backup og meta

Sudah Tak Sabar Nak Pergi Melancong Lepas COVID-19? Ketahui Insurans Yang Perlu Anda Ambil!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 13/01/2022

    Sudah Tak Sabar Nak Pergi Melancong Lepas COVID-19? Ketahui Insurans Yang Perlu Anda Ambil!

    Selain mengemas beg baju dan buku merah, ada satu lagi perkara penting yang mungkin kalian tidak mahu terlepas ketika melancong iaitu insurans pelancongan.

    Ini kerana ia adalah satu jaminan yang boleh buat anda rasa lebih selamat jika berlaku sebarang perkara tidak diingini terutamanya yang melibatkan kesihatan.

    Persoalannya, adakah anda perlu ambil insurans pelancongan atau cukup sekadar memiliki insurans perubatan ketika melancong? Jom teruskan membaca!

    Apa itu insurans perubatan?

    Insurans perubatan adalah satu tabung caruman yang membolehkan pencarum menerima manfaat berbentuk kewangan jika berlaku sebarang kecemasan kesihatan.

    Kecemasan yang dimaksudkan ini termasuklah jika anda mengalami kecederaan, kemalangan atau sebarang keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan dan ubatan.

    Dengan ini, maka segala atau separuh kos perubatan dalam bentuk rawatan atau ubatan yang kalian terima itu dapat dibiayai oleh insurans yang anda carumkan.

    Jika anda ada penyakit kronik pula dan inginkan wang secara ‘lump sum‘, caruman di dalam pelan insurans penyakit kritikal mungkin adalah pilihan yang lebih baik.

    insurans pelancongan

    Bagaimana pula jika hendak keluar melancong? Untuk pengetahuan anda, di negara kita juga wujud sebuah skim caruman khas lain iaitu insurans pelancongan.

    Apa pula insurans pelancongan?

    Insurans pelancongan adalah satu tabung caruman yang membolehkan pencarum menerima manfaat berbentuk kewangan jika berlaku sebarang kecemasan kesihatan.

    Perbezaannya dengan insurans perubatan adalah insurans pelancongan hanya akan melindungi jika pencarum mengalami kecemasan itu ketika sedang melancong.

    Melancong yang dimaksudkan di sini bukan sahaja terhad kepada aktiviti makan angin sama ada di dalam atau luar negara, malahan juga untuk tujuan lain.

    Anda juga boleh menerima manfaat caruman ini jika anda bergerak ke destinasi pilihan untuk bekerja, belajar atau berpindah tertakluk pada terma dan syarat.

    Sekiranya anda hendak keluar melancong, agaknya mana satu pilihan yang lebih baik? Tenang, kami akan cuba menjawab soalan ini menerusi huraian di bawah.

    Mana lebih baik jika hendak melancong?

    insurans pelancongan

    Sebenarnya, mungkin adalah lebih baik jika anda memiliki insurans pelancongan ketika melancong terutamanya jika anda bergerak ke luar negara mastautin anda.

    Ini kerana insurans perubatan yang biasa hanya boleh digunapakai ketika anda berada di negara sendiri dan tidak akan termaktub semasa berada di luar negara.

    Namun mungkin ada pilihan ketiga pula yakni insurans perubatan antarabangsa yang ternyata paling baik terutamanya jika anda hendak melancong dalam tempoh masa yang lama.

    Buat anda yang mungkin belum tahu, insurans perubatan antarabangsa sebenarnya sama sahaja dengan insurans perubatan biasa cuma bezanya ia berfungsi ketika anda di luar negara.

    Di negara kita juga sudah wujud insurans ini namun mungkin dengan kos yang sedikit mahal. Jadi, sila berbincang dengan ejen atau syarikat untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Bagaimana jika anda ada kedua-duanya?

    Buat anda yang memiliki kedua-dua caruman yakni insurans perubatan dan insurans pelancongan secara serentak, ia bukanlah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.

    Pun begitu, mungkin akan berlaku perubahan dari aspek pembiayaan kewangan sekiranya berlaku kecemasan kesihatan pada anda sepanjang tempoh anda melancong itu.

    insurans pelancongan

    Jika anda melancong di dalam negara (domestik)

    Di dalam negara kita, pelan insurans pelancongan anda akan menjadi ‘sekunder’ kerana anda masih lagi berada di dalam negara – tempat anda mendaftar dan mencarum.

    Ini bermakna kalian perlu menggunakan insurans perubatan terlebih dahulu jika berlaku kecemasan kesihatan sebelum boleh menerima manfaat insurans satu lagi.

    Jika anda melancong ke luar negara (antarabangsa)

    Di luar negara pula, pelan insurans pelancongan anda akan menjadi ‘primer’ kerana anda tidak lagi berada di dalam negara – batasan sempadan negara insurans anda.

    Ini bermakna kalian boleh menggunakan insurans pelancongan untuk membiayai segala beban kewangan yang diperlukan jika berlaku sebarang kecemasan kesihatan.

    Dalam erti kata lebih mudah, anda masih akan menerima manfaat daripada kedua-duanya namun yang mana satu akan diutamakan adalah bergantung kepada tempat anda berada.

    Insurans itu penting jika hendak melancong!

    Konklusinya, insurans itu adalah sangat penting jika hendak melancong dan pilihan untuk jenis yang mana satu adalah bergantung pada tempoh, destinasi dan tujuan anda.

    Untuk mendapatkan lebih informasi mengenai perkara ini, sila berkomunikasi dan berkonsultasi dengan syarikat atau ejen insurans yang bertauliah sebelum keluar melancong.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan