Membuang air kecil adalah satu lumrah bagi setiap individu namun lain pula ceritanya jika terlalu kerap kencing. Untuk pengetahuan anda, keadaan kesihatan ini mungkin disebabkan oleh pundi kencing yang lemah dan sukar mengawal air kecil. Ada juga yang percaya ia didalangi oleh kesan buruk melancap. Benarkah?
Jom ikuti artikel ini untuk mengetahui jawapannya!
1.4 juta rakyat negara kita alami pundi kencing lemah!
Ya, angka yang menakutkan ini telah dikeluarkan oleh laporan Yayasan Kontinens Malaysia dan dijangka akan meningkat sebanyak 4.5% setiap tahun.
Sering kali dikaitkan dengan individu yang berusia, ia adalah satu masalah yang berkaitan dengan kerosakan dan kelemahan pundi kencing.
Kesannya, ia akan membuat individu lebih kerap rasa ingin membuang air kecil sehinggakan ada yang terpaksa ke tandas setiap 5 minit sekali.
Berdasarkan kajian, sejumlah 69% individu yang berdepan dengan masalah ini tidak mahu mendapatkan bantuan rundingan.
Ini disebabkan oleh rasa malu atau takut yang sebenarnya perlu dibuang untuk menangani masalah ini daripada terus meruncing.
Antara punca pundi kencing lemah adalah kesan kehamilan, efek kelahiran, menopaus serta penuaan.
Namun ada juga yang percaya ia adalah kesan buruk melancap! Benarkah?
Pundi kencing lemah angkara kesan buruk melancap?
Seperti mana yang kita semua sudah sedia maklum, beronani adalah satu perbuatan yang buruk kerana terdapat banyak akibatnya pada fizikal dan mental.
Pada mental, kesannya adalah ketagihan yang akan mengakibatkan pelaku lebih banyak dan sering melakukannya pada sesuatu waktu.
Pada fizikal, kesannya adalah kerosakan alat sulit yang akan mengakibatkan masalah seperti ereksi tidak kuat serta ejakulasi pramatang.
Dalam pada itu, ia juga selalu dikaitkan dengan masalah kerap kencing ekoran pundi kencing yang lemah.
Pun begitu, Pakar Urologi Dr Raguram Ganesomoni menyatakan bahawa pundi kencing lemah bukanlah antara kesan buruk melancap.
Meskipun demikian, adalah disarankan untuk kalian berhenti mengamalkan tabiat buruk ini untuk mengelakkan kesan buruk yang lain.
Jadi, apa punca kerap kencing yang sebenar?
Sudah terjawab persoalan pada tajuk artikel, namun punca kerap kencing yang sebenar selain pundi kencing tidak kuat adalah seperti berikut:
Kencing manis
Untuk pengetahuan anda, diabetes adalah salah satu punca utama mengapa anda terlalu kerap ke tandas.
Jika anda disahkan positif kencing manis, amat penting untuk anda mengawalnya sebelum bertambah melarat.
Diabetes selalunya boleh dikawal dengan mengamalkan cara hidup sihat dan pemakanan yang bernutrisi tetapi rawatan menggunakan ubatan juga sangat penting.
Batu karang
Batu karang pundi kencing sering terjadi apabila kandungan mineral di dalam pundi kencing menjadi terlalu pekat.
Ini akan menyebabkan kepedihan dan pendarahan ketika kencing selain menjadi punca kerap buang air kecil.
Biasanya, masalah ini akan pulih dengan sendirinya apabila ia keluar daripada tubuh badan secara semula jadi.
Namun, terdapat kes yang memerlukan prosedur pembedahan oleh doktor jika batu karang ini tersumbat di dalam pundi kencing, jadi sila berjumpa doktor segera.
Jangkitan pada saluran air kencing
Banyak kajian yang mengatakan kebanyakan individu pasti akan mengalami masalah ini sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Jangkitan ini selalunya akan berserta dengan rasa sensasi seperti terbakar ketika membuang air kecil.
Masalah ini juga kadangkala akan menyebabkan kebocoran pada pundi kencing namun mempunyai kaedah rawatan yang mudah untuk dirawat.
Obesiti
Kegemukan turut menjadi salah satu punca mengapa anda terlalu kerap kencing.
Berat badan yang berlebihan akan memberi tekanan pada pundi kencing, yang boleh menyebabkan anda lebih kerap untuk berulang alik ke bilik air.
Kalian boleh cuba untuk mengamalkan aktiviti bersenam dalam rutin harian anda untuk membuang lemak-lemak tubuh badan yang berlebihan.
Mengurangkan berat badan semestinya mampu untuk membantu masalah kerap kencing ini.
Buang tabiat melancap dan jalani kehidupan yang lebih sihat!
Mungkin benar bahawa kesan buruk melancap tidak akan mengakibatkan masalah seperti kerap membuang air kecil namun ia masih perlu dielakkan.
Di samping itu, sila jalani kehidupan yang lebih sihat untuk meminimumkan faktor risiko yang menyebabkan pundi kencing anda menjadi lemah.
Adakah anda mahu masalah ini berterusan sepanjang hidup? Bertindaklah dengan kadar segera!