backup og meta

Basmi Pencemaran Udara Secara Semula Jadi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/12/2019

    Basmi Pencemaran Udara Secara Semula Jadi

    Pencemaran udara bukanlah perkara yang asing terutamanya bagi negara yang sering mengalami jerebu seperti Malaysia. Walaupun begitu, ia tidak bermakna kita perlu lepas tangan dalam mengatasi masalah ini. Kajian telah menunjukkan bahawa penanaman pokok dan tumbuh-tumbuhan pada kawasan yang berdekatan dengan kilang-kilang dapat meningkatkan tahap kebersihan udara. Keberkesanannya adalah lebih tinggi berbanding teknologi yang dicipta oleh manusia! Teruskan membaca untuk mengetahui selanjutnya.

    Bahayanya pencemaran udara

    Ketidakseimbangan gas berbahaya berpunca daripada pencemaran udara pada lapisan atmosfera boleh mempengaruhi kesihatan manusia daripada sudut negatif. Ia merupakan masalah global yang sering menjadi topik perbincangan dan perdebatan memandangkan jumlah kilang-kilang yang menjadi sumber kepada pendapatan ekonomi negara kian meningkat. 

    Pelbagai jenis teknologi pernah diusulkan bagi menyelesaikan permasalahan ini, namun kebanyakannya memakan kos yang agak tinggi. Ini menyebabkan sesetengah kilang melanggar prasyarat operasi berikutan tidak sanggup untuk melabur ke arah jalan penyelesaian tersebut seterusnya membuatkan tahap pencemaran udara semakin teruk.

    Kesan buruk pembakaran gas rumah hijau dan pelepasan bahan kimia toksik kebiasaannya tertumpu di kawasan urban. Ini berikutan kekurangan sistem penapisan semula jadi, iaitu pokok-pokok, yang perlu ditebang dalam membina bangunan tinggi melangit sejajar dengan tahap kemajuan negara. Ia juga boleh menjadi bertambah teruk hasil daripada asap-asap yang dilepaskan oleh kenderaan berenjin, pembakaran arang dan proses pembasmian hutan.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara membunuh kira-kira 7 juta individu di seluruh dunia pada setiap tahun. Udara tercemar yang dihidu boleh menyebabkan komplikasi kesihatan kesan daripada peningkatan risiko terhadap penyakit strok, penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru dan jangkitan pernafasan akut. Apa yang lebih membimbangkan adalah 9 daripada 10 individu menghirup udara tersebut. Kesan pencemaran itu tidak tertumpu kepada manusia sahaja. Ia berpotensi untuk menghancurkan tanaman, menyebabkan kebuluran kesan daripada kekurangan bekalan makanan dan perubahan pada keasidan air hujan.

    Solusi semula jadi

    Di era globalisasi ini, tahap kebergantungan majoriti individu adalah terhadap teknologi. Oleh itu, apabila dibangkitkan persoalan berkenaan dengan penyelesaian krisis pencemaran udara, hanya segelintir yang akan memikirkan alternatif semula jadi. Kajian yang dijalankan oleh Bhavik Bakshi telah mendapati bahawa penanaman pokok-pokok pada kawasan bandar dan luar bandar dapat menurunkan tahap pencemaran udara. Walaupun kadarnya berbeza mengikut faktor persekitaran namun apa yang penting adalah pola penurunan itu sendiri.

    Tambahan pula, jika dibandingkan dengan teknologi canggih seperti alat penapisan asap kilang, penanaman pokok merupakan alternatif yang murah dan baik untuk jangka masa panjang. Pokok mempunyai kapasiti untuk menyerap dan memerangkap haba kesan daripada pengumpulan gas rumah hijau, merendahkan tahap ozon dan mengeluarkan gas oksigen. Ia juga mampu menyerap gas pencemaran seperti ammonia dan sulfur dioksida melalui daun-daun seterusnya bertindak sebagai sistem penapisan semula jadi yang efisien.

    Walaupun kajian yang dijalankan oleh Bakshi menunjukkan dapatan yang positif, namun ia tidak memperincikan jenis pokok yang sesuai ditanam bagi menghindari pencemaran udara. Ujarnya, kepelbagaian spesies tumbuh-tumbuhan pasti dapat memberi impak yang berbeza mengikut kapasiti masing-masing. Oleh itu, kajian lanjut perlu diteruskan bagi mengenal pasti pokok yang lebih efisien dalam menangani masalah pencemaran.

    Konklusi

    Penanaman semula pokok yang ditebang merupakan alternatif murah dan efisien dalam usaha membasmi pencemaran udara. Ia bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan berikutan ia boleh menyebabkan pelbagai jenis permasalahan. Langkah-langkah untuk membasminya perlu diambil serius oleh semua pihak agar tahap pencemaran dapat dikurangkan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan