backup og meta

Kudis Buta: Memahami Jangkitan Kutu Sarcoptes Scabiei

Kudis Buta: Memahami Jangkitan Kutu Sarcoptes Scabiei

Apa Itu Kudis Buta?

Penyakit kudis buta atau lebih dikenali sebagai ‘Scabies’, adalah sejenis jangkitan parasit manusia yang disebabkan oleh sejenis kutu yang diberi nama Sarcoptes scabiei. Lebih tepat lagi, kutu yang membenamkan dirinya ke dalam kulit manusia dan mengakibatkan kudis buta ini adalah kutu betina spesis Sarcoptes scabiei, dan penyakit ini boleh berjangkit dari satu individu kepada individu yang lain (melalui pemindahan kutu). Kutu ini juga bukanlah unik untuk manusia kerana ianya juga mampu menyebabkan penyakit kudis buta kepada binatang-binatang domestik seperti anjing dan kucing peliharaan, dan juga binatang liar seperti babi hutan, beruang Koala dan juga mawas.

Kutu Sarcoptes scabiei ini mula dikenalpasti sebagai agen mikroskopik yang menyebabkan keadaan gatal-gatal pada badan manusia, pada tahun 1687. Apa yang lebih menarik, penemuan yang dibuat oleh dua ahli biologi dari Itali ini merupakan permulaan kepada cabang pengetahuan dan kefahaman peradaban manusia, tentang agen-agen mikroskopik sebagai pembawa dan penyebab penyakit dalam manusia.

Kitaran hidup kutu ini bermula dengan kutu betina yang bunting akan membenamkan dirinya ke bahagian bawah lapisan atas kulit manusia (Stratum corneum). Kutu-kutu betina yang bunting ini kemudiannya akan menyemai telur-telur mereka di kawasan yang telah ia gali (sekitar dua hingga 3 telur disemai setiap hari). Seekor kutu betina mampu untuk menyemai sehingga 30 biji telur secara keseluruhan dan setelah lengkap proses ini, kutu betina ini akan mati di dalam ‘terowong kulit’ yang telah ia gali. Setelah tempoh sekitar 10 hari, telur ini akan menetas menjadi larva, bergerak-gerak di dalam kulit, bertukar ke fasa ‘nymph’ sebelum mereka matang menjadi kutu dewasa. Kemudiannya, kutu-kutu yang telah dewasa ini akan terus tinggal dalam kulit manusia untuk tempoh tiga hingga empat minggu lagi.

Beban Penyakit Kudis Buta

Penyakit kudis buta ini merupakan antara penyakit dermatologi (kulit) yang paling lazim di dunia, khususnya dalam negara-negara yang membangun dan negara-negara dunia ketiga. Pada satu-satu masa, dianggarkan seramai 130 juta manusia menghidap keadaan ini. Kudis buta ini mampu berlaku dan menjangkiti sesiapa sahaja namun ianya lebih tertumpu dalam negara-negara tidak membangun yang mempunyai iklim tropika yang panas, khususnya dalam kanak-kanak kecil dan golongan tua dalam komuniti-komuniti miskin di negara-negara tersebut. Walaupun ianya bukanlah masalah yang semestinya disebabkan oleh kurangnya penjagaan kebersihan, taburan kes kudis buta lazimnya berlaku dalam populasi yang hidup secara beramai-ramai, sesak dan kurang bersih.

[embed-health-tool-bmi]

Peranan Kutu Dalam Menyebabkan Penyakit Kudis Buta

Apabila kutu betina yang bunting ini membenamkan dirinya ke dalam lapisan atas kulit manusia, tindak balas alahan akan berlaku terhadap protein-protein kutu ini sekitar 30 hari daripada titik masuk kutu-kutu betina ini. Simptom-simptom tindak balas alahan inilah yang sering dikaitkan sebagai simptom jangkitan kudis buta iaitu:

