Kopi menjadi 1 keperluan asas bagi kebanyakan orang pada waktu pagi. Ia mungkin menjadi minuman ‘ruji’ untuk memulakan pagi anda. Namun, walaupun kopi mengandungi manfaat kesihatan yang tersendiri, pengambilan kafein berlebihan mampu memicu jerawat di muka.
Jadi untuk kupasan artikel pada kali ini, kita akan melihat hubungan antara minuman berkafein kegemaran ramai ini dan jerawat. Mari kita mulakan!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Kopi & jerawat di muka
Setakat ini, masih tidak ada bukti yang menunjukkan kopi (dan kafein) secara langsung menyebabkan jerawat.
Walau bagaimanapun, beberapa kajian menunjukkan pengambilan kopi terlalu banyak berupaya memperburuk masalah yang sedia ada jika anda cenderung mengalami jerawat di muka.
Itulah sebabnya konsep bersederhana harus diamalkan. Jangan dilayankan sangat tekak yang mengidam kopi dari kafe ‘hipster’ yang tinggi gula dan susu itu!
Minum kopi secara berlebihan boleh menjadikan jerawat anda lebih teruk kerana kandungan gula dan susu yang berisiko memicu akne untuk sesetengah orang.
Pun begitu, ini bukan bermakna anda perlu berhenti minum kopi sama sekali. Kalian masih boleh menikmati minuman ini, tapi pastikan secara bersederhana sahaja okey!
Kopi dan hormon
Untuk pengetahuan pembaca, kafein berupaya mengganggu tahap hormon normal badan dan ia mungkin akan menjadi 1 kerisauan bagi peminat kopi.
Kortisol
Kajian yang dipercayai mendapati, kafein dapat meningkatkan tahap hormon stres, iaitu kortisol.
Kehadiran kortisol yang terlalu banyak boleh memberi kesan berbahaya kepada badan!
Kajian ke atas 144 wanita muda mendapati, tahap stres yang lebih tinggi menyebabkan kemunculan jerawat di muka yang lebih banyak.
Kortisol juga berupaya menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak sebum, atau minyak, yang berpotensi memicu jerawat.
Mempunyai tahap kortisol tinggi dan kronik boleh mempengaruhi masalah kesihatan lain yang mungkin berkaitan dengan jerawat, termasuk:
- Kenaikan berat badan
- Kemurungan
- Masalah pencernaan
- Kegelisahan
Tambahan pula, kafein mampu menjejaskan kualiti tidur, yang turut berupaya mempengaruhi tahap kortisol.
Kekurangan tidur yang berkualiti akan menyebabkan tubuh menghasilkan lebih banyak hormon, yang secara langsungnya bakal meningkatkan keradangan.
Keradangan ini akan mempengaruhi keadaan kulit, menyebabkan breakouts akne!
Untuk bantu mengelakkan kesan-kesan negatif kopi, adalah disarankan untuk elak pengambilan kafein beberapa jam sebelum tidur.
Insulin
Kafein juga boleh menyebabkan tahap insulin meningkat, dan kajian menunjukkan bahawa hal ini dapat memburukkan masalah akne.
1 kajian menunjukkan, individu yang mempunyai kadar insulin yang lebih tinggi cenderung untuk mempunyai jerawat yang lebih teruk.
Estrogen
Kafein berupaya mengubah tahap estrogen dalam kalangan wanita usia reproduktif, tetapi hal ini berbeza bagi setiap orang.
1 kajian yang lebih lama yang dilakukan terhadap 250 orang bilangan wanita mengambil 200 miligram (mg) setiap hari.
Jumlah ini didapati menaikkan tahap estrogen pada peserta dari Asia, tetapi keadaan yang sebaliknya berlaku pada peserta dari negara Barat.
Anda mungkin berminat:
- Orang Cakap Minum Kopi Boleh Sembuhkan Masalah Mati Pucuk, Benar Ke?
- Boleh Kurangkan Kafein Dalam Kopi Dengan Tambah Susu & Fakta Atau Auta?
Mengapa kopi berupaya memicu jerawat di muka?
Secawan kopi mungkin tidak mencukupi untuk memberi kesan kepada jerawat yang besar.
Namun, jika anda sudah mengalami kulit berminyak dan isu turun naik hormon, kopi mungkin akan memburukkan lagi masalah dihadapi, terutamanya jika anda mengambil 4 ke 5 cawan sehari.
Malah, ia akan menjadi lebih parah sekiranya anda menambah pula ramuan tambahan pada minuman berkafein tersebut.
Menambahkan susu
Banyak kajian mendapati, mereka yang mengambil susu dalam kuantiti yang lebih banyak cenderung untuk memperolehi jerawat, terutama pada usia remaja.
Hal ini kerana susu lembu merupakan bahan yang boleh menyebabkan tahap hormon badan anda turun naik, yang seterusnya meningkatkan kemungkinan untuk membentuk akne.
Untuk mengurangkan risiko breakouts, anda boleh cuba menggantikan susu lembu kepada susu badam atau gajus ke dalam minuman berkafein.
Menambahkan gula
Gula menjadi antara ramuan wajib yang ditambah ke dalam kopi, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat kita sendiri.
Beberapa kajian telah menemui kaitan antara gula dan jerawat. Bahan ini secara semula jadi menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat, lantas mewujudkan risiko jerawat di muka!
Minum kopi dengan cara sihat untuk elak jerawat di muka
Anda mungkin tidak bersedia untuk melepaskan nikmat minuman berkafein ini sepenuhnya, dan itu tidak mengapa.
Terdapat banyak cara untuk menikmati secawan kopi secara sihat, tanpa perlu bimbang akan kesannya terhadap kulit.
Sebagai permulaan, anda boleh berusaha mengurangkan pengambilan kafein harian.
Sekiranya anda sering minum 4 cawan kopi sehari, cuba kawal nafsu dan kurangkan kepada 2 atau 1 cawan sahaja.
Anda juga boleh mengurangkan jumlah susu dan gula yang dimasukkan ke dalam minuman atau cuba gantikan dengan alternatif lain, seperti susu badam dan pemanis semula jadi.
Kopi mengandungi khasiat yang bermanfaat, seperti antioksidan yang dapat membantu kesihatan tubuh, tetapi ia semestinya tidak diperlukan dalam kuantiti yang berlebihan.
Selain itu, jika anda mahukan solusi yang mudah dan cepat untuk mengatasi penampilan jerawat yang sedia ada di wajah, anda boleh menggunakan concealer!
Menikmati secangkir kopi hangat di pagi hari tidak akan memberikan kesan buruk… Selagi anda mengehadkan pengambilan kafein harian, tiada sebab untuk kalian menahan diri!