Dalam banyak jenis jerawat, akne sistik atau juga dikenali sebagai jerawat batu di pipi, mungkin antara jenis yang paling mengerikan dan traumatik.
Selain penampilannya yang ketara, rasa sakit yang ditimbulkannya juga mustahil untuk diabaikan.
Walaupun jerawat datang dalam pelbagai bentuk, ukuran, dan jenis, namun jerawat batu di pipi dianggap sebagai akne yang paling teruk!
Lanjutkan pembacaan untuk kenali jenis akne yang paling digeruni ini dengan lebih mendalam!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Jerawat batu di pipi, bagaimana boleh terbentuk?
Jerawat sistik adalah jenis akne yang paling serius, terbentuk jauh di bawah lapisan kulit.
Ini boleh dipicu oleh gabungan bakteria, minyak, dan sel kulit kering yang terperangkap di dalam liang roma.
Selain itu, akne ini lebih cenderung menyerang individu dengan kondisi kulit muka yang berminyak.
Ia juga lebih kerap berlaku dalam golongan remaja, wanita, dan orang dewasa dengan ketidakseimbangan hormon.
Biasanya, jerawat batu di pipi akan bertambah baik seiring pertambahan usia.
Pun begitu, benjolan yang keras dan menyakitkan ini tidak akan mampu mereda dengan sendirinya.
Jadi, apakah cara menghilangkan jerawat batu di pipi? Teruskan pembacaan ya!
Cara menghilangkan jerawat batu di pipi melalui rawatan
#1 Isotretinoin
Isotretinoin, sejenis ubat preskripsi yang kuat, dianggap sebagai opsyen rawatan yang paling berkesan untuk jerawat sistik.
Ia berasal daripada ekstrak vitamin A yang kuat dan diambil dalam bentuk tablet setiap hari.
Kira-kira 85% pengamalnya mengalami peningkatan dalam masa 4 hingga 6 bulan.
Walaupun keberkesanannya dapat dilihat, namun terdapat beberapa risiko serius yang berkaitan dengan isotretinoin. Antaranya seperti risiko kecacatan konginetal.
Maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengalami perkara berikut:
- Penyakit radang usus
- Lebam
- Keradangan kulit
- Keluar darah dalam air kencing
- Sakit otot dan sendi
- Sakit kepala yang berterusan
- Gangguan mood yang baharu atau semakin teruk
#2 Retinoid topikal
Retinoid topikal juga berasal daripada vitamin A. Namun, ia tidak ‘sekuat’ isotretinoin.
Rawatan ini berfungsi dengan menyingkirkan folikel bulu untuk menghilangkan dan mencegah jerawat batu di pipi.
Retinoid kadangkala turut digunakan bersama antibiotik topikal untuk menjadikannya lebih berkesan!
Untuk makluman, rawatan ini boleh digunakan setiap hari dan tersedia dalam bentuk krim, gel, dan losen.
Peringatan bagi yang berminat untuk menggunakannya, retinoid topikal boleh menjadikan kulit anda merah dan mengelupas!
Tetapi, kesan sampingan ini biasanya hanya bersifat sementara, hingga kulit anda mula terbiasa dengan ubat tersebut.
Retinoid juga boleh membuatkan kulit lebih sensitif terhadap selaran matahari.
Justeru, pemakaian krim pelindung matahari adalah wajib usai pemakaian retinoid, okey?
#3 Antibiotik oral
Antibiotik oral boleh digunakan untuk merawat jerawat sista yang tumbuh melata di kawasan kulit.
Ia berfungsi dengan mengurangkan bakteria dan keradangan, yang menyumbang kepada pembentukan jerawat batu di pipi.
Walau bagaimanapun, antibiotik tidak dapat mengurangkan lebihan minyak dan sel kulit mati.
Rawatan ini juga hanya boleh digunakan dalam jangka masa pendek, kerana dikhuatiri boleh menimbulkan masalah rintangan bakteria.
Sekiranya antibiotik didapati tidak berkesan, doktor anda mungkin akan mengesyorkan isotretinoin.
Kesan sampingan antibiotik oral mungkin akan merangkumi:
- Muntah
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Loya
- Kepekaan terhadap cahaya matahari
#4 Kontraseptif oral
Tahukah anda, kontraseptif oral boleh menjadi pilihan yang sesuai untuk jerawat sistik pada sesetengah wanita?
Kaedah ini sangat berkesan, lebih-lebih lagi jika anda cenderung membentuk jerawat sista semasa turun naik hormon yang berkaitan dengan kitaran haid.
Pil pencegah kehamilan mengandungi estrogen, yang dapat bantu mengatur paras hormon secara keseluruhan dan mungkin mengurangkan akne.
Tapi hati-hati… Bukan semua orang boleh ambil pil perancang.
Ubat-ubatan ini mungkin tidak sesuai jika anda merokok, mempunyai darah beku, atau sedang berusaha untuk menimang cahaya mata.
Remedi di rumah ini mungkin dapat membantu!
Langkah-langkah praktikal dalam usaha mengelakkan jerawat daripada bertambah buruk seperti di bawah juga berguna bagi sesiapa yang menderita masalah akne, antaranya:
- Jangan cuci muka terlalu kerap: 2 kali sehari sudah cukup, gunakan sabun atau pembersih yang ringan dan selamat bersama air suam.
- Jangan menggosok muka dengan kasar semasa pencucian: Elakkan penggunaan sabun yang mengandungi banyak bahan kimia, astringen, atau agen pengelupasan.
- Jangan picit jerawat: Memicit atau menekan jerawat hanya akan memburukkan lagi masalah dihadapi.
- Elakkan penggunaan alat solek yang tebal: Semasa menggunakan alat solek, pilih formulasi berasaskan air, bukan komedogenik, elakkan juga formulasi berminyak, dan pastikan untuk menanggalkan makeup sebelum tidur.
Temui pakar dermatologi!
Dalam kebanyakan kes jerawat sistik, anda perlu bertemu dengan pakar dermatologi untuk merawatnya.
Sama ada diberikan ubat preskripsi atau terpaksa menjalani pembedahan, doktor kulit adalah sumber terbaik yang dapat menawarkan jalan penyelesaian.
Jerawat batu juga sangat sukar dirawat di rumah kerana berisiko meninggalkan kesan parut yang ketara!
Sebagai tambahan kepada rawatan perubatan, pakar dermatologi anda juga dapat bantu mencegah potensi jerawat daripada berulang.
Suka untuk penulis ingatkan, mana-mana rejimen penjagaan kulit yang baharu boleh mengambil masa beberapa bulan untuk menampakkan hasil yang signifikan.
Oleh itu, pastikan kalian kekal tenang dan bersabar semasa proses membaik pulih kulit, okey?