backup og meta

Mineral Dan Vitamin Penting Ketika Berpuasa Di Bulan Ramadan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 30/09/2021

    Mineral Dan Vitamin Penting Ketika Berpuasa Di Bulan Ramadan

    Puasa yang dilakukan selama hampir 12 jam pastinya mempunyai cabaran tersendiri buat anda. Bukan hanya hawa nafsu saja yang dicabar, tubuh anda juga dicabar untuk kekal kuat sepanjang hari selama menjalani puasa. Tidak cukup dengan zat sumber makanan seperti karbohidrat, lemak, protein serta gula sahaja, badan juga memerlukan vitamin dan mineral penting untuk memberikan kesihatan fizikal sepanjang bulan Ramadhan ini.

    Mengapa badan kita memerlukan lebih banyak mineral dan vitamin semasa berpuasa?

    Vitamin dan mineral merupakan nutrisi organik yang terdapat di dalam pelbagai bahan makanan dan tersedia secara khusus dalam bentuk suplemen. Kedua-duanya sangat diperlukan oleh badan untuk menjalankan pelbagai fungsi metabolisme. Lebih-lebih lagi ketika berpuasa, badan yang tidak makan dan minum perlahan-lahan akan kehilangan nutrisi penting yang boleh menjejaskan kesihatan.

    Jasi, apakah mineral dan vitamin yang diperlukan semasa berpuasa?

    1. Vitamin A

    Kenapa badan memerlukan vitamin A semasa berpuasa? Vitamin A mempunyai banyak peranan penting yang membantu badan setiap hari. Beberapa fungsi vitamin A antara lain sebagai alat untuk meningkatkan ketahanan tubuh dan untuk penglihatan. Vitamin A, yang juga mengandungi zat beta karotena boleh membantu retina, kornea, dan mata agar berfungsi dengan baik sewaktu berpuasa.

    Untuk mendapatkan vitamin A yang maksimum, ia boleh didapati di dalam ubi keledek, hati lembu, sayur bayam, susu, telur dan bahkan lobak merah. Jika anda ingin mendapatkan vitamin A yang cukup semasa berpuasa,sebaiknya ambil sebiji ubi keledek rebus bersama kulitnya. Sebiji ubi keledek mengandungi lebih daripada 28,000 mcg vitamin A. Dengan jumlah kandungan tersebut, ia sudah lebih daripada cukup untuk memenuhi keperluan vitamin A setiap hari.

    2. Vitamin C

    Vitamin C terkenal sebagai vitamin yang penting untuk aktiviti harian, terutamanya ketika berpuasa. Vitamin C sewaktu berpuasa, merupakan sumber zat antioksida yang penting untuk mengekalkan daya tahan badan. Selain itu, vitamin C juga penting untuk metabolisme protein badan dan mengelakkan daripada penyakit kardiovaskular (contohnya jantung).

    Anda boleh mendapatkan vitamin C daripada buah-buahan dan suplemen. Contoh buah dengan kandungan vitamin C adalah buah oren, kiwi, tembikai susu dan juga sayur brokoli. Tapi ada yang perlu diingat, badan hanya memerlukan 75 miligram vitamin C. Pengambilan vitamin C secara berlebihan akan membuatkan badan mengeluarkan dengan sendiri lebihan vitamin C tersebut..

    3. Vitamin D

    Ramai yang tidak menyangka bahawa vitamin D sangat diperlukan oelh badan sewaktu berpuasa. Mengapa tubuh memerlukan vitamin D? Perlu diketahui bahawa sewaktu berpuasa, di mana tubuh tidak makan dan minum dalam waktu yang lama, ia boleh mempengaruhi emosi seseorang.

    Vitamin D juga berfungsi untuk mengaktifkan sistem imun dan melepaskan hormon dopamin dan serotonin yang mempengaruhi fungsi dan perkembangan otak. Hal ini sama seperti fungsi beberapa jenis ubat antidepresan yang digunakan untuk meningkatkan hormon monoamine pada otak bagi mengatasi kemurungan.

    Keperluan vitamin D sewaktu berpuasa boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai makanan, suplemen, dan terdedah kepada cahaya matahari pagi sewaktu bekerja. Walau bagaimanapun, pengambilan semula jadi seperti dari makanan dan sinar matahari adalah jauh lebih sihat kerana mempunyai risiko hipervitaminosis yang sangat rendah. Kebanyakan orang cenderung untuk mendapatkan vitamin D melalui makanan seperti seperti susu, makanan bijirin, daging, hati ayam atau lembu, dan telur.

    4. Iodin

    Selain vitamin, badan juga memerlukan mineral penting sewaktu berpuasa seperti iodin yang boleh didapati dari makanan sewaktu sahur. Iodin adalah mineral yang diperlukan oleh badan bagi memelihara fungsi tiroid dan metabolisme sel. Pengambilan iodin yang rendah boleh menyebabkan hipotiroidisme. Antara simptom hipotiroidisme adalah keletihan, peningkatan berat badan, dan bahkan sembelit sewaktu berpuasa.

    Untuk mengelakkan halangan berpuasa kerana kekurangan iodin di dalam badan, anda boleh mendapatkan pengambilan harian iodin ketika sahur dan berbuka dengan memakan ikan laut, telur, dan ketika memasak gunakan garam yang mengandungi iodin.

    5. Zink

    Zink adalah nutrisi yang diperlukan manusia ketika berpuasa agar kekal sihat. Ini adalah kerana zink dapat membantu sistem imun dalam melawan virus dan bakteria ketika tubuh berhenti menerima makanan. Selain itu, fungsi lainnya adalah untuk membentuk protein dan DNA, serta hal-hal yang berkaitan dengan genetik pada seluruh sel.

    Nutrisi zink mempengaruhi motor, kognitif dan fungsi psikososial pada anak-anak dan orang tua. Jika badan kekurangan zinc ketika berpuasa, sel motorik tubuh menjadi tidak selari dan menyebabakan mudah letih. Anda boleh mendapatkan mineral zink dengan mengambil daging merah, makanan laut, kekacang dan susu sewaktu berpuasa.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 30/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan