home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Apa Itu Prostatitis? Sejenis Penyakit Radang Prostat Yang Biasa Berlaku Pada Lelaki

Apa Itu Prostatitis? Sejenis Penyakit Radang Prostat Yang Biasa Berlaku Pada Lelaki

Salah satu daripada gangguan yang sering berlaku pada bahagian prostat lelaki ialah penyakit prostatitis. Apa itu prostatitis? Ikuti penerangan mengenainya di bawah ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Prostat, sila dapatkannya di sini.

Apa itu prostatitis?

Anda pasti tertanya-tanya apa itu prostatitis, kan? Penyakit prostatitis adalah pembengkakan dan keradangan yang berlaku pada kelenjar prostat.

Prostat adalah sejenis kelenjar yang bersaiz sebesar kacang walnut yang terletak tepat di bawah pundi kencing lelaki. Fungsi Kelenjar prostat ialah menghasilkan air mani bagi orang lelaki.

Prostatitis sering menyebabkan pembuangan air kencing yang menyakitkan dan ia biasanya menyerang lelaki daripada semua peringkat umur tetapi lebih kerap berlaku pada lelaki yang berusia 50 tahun ke bawah.

Kini anda telah tahu apa itu prostatitis.

Jenis-jenis penyakit prostatitis

penyakit prostatitis

Penyakit prostatitis boleh dibahagikan kepada 3 jenis yang utama. Berikut adalah jenis-jenis prostatitis:

#1. Prostatitis kronik

Punca sebenar yang menyebabkan prostatitis kronik ini tidaklah begitu diketahui. Namun, para penyelidik percaya, ia mungkin berkaitan dengan tindak balas sistem imun terhadap jangkitan saluran kencing yang pernah berlaku sebelum ini. Prostatitis kronik adalah jenis prostatitis yang paling biasa terjadi kepada orang lelaki.

#2. Prostatitis bakteria akut

Prostatitis bakteria akut berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jenis prostatitis ini melibatkan gejala seperti kesakitan yang biasanya agak teruk dan berlaku secara tiba-tiba.

#3. Prostatitis bakteria kronik

Penyakit prostatitis jenis ini juga disebabkan oleh jangkitan bakteria. Namun, ia berkembang secara perlahan-lahan dari masa ke masa. Gejala biasanya berbentuk lebih ringan jika di bandingkan dengan prostatitis bakteria akut.

Simptom penyakit prostatitis

Simptom bagi penyakit prostatitis ini boleh berlaku dalam bentuk yang pelbagai, bergantung kepada punca yang menyebabkannya.

Antara simptom atau gejala prostatitis yang boleh berlaku ialah:

  • Rasa sakit atau rasa seperti terbakar ketika membuang air kecil
  • Berasa sukar untuk membuang air kecil
  • Kerap membuang air kecil terutamanya pada waktu malam
  • Kerap berasa seperti hendak kencing
  • Air kencing warna kelabu
  • Terdapat kandungan darah dalam air kencing
  • Rasa sakit pada bahagian badan, pangkal paha dan belakang bawah badan
  • Rasa sakit pada bahagian antara kantung zakar dan rektum
  • Rasa sakit pada bahagian zakar atau testis
  • Rasa sakit ketika berlakunya ejakulasi

Punca yang menyebabkan penyakit prostatitis

Prostatitis bakteria akut seringkali berlaku disebabkan oleh strain bakteria biasa. Jangkitan boleh bermula apabila bakteria dalam air kencing masuk ke dalam prostat pesakit.

Bakteria yang sering menjangkiti lelaki berumur 35 tahun ke atas ialah Escherichia coli. Antibiotik akan digunakan untuk merawat jangkitan ini.

Sekiranya jangkitan bakteria ini tidak dirawat, prostatitis mungkin kembali berulang atau sukar dirawat (prostatitis bakteria kronik).

Kerosakan saraf di saluran kencing bawah, yang mungkin disebabkan oleh pembedahan atau trauma ke kawasan tersebut, mungkin menyumbang kepada prostatitis yang tidak disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Dalam kebanyakan kes prostatitis, puncanya tidak dapat diketahui.

Faktor risiko bagi prostatitis

apa itu prostatitis

Dalam kalangan lelaki di bawah umur 50 tahun, prostatitis dikatakan salah satu masalah saluran kencing yang paling biasa berlaku.

Dalam kalangan lelaki yang berusia lebih dari 50 tahun pula, ini adalah masalah saluran kencing yang ketiga paling biasa berlaku.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu tersebut berisiko lebih tinggi untuk mendapat prostatitis. Ini termasuklah:

  • Lelaki yang lebih muda atau berusia pertengahan lebih berisiko mendapat prostatitis
  • Pernah mengalami prostatitis sebelum ini
  • Mempunyai jangkitan pada pundi kencing atau pada tiub urethra
  • Mempunyai kecederaan atau trauma pada bahagian pelvis
  • Menggunakan tiub saluran kencing
  • Mempunyai HIV atau AIDS
  • Menjalani biopsi prostat

Diagnosis dan rawatan bagi prostatitis

Terdapat beberapa kaedah diagnosis yang akan dijalankan untuk menentukan sama ada anda mengalami prostatis atau tidak. Kaedah diagnosis tersebut ialah:

Urinalisis

Urinalisis adalah satu ujian yang memeriksa sampel air kencing. Doktor akan memeriksa kehadiran sebarang bakteria dalam air kencing anda.

Ujian darah

Sampel darah akan diambil bagi melihat sebarang jangkitan atau masalah yang berlaku pada prostat seperti prostatitis

Sitoskopi

Sejenis skop akan dimasukkan ke dalam hujung zakar dan digunakan untuk memeriksa saluran air kencing jika terdapat sebarang sekatan, penyempitan atau batu karang.

Ultrasound transrectal

Ultrasound transrectal (TRUS) adalah prosedur pesakit luar yang menggunakan gelombang bunyi untuk membuat gambar video kelenjar prostat anda.

Probe kecil yang telah diletakkan dengan pelincir dimasukkan ke dalam rektum akan melepaskan gelombang bunyi, yang kemudiannya menimbulkan gema ketika memasuki prostat.

Biopsi prostat

Biopsi prostat adalah sejenis prosedur yang dilakukan dengan penggunaan ubat bius. Ia adalah sejenis prosedur yang melibatkan penyingkiran dan pemeriksaan cebisan tisu prostat yang sangat kecil untuk memeriksa sebarang masalah yang berlaku pada prostat.

Analisis air mani

Analisis air mani seringkali digunakan untuk mengukur kualiti dan jumlah sperma dalam air mani. Untuk penyakit prostatitis, air mani dapat dinilai untuk melihat tanda jangkitan dan dikultur untuk mengesan sebarang kewujudan mikro organisma di dalamnya.

Urutan prostat

Dalam kes yang jarang berlaku, doktor juga mungkin akan mengurut prostat anda dan menguji rembesan daripadanya.

Terdapat tiga kaedah rawatan utama yang digunakan bagi merawat masalah prostatitis ini.

Rawatan-rawatan tersebut ialah:

Penggunaan antibiotik

Pemberian antibiotik adalah rawatan prostatitis yang paling biasa dilakukan doktor. Doktor akan memilih ubat berdasarkan jenis bakteria yang mungkin menyebabkan jangkitan pada prostat anda.

Sekiranya anda mengalami simptom teruk, anda mungkin memerlukan antibiotik intravena (IV).

Selain itu, anda mungkin perlu mengambil antibiotik oral selama empat hingga enam minggu. Namun, anda juga mungkin memerlukan rawatan yang lebih lama bagi prostatitis yang kronik atau berulang.

Penyekat alpha

Ubat-ubatan jenis ini membantu merehatkan leher pundi kencing dan serat otot di mana prostat anda bersambung dengan pundi kencing. Rawatan ini dapat meredakan gejala seperti pembuangan air kencing yang menyakitkan.

Agen anti radang

Ubat-ubatan anti radang tanpa steroid (NSAID) mungkin boleh membantu anda berasa lebih lega dengan simptom yang dialami.

Langkah pencegahan bagi mencegah penyakit prostatitis

Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mencegah masalah prostatitis. Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

#1. Menjaga kebersihan diri

Anda perlu sentiasa menjaga kebersihan diri terutamanya selepas membuang air kecil. Cuci kemaluan dengan sebersihnya menggunakan air dan juga sabun bagi mengelakkan jangkitan bakteria.

#2. Banyakkan berdiri

Selain itu, kekalkan gaya hidup aktif. Banyakkan berdiri berbanding hanya duduk sepanjang masa. Dengan cara ini, prostat anda juga akan menjadi lebih sihat.

#3. Banyakkan bersenam

Salah satu cara untuk mengekalkan keaktifan hidup anda adalah melalui senaman atau bersukan. Kerap bersukan boleh membantu mencegah banyak masalah kesihatan termasuklah prostatitis.

#4. Makan banyak sayuran dan buah-buahan

Selain itu, banyakkan juga mengambil makanan yang sihat seperti buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Banyakkan juga minum air kosong bagi mengekalkan kandungan air dalam badan.

#5. Elakkan makanan pedas

Sebaiknya, cuba elakkan masakan pedas dalam masakan anda atau sekurang-kurangnya, kurangkan pengambilannya setiap hari.

Kesimpulan

Penyakit prostatitis atau dikenali juga sebagai radang prostat adalah sejenis penyakit yang biasa berlaku pada kaum lelaki. Ia boleh terjadi disebabkan beberapa punca, termasuklah jangkitan bakteria.

Oleh itu, pastikan anda menjaga kebersihan kemaluan agar tidak mudah dijangkiti bakteria yang seterusnya boleh menyebabkan prostatitis.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

https://www.nhs.uk/conditions/prostatitis/

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostatitis/symptoms-causes/syc-20355766

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostatitis/diagnosis-treatment/drc-20355771

https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/p/prostatitis-(infection-of-the-prostate)

https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/prostate-problems/prostatitis-inflammation-prostate

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz Disemak pada 25/07/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan