Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan jenis jerawat di belakang badan dan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Definisi
Apa itu jerawat di belakang badan?
Jerawat adalah salah satu daripada masalah kulit yang biasa terjadi pada setiap orang kerana ia boleh muncul di mana-mana kawasan kulit tubuh badan.
Disebabkan ia wujud di bahagian belakang, anda mungkin tidak akan perasan kewujudannya lantas membiarkan atau mengabaikan sahaja, sedangkan ia juga perlu perhatian.
Meskipun ia tersorok dan tidak akan terlihat dek pandangan mata, namun ia masih sangat mengganggu!
Jenis jerawat
Ada berapa jenis jerawat di belakang badan?
Untuk pengetahuan anda semua, sebenarnya terdapat beberapa jenis jerawat biasa muncul di sekitar tubuh badan termasuk pada belakang badan anda seperti yang berikut:
- Papula – Benjolan tanpa nanah berwarna seakan merah atau coklat yang akan rasa sakit apabila ditekan atau dipicit
- Pustula – Benjolan dengan nanah berwarna seakan merah atau coklat yang akan rasa sakit apabila ditekan atau dipicit
- Nodul – Benjolan keras dan kasar berwarna merah yang meradang sehingga mungkin boleh menembus ke lapisan kulit paling dalam
- Jerawat pasir – Benjolan kecil bernama bruntus ini sukar untuk dilihat dengan mata kasar dan hanya akan terasa apabila disentuh
- Jerawat batu – Benjolan besar bernama cystic ini amat keras, kasar, sukar untuk hilang dan akan meninggalkan parut pada kulit
Buat anda yang terfikir dan tertanya, jenis jerawat di belakang badan anda itu mungkin tidak akan melibatkan jenis komedo hitam (blackhead) atau komedo putih (whitehead).
Ini kerana kedua-dua jenis komedo ini lebih kerap muncul kepada kawasan wajah anda sahaja. Pun begitu, mungkin tidak mustahil jika ia juga boleh wujud di belakang badan.
Simptom
Apakah simptomnya?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada banyak jenis jerawat yang boleh muncul di permukaan kulit manusia. Jadi, simptom-simptom juga mungkin tidak sama.
Ini kerana tanda dan gejala untuk jerawat jenis papula, pustula, nodul, jerawat pasir, jerawat batu mahupun komedo hitam dan putih itu sudah tentu masing-masing berbeza.
Namun apa yang mungkin boleh disimpulkan di sini adalah simptom jerawat itu tetap sama yakni kewujudan benjolan sama ada ia berbeza saiz, tekstur, warna dan lain-lain.
Pun begitu, masih ada beberapa simptom-simptom lain selain benjolan yang mungkin sama iaitu:
- Kegatalan pada kulit
- Kemerahan pada kulit
- Rasa sakit jika disentuh
Punca
Apakah punca jerawat di belakang badan?
Sebenarnya, ada banyak faktor risiko jerawat itu tumbuh di belakang badan. Namun, punca utama ia muncul adalah liang pori kulit yang tersumbat dengan minyak atau peluh.
Sama seperti bahagian tubuh badan lain seperti di muka, belakang badan juga memiliki liang pori dan mengandungi kelenjar minyak yang boleh tersumbat dengan bendasing.
Selain minyak dan peluh, penyumbatan ini juga boleh disebabkan oleh sel kulit mati, debu, habuk dan pelbagai jenis kotoran lain yang didedahkan oleh persekitaran individu.
Dalam pada itu juga, ada beberapa faktor risiko lain ia banyak muncul di belakang badan seperti:
#1. Jangkitan bakteria
Tentu sahaja, jerawat juga mungkin boleh berpunca daripada bakteria bernama Propionibacterium acnes (P. acnes) yang boleh menyerang mana-mana kawasan kulit tubuh badan.
#2. Pemakaian baju yang tidak sesuai
Salah satu faktor risiko utama kewujudan jerawat di bahagian belakang badan adalah angkara iritasi akibat geseran atau gesekan daripada baju ke kulit anda (acne mechanica).
Sebagai contoh, baju yang terlalu ketat mungkin akan buat kulit sukar untuk bernafas dan berfungsi menghasilkan peluh dengan cukup. Akibatnya, liang pori lebih mudah tersumbat.
#3. Penggunaan barang hiasan tidak sesuai
Selain baju, faktor risiko lain kewujudan jerawat di bahagian belakang badan adalah angkara iritasi akibat penggunaan perhiasan seperti rantai, kalung dan lain-lain pada kulit.
Iritasi pada barang kemas atau alergi nikel ini bukan sahaja boleh jadi punca jerawat malahan juga masalah kulit lain seperti keradangan, kemerahan, kegatalan serta kesakitan.
#4. Jarang atau tidak mandi
Selepas beraktiviti dan berpeluh, ramai orang yang takut untuk mandi kerana risau akan tumbuh panau sedangkan ia hanya mitos. Jika tidak mandi pula, jerawat akan timbul.
Ini kerana kawasan kulit yang sering dan cenderung untuk kotor dengan peluh, minyak dan bendasing lain hanya akan menyebabkan iritasi. Jadi, jangan takut untuk mandi.
Langkah pencegahan
Ada cara untuk mencegahnya?
Berbeza dengan jerawat di wajah, cara menghilangkan jerawat di belakang badan agak sulit kerana ia tidak mudah dilihat dan disentuh serta boleh tersebar dengan lebih luas.
Menurut American Academy of Dermatology, ubat dengan bahan di bawah adalah kunci utama:
- Antibiotik oral atau topikal
- Benzoil peroksida
- Asid salisilik
- Retinol
- Tetrasiklin
- Doksisiklin
- Isotretinoin
Jika ia perlu diambil dengan mulut, maka mungkin tidak ada masalah. Jika ia perlu disapu pada kulit, anda mungkin memerlukan pertolongan daripada individu lain pula.
Dalam pada itu, wujud pelbagai ramuan tradisional alternatif yang mungkin efektif untuk tujuan ini. Dapatkan informasi dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu tentangnya.
Bila perlu jumpa doktor?
Sebenarnya, kondisi jerawat di belakang badan ini mungkin tidak begitu serius sehingga boleh jadi komplikasi kronik. Namun, ia masih perlu anda cegah sebelum parah.
Walaupun ia boleh hilang secara sendiri seiring perjalanan waktu dan perawatan medikal, ada beberapa amaran yang anda perlu tahu bahawa ia adalah indikator bahaya.
Segera berjumpa dan berkonsultasi dengan doktor jika anda perasan jerawat jadi seperti berikut:
- Menimbulkan rasa sakit yang teramat
- Mengeluarkan darah atau nanah dengan banyak
- Terasa seperti wujud benjolan besar dan keras di bawah kulit
- Tidak sembuh atau hilang selepas 6 minggu rawatan
- Kembali muncul setelah sembuh atau hilang beberapa saat
[embed-health-tool-bmi]