Tidur malam berkualiti baik untuk proses pemulihan tubuh. Tapi tahu tak, anda berisiko mengalami masalah kesihatan jika tidur berlebihan. Tak percaya? Hello Doktor ada penjelasannya.
Tidur berlebihan: Bagaimana untuk menentukannya?
Sememangnya tidur malam yang baik adalah penting untuk kesihatan.
Pun begitu, individu yang kerap tidur berlebihan dikatakan berisiko untuk mengalami masalah kesihatan termasuklah diabetes, penyakit jantung dan peningkatan risiko kematian.
Tetapi bagaimana untuk mengetahui sama ada anda tidur dalam jumlah yang betul atau berlebihan?
Umumnya, jumlah tidur yang diperlukan individu adalah berbeza sepanjang hayatnya. Ia bergantung pada usia dan tahap aktiviti, kesihatan serta gaya hidup anda.
Misalnya, ketika tempoh tekanan atau tidak sihat, anda mungkin berasakan perlunya peningkatan keperluan untuk tidur.
Walaupun keperluan tidur individu dewasa adalah berbeza, namun, pakar biasanya mengesyorkan agar seorang individu dewasa tidur antara tempoh 7 hingga 9 jam setiap malam.
Mengapa ada individu tidur berlebihan?
Bagi individu yang menderita hipersomnia, tidur secara berlebihan ini adalah melibatkan masalah kesihatan.
Ia menyebabkan mereka mengalami rasa mengantuk yang melampau sepanjang hari. Malahan, rasa mengantuk tersebut tidak berkurangan dengan tidur siang.
Masalah yang dihadapi juga menyebabkan mereka tidur dalam jangka waktu yang lama pada waktu malam.
Kebanyakan individu dengan hipersomnia mempunyai simptom kegelisahan, kurang bertenaga dan berdepan masalah ingatan akibat keperluan tidur yang berterusan itu.
Apnea tidur obstruktif, keadaan yang mengakibatkan penghidapnya terhenti pernafasan beberapa saat semasa tidur, juga cenderung untuk mengalami tidur berlebihan.
Ini kerana keadaan yang dialami mengganggu kitaran tidur normal.
Sudah tentu, bukan semua individu yang terlebih tidur ini mempunyai gangguan tidur.
Antara sebab lain yang menyebabkan situasi ini termasuklah penggunaan bahan tertentu seperti alkohol dan beberapa ubat preskripsi – turut boleh menyebabkan tidur secara berlebihan.
Terdapat juga individu tidur dalam tempoh lebih lama hanya kerana mereka memang mahu melakukannya.
Terlebih tidur punca masalah kesihatan
Pastinya ada yang ingin mengetahui apakah kesan kepada tubuh jika terlebih tidur, kan?
Berikut adalah 7 masalah kesihatan yang boleh berlaku jika terlalu banyak tidur, antaranya:
-
Diabetes
Kajian menunjukkan bahawa tidur terlalu lama atau tidak cukup setiap malam dapat meningkatkan risiko diabetes.
-
Obesiti
Tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh membuat anda mengalami kenaikan berat badan.
Kajian menunjukkan bahawa individu tidur selama 9 atau 10 jam setiap malam adalah 21% lebih cenderung menjadi gemuk dalam tempoh 6 tahun berbanding mereka yang lena antara 7 dan 8 jam.
Hubung kait antara tidur dan masalah obesiti tetap sama walaupun mengambil kira aspek pemakanan harian dan senaman.
-
Sakit kepala
Bagi individu yang terdedah kepada sakit kepala, tidur berlebihan daripada biasa pada hujung minggu atau percutian, boleh menyebabkan wujudnya kesakitan tersebut.
Penyelidik percaya ini disebabkan oleh kesan tidur yang banyak pada neurotransmitter tertentu di otak, termasuk serotonin.
Individu yang tidur banyak pada waktu siang dan menjejaskan tidur malam juga akan cenderung mengalami sakit kepala pada waktu pagi.
-
Sakit belakang
Dahulu, doktor akan menyarankan mereka yang menderita sakit belakang untuk lebih banyak berbaring. Tetapi kini segalanya berubah.
Anda mungkin tidak perlu mengurangkan aktiviti kecergasan fizikal jika berdepan sakit belakang.
Ini kerana doktor menyedari manfaat kesihatan dalam mengekalkan tahap aktiviti tertentu. Malahan, anda mungkin disyorkan untuk tidak tidur lebih banyak daripada biasa.
-
Kemurungan
Biasanya keadaan insomnia lebih dikaitkan dengan simptom kemurungan berbanding tidur yang banyak. Walau bagaimanapun, dianggarkan lebih 15% mereka yang mengalami kemurungan akan tidur berlebihan.
Situasi tersebut menjadikan kemurungan yang dialami akan bertambah teruk. Ini berikutan tabiat tidur yang teratur adalah penting bagi proses pemulihan.
-
Penyakit jantung
Walaupun pengkaji tidak dapat mengenal pasti hubungan antara tidur yang banyak dengan masalah kesihatan jantung, namun wujud risiko untuk mengalami penyakit jantung koroner bagi mereka yang tidur antara 9 hingga 11 jam setiap malam.
-
Kematian
Beberapa kajian mendapati bahawa individu tidur 9 atau lebih setiap malam mempunyai kadar kematian tinggi berbanding mereka yang melelapkan mata untuk 7 hingga 8 jam.
Tiada sebab khusus untuk korelasi ini ditentukan, tetapi penyelidik mendapati kemurungan dan status sosioekonomi rendah berkait rapat dengan tidur berlebihan.
Pemeriksaan doktor
Sekiranya anda tidur lebih daripada 7 atau 8 jam setiap malam, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan bagi menentukan punca ia berlaku.
Walau apa pun punca yang menyebabkan anda tidur dengan lebih lama, mengamalkan kebersihan tidur yang baik akan membantu diri memperolehi manfaat tidur sihat 7 hingga 8 jam setiap malam.
[embed-health-tool-bmi]