Kunyit merupakan tumbuhan berasal dari Asia dan sering digunakan dalam masakan. Ada juga yang menggunakannya untuk perawatan kulit alternatif semula jadi seperti menjadikannya masker kunyit. Namun, apakah manfaat masker kunyit?
Sejauh mana kebaikan dan keberkesanan kunyit ke atas kulit? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Apa manfaat masker kunyit?
Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma longa mempunyai potensi untuk mengurangkan pembengkakan (keradangan) dan kerengsaan.
1. Mengurangkan keradangan
Curcuminoid, sebatian aktif dalam kunyit, berfungsi untuk mengurangkan keradangan dalam arthritis dan berpotensi membantu kulit anda. Ia mungkin berfaedah untuk merawat penyakit berkaitan kulit seperti psoriasis.
Namun lebih banyak kajian perlu dilakukan.
2. Potensi antibakteria
Kunyit boleh merawat dan mencegah bakteria pada kulit yang boleh menyumbang kepada cyst jerawat dan jangkitan staph. Sebarang jangkitan aktif perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
3. Rawat jerawat
Satu lagi manfaat masker kunyit ialah kemampuannya untuk merawat jerawat. Dengan fungsi anti-keradangan, ia mungkin dapat membantu merawat keradangan jerawat. Ini termasuk:
- Ketumbuhan (cyst).
- Nodul.
- Pustules
- Papules
Ekstrak dari kunyit juga boleh mengurangkan kesan penampakan parut jerawat.
4. Antioksidan
Kunyit kaya dengan antioksidan. Dalam aspek penjagaan kulit, antioksidan dapat membantu menjaga radikal bebas dari memusnahkan sel-sel sihat. Ia sekali gus menghalang hiperpigmentasi, parut, dan masalah kulit jangka panjang lain.
Melalui tabiat gaya hidup sihat, kunyit juga boleh dikatakan dapat mengurangkan kanser kulit. Tetapi masih banyak kajian perlu dilakukan.
5. Kurangkan pigmentasi
Antara fokus utama kajian berkaitan kunyit adalah hiperpigmentasi. Ia adalah keadaan kulit yang lebih gelap daripada tisu sekeliling biasa.
Dalam satu kajian terhadap krim berasaskan kunyit, ia dapat mengurangkan hiperpigmentasi lebih daripada 14 peratus selama 4 minggu.
6. Iritasi kulit
Terdapat kajian menyokong kunyit berpotensi sebagai penyingkir kerengsaan untuk rawatan kanser payudara.
7. Rawat garis halus
Penyelidik mencadangkan kunyit sebagai rawatan yang mungkin untuk merawat garis halus dan kedutan. Ia mungkin berfungsi meningkatkan penampilan keseluruhan tekstur kulit, dan menjadikan kedutan kurang kelihatan.
Risiko memakai masker kunyit
Kunyit umumnya dianggap sebagai produk selamat digunakan. Namun ia mungkin mendatangkan kesan sampingan gastrointestinal seperti perut kurang selesa dan kejang jika diambil sebagai suplemen oral.
Tiada kesan sampingan kunyit untuk kegunaan sebagai penjagaan kulit. Walau bagaimanapun, idea yang terbaik adalah untuk melakukan sedikit ujian kesesuaian sebelum menggunakannya atau apa juga bahan-bahan baru yang lain pada kulit. Ini kerana sesetengah individu mungkin akan mendapat reaksi alahan.
Homemade masker
Kunci utama untuk menjadikan kunyit sebagai masker adalah dengan mencampurkan serbuk atau ekstrak kunyit dengan agen pemekat untuk dijadikan krim dan ia berbeza mengikut keperluan kulit:
- Untuk cegah jerawat dan antibakteri – campurkan kunyit dengan air suam dan madu.
- Untuk rawat hiperpigmentasi dan kedutan – campurkan kunyit dengan yogurt, jus lemon untuk khasiat tambahan dan pencerahan.
- Untuk rawat iritasi – campurkan kunyit dengan aloe vera untuk beri kelegaan semula jadi.
- Untuk antioksidan – campurkan kunyit dengan air (boleh tambahkan sedikit almond atau tepung beras untuk menjadikan campuran ini lebih pekat)
Tidak kira apa campuran yang anda pilih, biarkan masker selama 10 minit. Kemudian bilas dengan air suam diikuti dengan toner, serum, dan pelembap.
Tidak digalakkan untuk memakainya semalaman, kerana ia cenderung untuk meninggalkan kesan, terutama jika anda mempunyai kulit yang cerah. Anda boleh cuba membasuh dengan susu, jika terdapat kesan kuning yang tertinggal. Amalkan penggunaan masker ini 2-3 kali seminggu.
Banyak manfaat masker kunyit, cubalah!
Jika anda sedang mencari idea untuk masker buatan sendiri, masker kunyit ini mungkin sesuai untuk dipertimbangkan. Malah, ada banyak manfaat masker kunyit untuk kulit wajah.
Ia memerlukan masa untuk dapat melihat keberkesanannya. Jadi sebaiknya untuk anda mengamalkannya paling tidak selama beberapa minggu untuk mendapatkan hasil yang diingini.
Jika masih tiada perubahan, anda boleh mendapatkan rundingan dari profesional atau doktor untuk menangani keperluan penjagaan kulit anda.