backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Aduh, Sakitnya Ada Gelembung Air Di Kaki! Cuba Rawat Dengan 13 Tip Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    Aduh, Sakitnya Ada Gelembung Air Di Kaki! Cuba Rawat Dengan 13 Tip Ini

    Sedang mencari cara menghilangkan gelembung air di kaki kerana ia menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan? Teruskan membaca artikel ini kerana kami ada caranya untuk membantu anda.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Gelembung air di kaki

    Gelembung air atau melepuh adalah poket cecair dalam kulit yang terbentuk dan dipenuhi serum, iaitu sebahagian cecair darah yang mengandungi bahan pelindung seperti antibodi.

    Terdapat juga kes, di mana saluran darah kecil mengalir ke dalam gelembung menjadikan cecair berwarna merah dan bukannya jernih. 

    Kadangkala, cecair dalam lepuh juga boleh dijangkiti dan menyebabkan ia berwarna keruh dan kemudiannya mungkin mengandungi nanah. 

    Kebanyakan pembentukan gelembung air di kaki mahupun bahagian tubuh lain ini adalah strategi pertahanan diri yang bertujuan melindungi kulit di bawah daripada kecederaan selanjutnya, sekali gus menggalakkan penyembuhan pantas.

    Kesakitan yang dirasai juga mempunyai kesan perlindungan. Bagaimana? 

    Lepuh biasanya terjadi apabila berlaku tekanan dan geseran dengan kerap. Jadi apabila timbul kesakitan kerana kulit melepuh, kita mungkin akan kurangkan aktiviti yang boleh mengakibatkan ia jadi semakin menyakitkan.

    Gelembung air juga berkembang selepas kulit terbakar, mengalami jangkitan kulat atau bakteria, gigitan serangan atau trauma.

    Bergantung kepada lokasinya, kulit yang melepuh boleh mengganggu tugasan harian. Sebagai contoh, lepuh pada kaki akan menyukarkan anda berjalan, bersenam atau berdiri untuk jangka masa yang lama. 

    gelembung air di kaki

    Punca gelembung air di kaki

    Sekiranya anda mempunyai lepuh pada kaki, geseran mungkin menjadi puncanya. Berjalan atau berdiri untuk tempoh beberapa jam sehari memberi tekanan pada tumit, tapak dan jari kaki.

    Tidak semua orang yang berjalan atau berdiri untuk tempoh lama akan mengalami gelembung air ini. 

    Dalam kebanyakan keadaan, ia terjadi kerana pemakaian kasut tidak menyelesakan – sama ada terlalu ketat atau longgar yang mengakibatkan pergeseran pada kulit.

    Kelembapan atau peluh yang berlebihan juga boleh mencetuskan gelembung kulit ini. Ia perkara biasa semasa cuaca panas dalam kalangan atlet, terutamanya pelari. Lepuh kecil terbentuk apabila peluh menyumbat pori-pori di kaki. 

    Lepuh juga boleh berlaku selepas selaran matahari. Penyebab lain yang mengakibatkan gelembung air di kaki adalah:

    • Frostbite 
    • Tindak balas alahan
    • Pendedahan kimia – kosmetik atau detergen
    • Jangkitan kulat
    • Cacar air
    • Jangkitan bakteria
    • Herpes
    • Ekzema dyshidrotik

    gelembung air di kaki

    Cara menghilangkan gelembung air di kaki 

    Anda mungkin tergoda untuk memicit atau memecahkan gelembung air tersebut, namun selepas itu lepuh harus dibalut kerana boleh berlaku jangkitan jika dibiarkan terbuka.

    Sekiranya anda membiarkannya, ia boleh mengeras dan menghilang dengan sendiri. Tetapi pilihan ini mungkin mengakibatkan ketidakselesaan – bergantung kepada saiznya.

    Walaupun anda tidak sepatutnya memecahkan gelembung air ini, tetapi mengeluarkan cecair dengan selamat boleh memberikan keselesaan.

    Berikut adalah langkah selamat untuk mengeluarkan cecair dalam lepuh di rumah:

    1. Basuh tangan anda dengan air suam dan sabun antibakteria.
    2. Menggunakan putik kapas, jarum yang disteril dan alkohol.
    3. Bersihkan lepuh dengan antiseptik.
    4. Ambil jarum dan buat tusukan kecil pada lepuh. Biarkan cecair mengalir sepenuhnya.
    5. Sapukan salap atau krim antibakteria pada lepuh.
    6. Tutup lepuh dengan pembalut atau kain kasa.
    7. Bersihkan dan sapukan semula salap antibakteria setiap hari. Pastikan lepuh ditutup sehingga ia sembuh.

    Rawatan tambahan untuk gelembung air pada kaki termasuklah:

    • Menekap pek ais yang dibalut tuala tebal pada lepuh dengan lembut tanpa tekanan
    • Meninggikan bahagian kaki yang mempunyai lepuh untuk mengurangkan aliran darah ke kawasan tersebut dan mengehadkan keradangan
    • Memastikan kawasan itu kering sebaik mungkin untuk membantu penyembuhan
    • Menanggalkan kasut atau sarung kaki yang menyebabkan lepuh
    • Sapukan salap atau krim antibiotik dengan lembut pada lepuh dan kulit di sekelilingnya
    • Membersihkan kawasan tersebut serta mengurangkan keradangan dan kesakitan dengan menggunakan ubat yang boleh dibeli di farmasi seperti hidrogen peroksida

    Selepas beberapa hari lepuh terbuka, anda disaran menggunakan gunting disteril untuk mengeluarkan kulit mati yang tertinggal. Elakkan daripada menariknya terlalu kuat sehingga mengoyakkan kulit sihat.

    Baca juga:

    Pemeriksaan doktor

    Sekiranya lepuh berubah warna, semakin meradang, bertambah teruk atau tidak sembuh selepas beberapa hari mencuba cara menghilangkan gelembung air di kaki, lakukan pemeriksaan doktor. 

    Lepuh yang berwarna kuning, hijau atau ungu biasanya telah dijangkiti dan memerlukan rawatan perubatan. Lepuh yang berwarna tidak normal juga mungkin merupakan simptom masalah kesihatan lebih serius seperti herpes.

    Doktor mungkin akan mengeluarkan cecair lepuh yang dijangkiti dan akan mengambil sampel untuk dilakukan ujian.

    Selalunya antibiotik topikal atau oral akan diberikan untuk merawat jangkitan sedia ada atau mencegah jangkitan selanjutnya daripada berlaku. 

    Langkah mencegah gelembung air 

    Sekiranya lepuh terjadi akibat geseran, pilihlah kasut yang betul. Jika kaki bergesel pada bahagian tertentu kasut, tambahkan insole untuk memberikan lapik ekstra dan mengurangkan geseran.

    gelembung air di kaki

    Bagi atlet, pastikan kaki anda sentiasa kering. Gunakan bedak kaki untuk mengurangkan peluh atau memakai sarung kaki yang menyerap kelembapan.

    Seandainya lepuh terjadi kerana kosmetik seperti sabun atau losen, mahupun alergen, elakkan perengsa bagi mengurangkan kemunculan gelembung air baharu.

    Untuk lepuh yang disebabkan oleh keadaan perubatan, bincangkan kemungkinan rawatan dengan doktor anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan