Apa itu sakit prostat? Adakah anda mengambil tahu mengenai salah satu organ pembiakan kaum lelaki ini? Untuk kaum lelaki, anda mungkin kurang pengetahuan berkaitan fungsi dan peranannya, bukan? Walau bagaimanapun, tidak kira lelaki mahupun perempuan, anda seharusnya tahu apakah masalah prostat yang sering berlaku kepada kaum lelaki ini.
Lihat penerangannya di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Prostat, sila dapatkannya di sini.
Definisi
Apa itu sakit prostat?
Hanya orang lelaki sahaja yang mempunyai organ kelenjar prostat. Manakala kaum wanita pula tidak memilikinya. Apa itu sakit prostat? Prostat adalah salah satu daripada organ pembiakan orang lelaki.
Prostat adalah sejenis kelenjar yang bersaiz antara saiz walnut dan bola ping-pong. Ia terletak di kawasan antara zakar dan juga pundi kencing. Ia juga terletak berhadapan dengan rektum.
Tiub urethra melalui kawasan kelenjar prostat kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara pundi kencing dan juga hujung kepala zakar.
Antara fungsi utamanya ialah menghasilkan air mani untuk memudahkan pengeluaran sperma daripada kemaluan lelaki.
Namun, seperti mana organ lain di dalam tubuh manusia, prostat juga mempunyai beberapa masalah atau gangguannya yang tersendiri.
Masalah prostat yang sering berlaku dalam kalangan lelaki adalah seperti prostatitis atau radang prostat dan pembesaran prostat.
Kedua-dua masalah ini berisiko untuk berlaku pada lelaki dengan usia lanjut seperti 50 tahun ke atas.
Namun, ia tidak bermakna lelaki yang berusia lebih muda terlepas daripada risiko tersebut.
Ketiadaan prostat pada lelaki tidak mendatangkan satu masalah yang mengancam nyawa kerana ia bukanlah satu organ yang sangat penting kepada tubuh.
Namun, tanpa prostat, anda tidak dapat melahirkan zuriat kerana prostat terlibat dalam penghasilan benih orang lelaki. Kini, anda telah tahu apa itu prostat.
Fungsi
Terdapat tiga fungsi utama prostat yang anda mesti tahu. Fungsi-fungsinya adalah menghasilkan air mani, menutup tiub urethra semasa ejakulasi dan menghasilkan hormon.
#1. Penghasilan air mani
Antara fungsi utama prostat yang anda mesti tahu ialah ia menghasilkan cecair prostat yang menjadi sebahagian daripada kandungan air mani.
Prostat menghasilkan antara 20 hingga 30% daripada jumlah keseluruhan air mani yang dihasilkan oleh tubuh. Bakinya dihasilkan oleh vesikel dan juga testis.
Cecair prostat mengandungi beberapa komponen penting yang menjadikan air mani itu tempat yang sesuai untuk sperma terus hidup.
Cecair prostat mengandungi kandungan enzim, zink dan asid sitrik. Salah satu enzim terpenting adalah antigen khusus prostat atau dikenali dengan nama ringkasnya, PSA, yang berfungsi menjadikan air mani lebih cair.
Kegunaan cecair air mani ialah, ia memudahkan sperma untuk keluar melalui tiub urethra menuju ke ovum atau telur bagi tujuan persenyawaan.
Cecair prostat agak berasid, namun kehadiran cecair lain dalam air mani menjadikan keasidannya berubah kepada alkali.
Dengan itu, ia boleh disesuaikan dengan keadaan faraj yang berasid bagi melindungi sperma dalam air mani daripada rosak.
#2. Menutup tiub urethra semasa berlakunya ejakulasi
Urethra adalah sejenis tiub yang bersambung antara pundi kencing ke hujung kemaluan. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan air kencing dan air mani ketika berlakunya ejakulasi.
Semasa berlakunya ejakulasi, prostat akan berkontraksi dan mengeluarkan cecair prostat ke dalam tiub urethra. Cecair ini kemudiannya akan bercampur dengan sel sperma dan cecair daripada vesikel untuk menghasilkan air mani.
Sewaktu prostat berkontraksi, dalam masa yang sama, ia menutup bahagian tiub urethra yang bersambung dengan pundi kencing. Tujuannya adalah untuk elak air kencing terkeluar dan membiarkan air mani sahaja yang terpancut.
Dengan kata lain, prostat berfungsi menutup tiub urethra ketika ejakulasi berlaku supaya air mani dan air kencing tidak bercampur dan tidak keluar secara serentak.
Oleh sebab itu, orang lelaki tidak akan kencing dan mengeluarkan air mani dalam satu masa yang sama.
#3. Menghasilkan hormon orang lelaki
Prostat juga memerlukan androgen iaitu hormon lelaki agar ia dapat berfungsi dengan baik. Antara hormon yang diperlukan oleh prostat ialah testosteron. Dalam prostat, terdapat enzim yang disebut sebagai 5-alpha-reductase.
Enzim ini menukarkan testosteron kepada bentuk aktif yang dikenali sebagai dihydrotestosteron atau DHT.
Hormon ini sangat penting bagi perkembangan dan fungsi prostat normal yang kemudiannya membentuk perwatakan seorang lelaki seperti suara garau dan pertumbuhan bulu badan.
Gangguan prostat
Terdapat dua jenis gangguan atau masalah sakit prostat yang sering berlaku kepada orang lelaki iaitu:
- Pembesaran pada prostat (BPH)
Hiperplasia prostat tidak berbahaya (BPH), juga dikenali dengan nama pembesaran kelenjar prostat atau pembesaran prostat. Lazimnya, ia berlaku kepada lelaki berusia.
Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing. Tiub yang mengangkut air kencing dari pundi kencing keluar dari zakar (uretra) akan melalui kelenjar prostat. Apabila prostat membesar, ia mula menyekat aliran air kencing daripada keluar.
Sesetengah lelaki terus mengalami masalah pembesaran prostat sepanjang hidup mereka. Pertumbuhan secara berterusan ini menyebabkan prostat mereka menjadi semakin besar sehingga menyebabkan simptom masalah membuang air kecil yang kronik.
Salah satunya, sehingga boleh menyebabkan air kencing tidak keluar langsung. Namun, masih tiada punca yang jelas mengapa pembesaran prostat ini boleh berlaku. Tetapi, ini mungkin disebabkan oleh perubahan keseimbangan hormon seks apabila lelaki semakin berumur.
Kelenjar prostat membesar boleh menyebabkan simptom membuang air kencing yang tidak selesa, seolah-olah ada sekatan ketika membuang air kencing. Ia juga boleh menyebabkan masalah pada pundi kencing, saluran kencing atau buah pinggang pesakit.
Terdapat beberapa rawatan yang berkesan untuk masalah pembesaran kelenjar prostat. Antara rawatan yang biasa digunakan termasuklah ubat-ubatan, terapi invasif dan pembedahan.
Untuk memilih yang terbaik, doktor akan mempertimbangkan simptom, ukuran prostat, keadaan kesihatan lain yang mungkin dialami dan pilihan anda sendiri.
- Prostatitis atau radang prostat
Prostatitis adalah pembengkakan dan keradangan yang berlaku pada kelenjar prostat.
Kelenjar prostat memiliki ukuran saiz kacang walnut yang terletak tepat di bawah pundi kencing orang lelaki. Ia juga menghasilkan cecair (air mani) yang menyuburkan dan mengangkut sperma.
Prostatitis sering menyebabkan rasa sakit ketika membuang air kecil dan menyebabkan kesukaran untuk melakukannya.
Gejala lain termasuklah sakit pada bahagian pangkal paha dan kawasan pelvis atau alat kelamin. Ia kadangkala boleh menyebabkan gejala yang sama seperti flu.
Prostatitis menyerang lelaki daripada semua peringkat umur, tetapi lebih biasa berlaku pada lelaki berusia 50 tahun ke bawah. Keadaan ini disebabkan oleh beberapa faktor, namun ada ketikanya penyebabnya tidak diketahui.
Sekiranya prostatitis disebabkan oleh jangkitan bakteria, ia biasanya dapat dirawat melalui penggunaan antibiotik. Bergantung pada penyebabnya, prostatitis boleh muncul secara perlahan-lahan atau secara tiba-tiba. Ia mungkin bertambah baik dengan cepat, baik dengan sendiri atau melalui rawatan.
Beberapa jenis prostatitis boleh berlaku selama berbulan-bulan atau secara berulang-ulang iaitu prostatitis kronik. Sementara itu, Prostatitis bakteria akut pula disebabkan oleh strain bakteria biasa.
Jangkitan boleh bermula apabila bakteria dalam air kencing masuk ke dalam prostat pesakit. Jika berlaku, antibiotik akan digunakan untuk merawat jangkitan ini.
Sekiranya ubat tersebut tidak menghilangkan bakteria yang menjangkiti, prostatitis mungkin akan kembali berulang atau sukar dirawat (prostatitis bakteria kronik).
Kerosakan saraf pada saluran kencing bawah, yang boleh disebabkan oleh pembedahan atau trauma di kawasan tersebut, mungkin menyumbang kepada prostatitis yang tidak disebabkan oleh jangkitan bakteria.
Namun, ada juga kes prostatitis yang mana penyebabnya tidak dapat diketahui.
Bilakah perlu jumpa doktor?
Semestinya, apabila anda mempunyai sebarang simptom yang menunjukkan masalah ketika membuang air kecil, maka anda perlu terus berjumpa doktor.
Antara masalah tersebut adalah seperti kesakitan pada bahagian pelvis atau kemaluan, rasa sakit atau rasa tersekat ketika ingin membuang air kecil dan ejakulasi yang menyakitkan.
Selain itu, anda juga perlu berjumpa dengan doktor berdasarkan kriteria berikut:
- Usia
Masalah seperti pembesaran prostat jarang menunjukkan sebarang simptom bagi lelaki yang berumur kurang 40 tahun.
Sekitar satu per tiga lelaki mengalami simptom sederhana ketika berumur 60 tahun. Separuh lelaki pula mengalami simptom ketika sudah berumur 80 tahun.
- Sejarah keluarga
Anda juga boleh melakukan pemeriksaan prostat jika mana-mana ahli keluarga terdekat anda pernah atau sedang mengalami masalah pada prostat.
Anda berpotensi untuk mengalaminya juga disebabkan oleh genetik atau sejarah keluarga.
- Gaya pemakanan
Jika anda seorang yang tidak begitu menjaga pemakanan atau obes, anda berisiko juga mengalami masalah pada prostat.
Kesimpulan
Walaupun masalah atau gangguan pada prostat ini tidaklah begitu kronik seperti penyakit lain, namun ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi kepada anda.
Anda tidak akan berasa selesa setiap kali ingin membuang air kecil. Malah, jika tidak membuat pemeriksaan, anda mungkin tidak tahu sedang mengalami gangguan biasa atau masalah kronik seperti kanser prostat.
Jika sakit prostat anda kekal bermasalah, potensi untuk menghasilkan sperma juga akan menjadi terbatas dan mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan cahaya mata.
Oleh itu, segeralah berjumpa doktor jika anda menyedari sebarang perubahan pada bahagian pelvis atau ketika membuang air kecil.