  1. Rasa gatal – Rasa gatal ini merupakan simptom utama yang dikaitkan dengan jangkitan kutu Sarcoptes scabiei dan ianya akan merasa seperti lebih teruk di waktu malam dan juga dalam keadaan atau cuaca yang panas. Namun yang demikian, berbanding dengan kanak-kanak kecil yang dijangkiti, simptom rasa gatal ini didapati kurang berlaku dalam golongan warga tua yang menghidap jangkitan yang sama. Apabila sering digaru kawasan-kawasan yang gatal ini, ianya mampu berubah menjadi nodul, khususnya di bahagian sekitar kemaluan dan buah dada.
  1. Jejak kutu (Burrows) – Jejak kutu ini boleh dilihat pada bahagian kulit sekitar celah-celah jari, celah-celah jari kaki, bahagian pergelangan tangan, siku, punggung dan juga sekitar bahagian kemaluan. Jejak kutu ini adalah hasil galian kutu dewasa dan ianya mirip garisan lurus atau berbentuk ‘S’.
  1. Ruam dan Gelembung – Ruam dan gelembung ini juga boleh didapati di kawasan yang sama dengan jejak-jejak kutu dan ianya lebih kerap dilihat dalam kanak-kanak kecil. Ruam dan gelembung ini boleh mirip gigitan nyamuk atau serangga, yang telah membengkak. Untuk kanak-kanak yang mengalami masalah sistem imun yang lemah, jejak-jejak kutu dan juga ruam dan gelembung ini boleh berlaku di kawasan kulit muka dan kepala.

Memandangkan simptom-simptom ini adalah kesan tindak balas alahan badan terhadap protein-protein pada kutu tersebut, sekiranya anda dijangkiti semula dengan kutu ini di masa hadapan, simptom-simptom kudis buta akan berlaku dengan lebih awal, dalam lingkungan 1 hari hingga 4 hari daripada titik mula kutu membenamkan dirinya ke dalam kulit.

Terdapat juga sejenis variasi klinikal kudis buta yang jarang berlaku, disebut sebagai ‘crusted scabies’ (kudis buta berkerak). Variasi ini lazimnya berlaku dalam pesakit-pesakit yang tua atau yang mempunyai keadaan yang menyebabkan sistem imun mereka menjadi lemah, termasuklah mereka yang menghidap Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) dan juga mereka yang menjalani rawatan kemoterapi untuk penyakit kanser. Ianya dicirikan dengan jangkitan kutu yang sangat banyak (dalam jutaan kutu) menyebabkan kerak pada keseluruhan kulit yang lazimnya, tidak bersifat gatal. Pentingnya untuk dikenalpasti golongan-golongan yang menghidap variasi ini adalah kerana mereka merupakan sumber jangkitan dan jangkitan semula kepada orang sekeliling mereka dan juga komuniti yang didiami.

Bagaimana Seseorang Itu Boleh Dijangkiti?

Seperti yang telah diceritakan, penyakit ini boleh berjangkit dari satu individu kepada individu yang lain melalui pemindahan kutu-kutu Sarcoptes scabiei. Justeru sentuhan kulit ke kulit adalah kaedah utama dan yang paling mudah untuk memindahkan kutu-kutu ini kepada orang lain. Seseorang juga mampu untuk memindahkan jangkitan kutu ini kepada bahagian badan yang lain apabila mereka menyentuhnya dengan tangan mereka (seperti memindahkan kutu daripada tangan ke bahagian punggung).

Walaupun kebanyakan jangkitan berlaku melalui bentuk sentuhan kulit ke kulit yang lain, sentuhan ini juga boleh berlaku melalui hubungan seksual. Sungguhpun begitu, penggunaan perlindungan seperti kondom lateks ketika melakukan hubungan seksual tidak memberi perlindungan yang signifikan daripada jangkitan kutu ini. Hal ini kerana kutu ini lazimnya akan berpindah ke bahagian kulit yang dari satu individu kepada individu lain, yang tidak terhad kepada bahagian kelamin sahaja.

Selain itu, kaedah lain dalam menyebarkan kutu ini adalah melalui perkongsian pakaian, tuala, cadar dan juga sarung bantal. Walau bagaimanapun, kaedah penyebaran seperti ini lebih kerap berlaku dalam mereka yang hidup dalam keadaan sesak dan beramai-ramai kerana kutu Sarcoptes scabiei ini hanya boleh hidup dalam dua hingga tiga hari sahaja apabila berjauhan daripada kulit manusia dan pada suhu bilik.

Kaedah Untuk Mendiagnos Jangkitan Kutu Sarcoptes scabiei

Lazimnya, diagnosis kudis buta ini dapat dibentuk dengan oleh doktor hanya dengan melihat dan enilai ciri-ciri klinikal (simptom-simptom dan tanda-tanda) yang ada pesakit. Namun yang demikian, terdapat juga beberapa cara untuk memastikan kewujudan kutu-kutu Sarcoptes scabiei ini pada kulit pesakit.

Bahagian kulit yang disyaki dijangkiti dengan kutu ini akan disapu dengan larutan tetracycline (sejenis larutan antibiotik). Kulit yang telah disapu dengan larutan ini akan dilap menggunakan tisu basah beralkohol. Jika seseorang itu dijangkiti oleh kutu Sarcoptes scabiei, corak zigzag atau berbentuk ‘S’ akan terlihat dan corak yang kelihatan ini sebenarnya adalah jejak-jejak kutu di bawah kulit anda. Namun yang demikian, jika beban kutu itu tidak banyak dan sekiranya permukaan kulit penghidap itu penuh dengan kesan regangan kulit, corak-corak ini mungkin sukar untuk dilihat dengan jelas.

Kaedah lain yang boleh digunakan untuk memastikan kewujudan kutu ini pada kulit anda adalah dengan mencari kewujudan telur dan juga tahi kutu-kutu ini. Ini boleh dilakukan dengan mengambil sampel kulit (dengan menggarukan alat pengumpulan spesimen) pada bahagian yang disyaki mempunyai kutu dan meletakkan sampel itu pada slaid kaca, sebelum menitiskan cecair Potasium Hidroksida pada sampel tersebut. Slaid ini kemudiannya akan dilihat menggunakan dermatoskopi atau melalui lensa mikroskop untuk mengesahkan kewujudan kutu, telur atau tahinya.

Simptom-simptom jangkitan kutu ini pada peringkat awalnya mungkin sama dengan keadaan kulit yang lain. Antara keadaan kulit lain yang mempunyai simptom dan tanda yang hampir sama adalah dermatitis, sifilis, erythema multiforme, sindrom-sindrom urticaria, tindak balas alahan dan juga penyakit berkaitan jangkitan cacing gelang. Justeru, pemeriksaan oleh doktor adalah penting bagi memastikan keadaan apa yang anda alami agar rawatan yang tepat dapat diberikan.

Rawatan Untuk Penyakit Kudis Buta

Rawatan untuk penyakit ini membabitkan penggunaan ubat dan juga pencegahan jangkitan semula. Ubat yang sering digunakan dalam rawatan kudis buta adalah ubat topikal (ubat sapuan pada kulit). Ubat sapuan utama yang digunakan untuk rawatan jangkitan ini adalah losyen atau krim Premethrin. Losyen atau krim Premethrin ini adalah ubat pilihan di seluruh dunia kerana keberkesanannya dalam merawat dan juga dalam mencegah jangkitan baru. Sebagai langkah pencegahan, orang yang berhubung rapat dengan pesakit (contohnya ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah) juga perlu dirawat bersama.

Menurut Garis Panduan Pengurusan Kudis Buta Dalam Orang Dewasa Dan Kanak-Kanak, berikut adalah cara-cara yang tepat untuk menggunakan ubat-ubat topikal kudis buta (ubat topikal 5% Permethrin, 12.5% dan 25% Benzyl Benzoate):

  1. Pesakit perlu mandi dengan air suam atau mandi menggunakan sabun dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat. Mereka juga perlu memakai pakaian, cadar, dan tuala yang bersih.
  1. Ubat topikal 12.5% atau 25% Benzyl Benzoate perlu disapu untuk 24 jam. Manakala bagi 5% Permethrin, ubat perlu disapu untuk 8 jam iaitu sapu pada waktu malam dan biarkan semalaman.
  1. Ubat perlu disapu pada seluruh bahagian kulit dari leher ke bawah. Sebab utama rawatan tidak berkesan kerana ubat tidak disapu dengan betul. Pastikan ubat disapu pada semua bahagian pelipat termasuk celah jari tangan dan kaki, bahagian alat sulit, pusat, dan ketiak. Pastikan kuku dipotong, dan sapu ubat dengan nipis pada bahagian bawah kuku menggunakan berus kuku. Untuk bayi pula, sarung tangan perlu dipakai bagi mengelakkan ubat hilang dari kulit dan termakan ubat.
  1. Sekiranya rawatan gagal atau pesakit dalam kumpulan berisiko, bahagian kulit yang perlu disapu adalah termasuk muka dan kepala (elakkan mata dan mukosa).
  1. Pastikan ubat disapu semula dengan serta merta sekiranya ubat telah dibasuh atau hilang dari kulit (contohnya membasuh tangan).
  1. Apabila masa yang diperlukan telah cukup, basuh ubat menggunakan sabun dan mandi dengan air suam. Pakaian dan cadar yang bersih perlu digunakan selepas rawatan. Bagi pesakit yang bekerja, mereka boleh kembali bekerja 24 jam selepas rawatan pertama.
  1. Basuh cadar dan pakaian yang telah digunakan 72 jam lebih awal sebelum rawatan dengan air panas (>50°C). Bagi item yang tidak boleh dibasuh, bungkus dalam beg plastik selama 72 jam. Permukaan perabot dan permaidani haruslah dinyahjangkit dengan haba (seperti stim) atau hilangkan kutu kudis buta secara fizikal (seperti menggunakan penyedut hampagas).

Sekiranya rawatan gagal atau disyaki jangkitan berulang, sila rujuk kepada doktor semula.

Selain ubat topikal Premethrin dan juga ubat topikal Benzyl Benzoate, antara ubat-ubat topikal lain yang turut digunakan sebagai pilihan rawatan adalah losyen Lindane, Crotamiton dan juga ubat berteraskan sulfur. Setiap ubat ini diberikan oleh doktor mengikut kesesuaian pesakit dan bukannya boleh dipukul rata dengan rawatan yang sama. Ini kerana ada ubat yang tidak selamat untuk ibu mengandung, kanak-kanak dan juga mampu untuk mencetuskan tindak balas alahan yang teruk.

Selain ubat topikal, terdapat juga ubat oral yang turut digunakan sebagai rawatan sokongan iaitu ubat Ivermectin. Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang berkesan dalam menghapuskan kutu Sarcoptes scabiei (lazimnya dalam satu dos sahaja). Ianya juga adalah ubat pilihan dalam rawatan crusted scabies, di samping digunakan sebagai rawatan sokongan kepada ubat-ubat topikal.

Sebagai pencegahan dari sudut persekitaran, doktor akan menasihati anda untuk merendam cadar, tuala, baju, selimut dan juga sarung bantal anda dalam air yang panas (tetapi tidak mendidih) dan menjemurnya atau mengeringkannya dengan haba yang mencukupi. Ini kerana kutu-kutu ini dan telurnya akan mati apabila terdedah dengan haba yang mencukupi.

Komplikasi Jika Tidak Dirawat

Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penyakit ini juga mampu bertambah keruh dan komplikasi boleh terjadi.

Sekiranya penghidap menggaru bahagian-bahagian badan yang gatal, kesan berterusan tindakan ini akan menyebabkan integriti kulit terganggu dan jangkitan bakteria sekunder boleh mengambil tempat. Antara keadaan kesihatan yang selalu berlaku akibat ini adalah Impetigo, jangkitan kulit akibat infiltrasi bakteria Streptococcus pyogenes dan juga Staphylococcus aureus. Dari sini, jangkitan daripada bakteria Streptococcus boleh menyebabkan pelbagai penyakit-penyakit lain seperti jangkitan invasif spesis Streptococcus, Demam ‘Scarlet fever’, streptococcal toxic shock syndrome; dan juga keadaan-keadaan autoimmun seperti demam reumatik.

Penyakit kudis buta akibat jangkitan kutu Sarcoptes scabiei ini merupakan sejenis jangkitan parasit yang lazim bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Pentingnya untuk kita menyedari tanda-tanda dan simptom-simptom jangkitan ini dan memahami profil pembiakan dan penularan kutu ini. Kegagalan untuk mengenalpasti simptom dan tanda jangkitan akan menyebabkan berlakunya pelengahan dalam mendapatkan rawatan, ataupun kemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan langsung. Hal ini khususnya untuk orang dewasa di mana simptom gatal mereka adalah kurang dan tanda-tanda lain adalah kurang jelas. Langkah pencegahan juga akan menjadi kurang efektif jika kita gagal untuk mendapatkan maklumat dan rawatan yang mencukupi, sekaligus menyebabkan kita terdedah kepada pelbagai komplikasi dan penyakit yang tidak diingini. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut atau menyedari anda mempunyai simptom dan tanda kudis buta, anda boleh berjumpa dengan doktor anda bagi pemeriksaan dan rawatan secukupnya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

WHO | Scabies [Internet]. WHO. [cited 2019 May 17]. Available from: http://www.who.int/lymphatic_filariasis/epidemiology/scabies/en/

McCarthy JS, Kemp DJ, Walton SF, Currie BJ. Scabies: more than just an irritation. Postgraduate Medical Journal. 2004 Jul 1;80(945):382–7.

Chandler DJ, Fuller LC. A Review of Scabies: An Infestation More than Skin Deep. DRM. 2019;235(2):79–90.

Versi Terbaru

17/01/2023

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Test Subot

Ingin Anak Kekal Aktif Bertenaga Pada Bulan Ramadan? 5 Tip Ini Pasti Dapat Membantu


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 17/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan