Donovanosis adalah sejenis jangkitan kelamin (STI). Penyakit menular seksual ini juga agak menyeramkan kerana donovanosis digelar sebagai ‘STI pemakan daging’! Ngeri bukan? Namun, sejauh mana kebenarannya?
Donovanosis turut dikenali sebagai granuloma inguinale, dan jangkitan ini agak jarang berlaku dalam kalangan masyarakat.
Jika kalian ingin mengenali jangkitan kelamin yang rare ini dengan lebih lanjut dan membongkar kebenaran di sebalik kenyataannya sebagai ‘pemakan daging’ manusia, baca kupasan ini sampai ke penghujung!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Penyakit menular seksual: Donovanosis
Donovanosis berpunca daripada bakteria Klebsiella granulomatis.
Penyakit menular seksual ini juga digelar sebagai ‘STI pemakan daging’ kerana menyebabkan luka tebal, seperti ulser yang akhirnya dapat merosakkan tisu di kawasan kelamin.
Jika tidak dirawat, nodul dan parut kekal boleh terjadi. Kadangkala, STI ini juga kerap disalah erti sebagai kanser kemaluan.
Antara gejalanya mungkin merangkumi:
- Kulit rosak.
- Kehilangan warna tisu di kemaluan.
- Ulser di sekitar kawasan kemaluan dan dubur.
- Lebam-lebam merah yang kian membesar.
- Lebam merah tidak menyakitkan yang berdarah dan tumbuh semula.
Sekarang, mari kita merungkai kebenaran di sebalik desas-desus yang mengatakan STI ini ‘pemakan daging’ manusia.
Donovanosis ‘pemakan daging’ manusia?
Penerangan donovanosis dari segi perubatan sering merujuknya sebagai bisul atau benjolan yang membentuk 1 hingga 12 minggu pasca pendedahan.
Ia dikenali sebagai ulser yang kelihatan seakan daging mentah yang sangat merah.
Bekalan darah yang banyak ada pada donovanosis membuatkannya mudah berdarah.
Jika penyakit menular seksual tidak dirawat, donovanosis boleh akibatkan kerosakan tisu di sekitarnya, yang menjadi sebab di sebalik gelaran ‘pemakan daging’ atau menyebabkan kulit menjadi ‘reput’.
Menurut CDC (Centers for Disease Control and Prevention), ulser boleh merebak ke pangkal paha, perut bawah, paha atas dan dapat memicu jangkitan sekunder.
Menurut Dr. Jeanne Marrazzo, Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit di University of Alabama di Birmingham, ia tidak akan merebak dengan teruk jika didiagnosis awal dan dirawat dengan tepat.
Jika ia dapat dikesan pada peringkat awal, rawatan antibiotik boleh ‘membersihkan’ jangkitan donovanosis.
Tapi, ia berisiko untuk muncul semula dan kadangkala luka boleh menyebabkan parut atau kerosakan berjangka panjang.
Bagaimana penyakit menular seksual ini berjangkit?
Donovanosis secara umumnya menular sama seperti jangkitan kelamin lain, iaitu melalui hubungan seks faraj, dubur dan oral.
Dalam kes yang jarang berlaku pula, ia telah disebarkan melalui hubungan kulit ke kulit, secara bukan seksual.
Bukan itu sahaja, penularan daripada ibu ke bayi yang baru lahir juga boleh berlaku sekiranya si ibu mengalami jangkitan.
Jangkitan STI ini juga lebih kerap berlaku di kawasan-kawasan subtropika atau tropika di dunia.
Setelah anda terdedah kepada donovanosis, gejala-gejala akan mula dilihat dalam masa 1 hingga 4 bulan.
Faktor-faktor risiko
Sesiapa sahaja yang aktif secara seksual berisiko menghidap STD.
Namun, individu yang berusia antara 20 dan 40 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti donovanosis!
Penyakit menular seksual ini juga lebih menonjol di negara dan wilayah berikut:
- Brazil
- Caribbean
- India Tenggara
- Afrika Selatan
- Papua New Guinea
Sekiranya anda telah berhubungan seks dengan individu yang menghidap donovanosis dalam masa 60 hari, hubungi doktor untuk mendapatkan arahan selanjutnya!
Doktor mungkin akan mengesyorkan rawatan walaupun anda tidak menunjukkan sebarang gejala STI.
Donovanosis & rawatan antibiotik
Sekiranya anda didiagnosis dengan donovanosis, penting untuk memaklumkan pasangan agar mereka turut menjalani ujian.
Langkah proaktif ini juga dapat bantu mencegah STI daripada merebak dengan lebih teruk.
CDC turut mengesyorkan untuk menjalankan ujian HIV ke atas semua kes donovanosis. Kewujudan luka di kemaluan boleh meningkatkan risiko penularan HIV.
Untuk opsyen rawatannya, disebabkan ia merupakan jangkitan bakteria, penggunaan antibiotik sudah memadai!
Doktor anda mungkin bakal mempreskripsikan salah satu antara antibiotik berikut:
- Azithromycin.
- Ciprofloxacin.
- Doxycycline.
- Eritromisin.
- Trimethoprim/Sulfamethoxazole.
Rawatan biasanya memerlukan penggunaan antibiotik dalam jangka masa panjang, yang mungkin berlangsung sekurang-kurangnya 3 minggu dan ke atas.
Doktor juga akan follow-up dengan meminta anda datang dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada sebarang luka baharu timbul.
Kadangkala donovanosis berisiko berulang. Sekiranya perkara ini berlaku, anda bakal memerlukan dos rawatan antibiotik yang baru.
Relapses ini mungkin akan berlaku 6 hingga 18 bulan selepas jangkitan menghilang.
Pembedahan pula mungkin diperlukan untuk hilangkan tisu parut yang tersisa daripada jangkitan.
Jadi, adakah anda perlu risau?
Sekiranya anda tidak melancong dan melakukan hubungan seks tanpa perlindungan di negara-negara penyakit ini menular, kemungkinan untuk dijangkiti donovanosis adalah sangat tipis!
Jika anda masih dijangkitinya, pengesanan awal dan rawatan yang tepat dapat mencegah risiko jangka panjang, seperti kerosakan tisu kemaluan yang kekal.
Menggunakan kaedah pencegah kehamilan seperti kondom juga bantu mengelakkan pembentukan sebarang bentuk STD dan STI, termasuklah donovanosis.
Ingat.. Jika anda mengalami sebarang simptom abnormal selepas terlibat dengan aktiviti seksual, hubungi doktor untuk menjalani ujian STD/STI, okey?
[embed-health-tool-ovulation]