backup og meta

Rawatan Imunoterapi HIV Baru: Buru Dan Bunuh

Rawatan Imunoterapi HIV Baru: Buru Dan Bunuh

Sebelum kita berbincang tentang rawatan imunoterapi HIV baru, mari kita lihat situasi semasa – Rawatan untuk penyakit HIV masa kini adalah hasil kerja keras daripada bertahun-tahun kajian dan dana yang mencecah lingkungan berbilion ringgit. Kini, atas kerja keras dan kemajuan yang diperoleh dalam bidang ini, kita berjaya menyusun rejim Rawatan Aktif Antiretroviral (HAART) yang membolehkan pesakit hidup dalam keadaan hampir sama dengan manusia tanpa penyakit tersebut (mampu berkahwin, bekerja dan memperoleh zuriat) dan sampai ke jangka hayat sepatutnya untuk mereka – penyakit yang dahulunya dikira sebagai hukuman maut dan isolasi, kini berubah menjadi pengalaman hidup hampir normal.

Namun begitu, di sebalik kejayaan menghasilkan beban virus dalam darah yang hampir tidak boleh dikesan, rejim terkini mempunyai had dan kekurangannya. Sebagai contoh, anda perlu mengambil 2 atau 3 jenis ubat dalam rejim ini setiap hari, tanpa gagal, buat seumur hidup, dan seperti perkara-perkara lain dalam hidup ini, rawatan ini bukanlah tanpa kesan sampingannya. Sebab kedua (berkait rapat dengan sebab pertama) adalah alasan mengapa seseorang itu perlu untuk mengambil ubat-ubatan ini seumur hidup mereka adalah kerana di sebalik kebolehan masa kini ubat tersebut (membunuh virus dalam darah, menghalang virus masuk ke dalam sel dan menghalang integrasi virus ke dalam DNA hos manusia) kita masih tidak mampu untuk ‘menendang’ keluar virus yang telah berintegrasi ke dalam sel-sel imun badan untuk keluar ke dalam salur darah supaya ianya boleh dibunuh. Natijahnya, mereka kekal terpendam dalam sel tersebut, memaksa pesakit untuk terus mengambil rejim rawatan sedia ada seumur hidup mereka.

Hinggalah baru-baru ini, penemuan yang memberangsangkan berkaitan rawatan imunoterapi HIV baru telah dibuat dan diterbit dalam jurnal EBioMedicine awal bulan ini. Kumpulan pengkaji daripada University of Pittsburgh ini berjaya untuk membangunkan rawatan imunoterapi HIV baru yang bukan sahaja memaksa virus untuk keluar daripada bersembunyi di dalam sel imun, bahkan membunuhnya – sejenis rawatan yang serba boleh. Walaupun kajian ini belum memasukkan fasa percubaan dalam manusia, pembangunannya mampu membawa kepada penghasilan vaksin HIV pertama.

Bagaimana Mereka Berjaya Membangunkan Rawatan Imunoterapi HIV baru?

“Terdapat banyak saintis yang cuba untuk membangunkan rawatan untuk HIV dan lazimnya, motif rawatan mereka dibina berdasarkan konsep ‘tendang keluar dan bunuh’ (merujuk kepada memburu virus yang menyorok dalam sel imun dan menendangnya keluar ke dalam darah untuk dibunuh),’ kata penulis senior dan profesor mikrobiologi dan penyakit berjangkit di pusat kesihatan awam Pitt, Robbie Mailliard. “Terdapat banyak rawatan dan terapi yang menjanjikan, sedang dibangunkan untuk membunuh virus ini namun, pingat emas sebenar adalah dalam mencari jalan bagaimana untuk memburu dan mengesan sel imun yang menyimpan virus HIV dan menendang keluar virus ini daripada bersembunyi’

Proses ‘menendang’ ini adalah perlu kerana selagi seseorang itu meneruskan dan mengambil rawatan HAART, virus ini akan terus kekal terpendam dalam fasa tidak aktif, dengan menyatukan dirinya dalam DNA sel imun yang diberi nama sel pembantu T sel. Jadi, pasukan pengkaji ini memilih untuk melihat dan mengkaji virus lain yang turut berupaya untuk menjadi terpendam dan menjangkiti lebih separuh orang dewasa – dan juga 95% pesakit HIV: Cytomegalovirus (CMV), yang berupaya untuk mengakibatkan jangkitan mata dan penyakit serius lain, namun dikawal baik oleh sistem imun yang sihat.

Sistem imun menghabiskan banyak masa memastikan CMV terkawal; Dalam sesetengah orang, 1 daripada setiap 5 sel T adalah khusus untuk virus ini. Ini menyebabkan pasukan pengkaji terfikir bahawa mungkin sel-sel yang khusus untuk melawan CMV ini turut membentuk sebahagian besar bekalan sel-sel yang mengandungi HIV? Untuk menguji hipotesis ini, mereka membangunkan imunoterapi yang bukan sahaja memburu HIV, bahkan untuk mengaktifkan sel pembantu T yang khusus terhadap CMV.

Untuk menjalankan eksperimen ini, pasukan pengkaji memerlukan banyak darah dan menurut penulis utama kajian ini, Jan Kristoff, mereka terhutang budi terhadap pesakit yang memberi kerjasama dan sokongan sehinggakan terdapat mereka yang menghabiskan masa sehingga 4 jam dengan mesin penganalisa di samping kembali semula untuk memberi lebih banyak sampel darah. Teras rawatan imunoterapi HIV baru ini adalah sel yang diberi nama sel dendritik, yang lazimnya digunakan untuk rawatan imunoterapi kanser dan jenis konvensional rawatan ini turut digunakan dalam mencetuskan sistem imun untuk membunuh HIV. Walau bagaimanapun, keupayaan sel dendritik untuk memburu dan menendang virus HIV keluar daripada penyembunyiannya dalam sel T masih belum diketahui. Dalam kajian ini, pasukan pengkaji ini menyediakan “antigen-presenting type 1-polarized, monocyte-derived dendritic cells” (MDC1), dalam makmal untuk memburu dan mengaktifkan sel yang khusus terhadap CMV, dengan kepercayaan bahawa sel-sel ini mengandungi HIV terpendam.

Apabila MDC1 ini ditambah dalam sampel sel pembantu T yang mengandungi HIV terpendam, ianya berjaya mengundurkan proses pemendaman, menendang keluar virus HIV yang menyorok tadi, dan dalam saat-saat yang dinantikan, tanpa menambah ubat tambahan atau terapi lain, MDC1 berupaya untuk merekruit sel T pembunuh untuk menghapuskan sel yang telah dijangkiti. Para pengkaji memperincikannya sebagai imunoterapi yang mirip pisau tentera Swis.

Pasukan pengkaji kini menyusun pelan untuk memulakan fasa percubaan dalam manusia – dengan harapan satu hari nanti, vaksin dapat dihasilkan yang membolehkan individu yang dijangkiti tidak lagi perlu untuk mengambil ubat-ubatan setiap hari.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis dan juga rawatan.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Kristoff J, Palma ML, Garcia-Bates TM, Shen C, Sluis-Cremer N, Gupta P, et al. Type 1-programmed dendritic cells drive antigen-specific latency reversal and immune elimination of persistent HIV-1. EBioMedicine [Internet]. 2019 Apr 2 [cited 2019 Apr 12];0(0). Available from: https://www.ebiomedicine.com/article/S2352-3964(19)30222-1/abstract
Mocroft A, Lundgren JD. Starting highly active antiretroviral therapy: why, when and response to HAART. J Antimicrob Chemother. 2004 Jul 1;54(1):10–3.
Immunotherapy Kicks, Kills HIV by Exploiting a Common Virus [Internet]. UPMC | Life Changing Medicine. [cited 2019 Apr 12]. Available from: https://www.upmc.com/media/news/040319-kristoff-mailliard-mdc1
Adverse Effects of ARV Limitations to Treatment Safety and Efficacy Adult and Adolescent ARV [Internet]. AIDSinfo. [cited 2019 Apr 12]. Available from: https://aidsinfo.nih.gov/guidelines/html/1/adult-and-adolescent-arv/31/adverse-effects-of-arv

Versi Terbaru

10/07/2020

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Wanita Usia 30-an, Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Saringan Dan Pengesanan Awal

AWAS! Ini 3 Tanda-tanda HIV Pada Lelaki Yang Ramai Orang Terlepas Pandang!


Fakta Disemak oleh

Dr. Shelby


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 10/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan