatan perlindungan seperti topeng muka
https://www.facebook.com/HelloDoktorMY/videos/2789383271108165/
- Bersihkan institusi rumah orang tua atau rumah yang dihuni oleh orang tua. Bantu mereka jika perlu bagi memastikan mereka terhindar daripada masalah kesihatan tersebut
- Amalkan gaya hidup sihat. Galakkan mereka untuk bersenam, makan makanan berkhasiat dan berhenti merokok
- Jika mereka mengalami jangkitan pneumonia, pastikan mereka mengambil ubat seperti yang dipreskripsikan. Masalah bakteria kerintangan antibiotik boleh meningkatkan risiko kematian
- Pastikan mereka mendapat rehat yang cukup
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Ingat, punca kepada masalah pneumonia dalam golongan tua bukan jangkitan selesema sahaja. Persekitaran tempat tinggal juga perlu dipantau agar tiada faktor risiko yang boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mereka mendapat jangkitan tersebut.
Konklusi
Jangkitan pneumonia dalam kalangan orang tua boleh meningkatkan risiko kematian mereka sekiranya mereka lambat mendapatkan rawatan.
Jika anda merupakan salah seorang daripada individu yang menjaga orang tua, pastikan anda menjaga kebersihan dan kesihatan diri juga. Anda boleh menjadi sumber jangkitan tanpa disedari.
Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami simptom selesema, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat perubatan daripada doktor.
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus