backup og meta

Ini 5 Cara Meluruskan Rambut Keriting Secara Semula Jadi, Guna Telur Pun Boleh!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/03/2024

    Ini 5 Cara Meluruskan Rambut Keriting Secara Semula Jadi, Guna Telur Pun Boleh!

    Bukan niat untuk ubah ciptaan Tuhan namun kadangkala rambut keriting atau frizzy itu agak sukar dikendalikan. Maka, individu mungkin akan cuba banyak cara meluruskan rambut keriting sama ada di salun atau secara semula jadi di rumah sendiri!

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

    Meluruskan rambut di salun itu kurang bagus?

    Di salun rambut, anda boleh mendapatkan banyak servis penggayaan dan perawatan mahkota di kepala. Katakan sahaja anda mahu stail yang bagaimana, semua akan mampu ditunaikan.

    Terdapat beberapa kaedah moden untuk meluruskan rambut seperti:

    • Rebonding
    • Relaxing 

    Ia adalah cara yang paling berkesan serta tahan lama.

    Pun begitu, ada individu mungkin masih tidak gemar dengan cara ini kerana ia memang efektif, namun dalam masa yang sama tidak nampak natural dan merosakkan rambut. Tambahan lagi, ia juga akan memakan masa dan kos yang agak banyak.

    “Penggunaan bahan kimia yang kuat ketika proses meluruskan rambut akan buat ia hilang minyak semula jadi sekali gus meningkatkan risiko untuk ia cepat rosak,” jelas Pakar Kulit dan Rambut, Dr Harshna Bijlani.

    keguguran rambut
    Tanda-tanda rambut rosak.

    Jadi, anda mungkin perlu ubah angin dan cuba cara meluruskan rambut secara semula jadi pula!

    Cara meluruskan rambut keriting secara semula jadi!

    Sebenarnya, ia tidak sukar kerana bahan yang anda perlu mungkin hanya berada di dapur rumah:

    #1. Penggunaan lidah buaya

    Memang sudah amat popular bagi kegunaan kulit serta rambut, aloe vera mengandungi pelbagai jenis nutrisi yang dipercayai mempunyai kesan positif kepada kesihatan dan kecantikan.

    Alasannya, lidah buaya kaya dengan enzim bersama bahan aktif sekali gus berpotensi membantu menumbuh, melembap, melebat serta meluruskan rambut yang bermasalah.

    Tidak perlu lagi mencari dan mengekstrak tumbuhan ini, ia kini sudah ada dalam bentuk produk.

    #2. Pengamalan cuka epal

    Jangan hanya jumud cuka epal digunakan untuk membersihkan rumah sahaja gara-gara ia tinggi dengan kandungan asid. Cuka hasil buah ini juga bagus untuk disapukan pada rambut.

    Ia juga boleh jadi bahan natural untuk meluruskan rambut kerana ia mampu mengembalikan keseimbangan pH mahkota dalam masa yang sama membuat rambut lebih sihat dan kuat.

    Caranya juga mudah iaitu sapukan cuka epal pada rambut selepas syampu lantas biarkan seketika.

    Cara meluruskan rambut keriting #3. Kelapa

    rambut keriting
    Manfaat buah kelapa untuk rambut.

    Dari pokok kelapa sahaja, anda boleh mendapatkan dua cara meluruskan rambut keriting iaitu:

    Minyak kelapa untuk rambut keriting wanita

    Apabila minyak kelapa diletakkan di rambut, ia akan menghasilkan haba secara semula jadi sekali gus membantu untuk melurus dan merapi rambut keriting agar ia tampak lebih lurus.

    Selain daripada kelapa, minyak bijan, zaitun atau kacang badam juga akan mendatangkan kesan sama. Cuma, minyak kelapa adalah pilihan terbaik dan kerana itu juga ia lebih popular.

    Pun begitu, cara meluruskan rambut keriting ini agak leceh kerana anda perlu memanaskan minyak kelapa selama beberapa saat sebelum ia disapu dan dilurut di rambut. Kemudian, sila sikat rambut secara sekata sebelum bungkus dan cuci ia dengan air hingga bersih.

    Santan kelapa sebagai vitamin rambut keriting agar tidak mengembang

    Terkenal digunakan di dalam masakan, santan daripada kelapa ini juga boleh diletakkan di rambut keriting agar ia tampak lebih lurus di samping turut melembapkan serta mengilatkan.

    Apa yang lebih menarik, ia juga memiliki sifat antibakteria dan antikulat. Ini sekali gus dapat membantu melindungi dan melawan sebarang jenis jangkitan pada kulit kepala individu.

    Jangan terus sapu santan di mahkota anda kerana anda perlu menyejukkan ia di dalam peti sejuk sehingga wujud lapisan krim di atasnya. Kemudian, ambil dan sapu krim tersebut di rambut dan biarkan seketika sebelum sikat dan cuci hingga bersih.

    Rambut keriting boleh lurus dengan #4. Pisang

    cara luruskan rambut
    Tip meluruskan rambut menggunakan bahan semula jadi.

    Bagaimana buah yang satu ini boleh jadi solusi untuk masalah rambut kusut-masai? Sebenarnya, anda boleh jadikan ia sebagai masker di kulit kepala sama fungsi seperti topeng muka.

    Gunakan 1 atau 2 biji buah pisang matang dan campur ia dengan bahan-bahan lain seperti madu, susu atau minyak-minyak di atas tadi. Kisarkan semua sehingga sebati teksturnya.

    Seusai ia siap, sapukan sahaja ia di kulit kepala sebelum sikat, bungkus dan bilas sehingga bersih.

    Rambut keriting boleh diluruskan dengan #5. Telur

    Kenapa perlu rasa terkejut? Telur juga adalah antara bahan yang boleh dijadikan cara meluruskan rambut keriting ekoran sifat semula jadinya yang sangat melekit dan mudah untuk melekat.

    Namun jangan hanya guna satu benda ini sahaja kerana ia juga perlu dicampurkan dengan bahan lain seperti madu, susu dan minyak-minyak tadi agar rambut keriting dapat sempurna diluruskan.

    Selepas siap ia dibancuh, sapukan sahaja pada rambut dan seperti biasa, sikat, bungkus serta bilas.

    Kesimpulan

    Kini, anda telah pun mengetahui tip untuk meluruskan rambut secara semula jadi di rumah. Akan tetapi, sebelum mencuba cara tradisional ini, sebaik-baiknya dapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu. Semoga bermanfaat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/03/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan