backup og meta

Kontraseptif: Ini Info Lengkap Jika Anda Ingin Merancang Keluarga

Kontraseptif: Ini Info Lengkap Jika Anda Ingin Merancang Keluarga

Dari masa ke masa, semakin banyak cara mencegah kehamilan yang boleh dicuba oleh pasangan suami isteri.

Setiap cara mencegah kehamilan atau jenis kontraseptif berfungsi secara berbeza, tapi kesemuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menghalang persenyawaan berlaku.

Pelbagai alat kontraseptif dan rawatan tersedia untuk kedua-dua pihak baik suami mahupun isteri.

Ikuti perkongsian ini untuk kenali kaedah-kaedah pencegah kehamilan yang menjadi pilihan pasangan yang sedang merancang!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

Definisi

Apa itu kontraseptif?

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, kontraseptif merupakan kaedah yang digunakan untuk mengelak kehamilan daripada berlaku.

Kadangkala, ia digelar pencegah kehamilan atau perlindungan (protection).

Kehamilan secara semula jadinya berlaku apabila sperma bersenyawa dengan telur (ovum).

Justeru, kontraseptif bertujuan untuk mencegah perkara ini terjadi mengikut fungsi setiap jenis yang digunakan.

Sesetengah kontraseptif akan dapat memisahkan telur dan sperma dengan mewujudkan penghalang di antara keduanya. Kontraseptif jenis hormon pula boleh menghentikan pengeluaran telur.

Ada juga cara mencegah kehamilan lain yang bekerja dengan mengelakkan telur yang disenyawakan daripada menempel di rahim atau melekat pada lapisan rahim.

Walaupun kesemua alat kontrasepsi bertujuan untuk mencegah kehamilan, namun ia tidak memberi jaminan perlindungan daripada penyakit kelamin (STD), kecuali kondom.

Jenis Kontraseptif

Cara mencegah kehamilan: Jenis & kesan sampingan kontraseptif

#1 Kondom

Kondom adalah satu-satunya cara mencegah yang dapat melindungi anda daripada kebanyakan jenis jangkitan kelamin, sambil mencegah kehamilan.

Kaedah kontrasepsi ini juga boleh digunakan pada bila-bila masa yang dikehendaki, bebas hormon dan mudah dibawa bersama. Ia juga tersedia mengikut jantina.

Kondom lelaki disarung pada zakar yang sedang ereksi, yang bertindak sebagai penghalang fizikal dan mencegah cairan seksual mengalir semasa bersenggama.

Berbeza dengan kondom wanita yang dimasukkan ke dalam faraj, tepat sebelum melakukan hubungan seks.

Berdasarkan pemerhatian, kondom wanita ternyata tidak begitu berkesan seperti kondom lateks lelaki dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri memakainya.

Dari segi aspek kekurangannya pula, kondom berisiko terkoyak atau bocor semasa bersama, jika tidak digunakan dengan betul.

cara mencegah kehamilan

Bahkan, sesetengah orang mempunyai alahan terhadap kondom lateks.

#2 Pil kontraseptif oral

Turut dikenali sebagai pil perancang, ia biasanya tersedia dalam bentuk tablet kecil yang perlu diambil sekali sehari.

Pil kontraseptif oral dilaporkan menjadi antara kaedah kontrasepsi yang paling kerap digunakan oleh wanita.

Terdapat beberapa jenis pil perancang di pasaran, justeru para wanita perlu mengenal pasti jenis yang paling sesuai dengan keupayaan badan.

Tahukah anda, pil perancang sebenarnya mempunyai banyak faedah? Ya, dengan syarat ia diambil tepat pada waktunya!

Selain digunakan sebagai cara mencegah kehamilan, ia juga dilaporkan boleh mengurangkan pendarahan haid berat, menyakitkan dan mungkin memberi kesan positif pada masalah jerawat!

Pun begitu, keberkesanannya bakal berkurang sekiranya anda tidak patuh dengan waktu pengambilannya. Pil perancang juga tidak dapat melindungi daripada jangkitan kelamin.

#3 Peranti intrauterin (IUD)

Peranti berbentuk T kecil boleh dibahagi kepada 2 jenis; tembaga atau hormon, yang mengandungi hormon progesteron ataupun spermicide dan dipasang di dalam rongga rahim.

Ini adalah kaedah kontrasepsi yang dipakai untuk jangka masa lama (selama 3-10 tahun, bergantung pada jenisnya) dan kesannya juga boleh dibalikkan.

Beberapa jenis IUD mengandungi hormon yang dilepaskan secara beransur-ansur sebagai cara mencegah kehamilan.

Selain itu juga, IUD boleh menjadi kontraseptif kecemasan yang bagus jika dipasang dalam masa 5 hari (120 jam) setelah bersama tanpa perlindungan!

IUD yang mengandungi tembaga mempunyai kadar keberkesanan setinggi 99%, manakala yang hormon pula dikatakan berkesan sebanyak 99.8%.

Tapi jangan terkejut dengan kesan sampingan yang boleh berlaku, merangkumi spotting atau pendarahan tidak teratur pada 6 bulan pertama penggunaan. Ia juga tidak memberi perlindungan STD.

#4 Suntikan

Suntikan kontraseptif adalah cara mencegah kehamilan yang bersifat progestin-only, berjangka panjang dan kesan yang boleh dibalikkan.

Kaedah suntikan ini perlu dilakukan setiap 3 bulan di klinik atau hospital berdekatan.

Ia berfungsi untuk mencegah kehamilan dengan menghentikan wanita daripada melepaskan telur.

Jenis kontraseptif ini dikatakan berkesan sebanyak 94%, dan risiko kehamilan boleh meningkat apabila kesan suntikan hilang.

Peringatan untuk para isteri, adalah penting untuk menempah sesi suntikan yang seterusnya selepas 3 bulan untuk menjamin keberkesanannya!

Sama seperti IUD, kaedah pencegah kehamilan ini tidak menawarkan fungsi perlindungan STD.

Di samping itu, antara kesan sampingan yang berupaya berlaku; boleh menjejaskan haid dan menyebabkan pendarahan tidak teratur.

#5 Kontraseptif pil morning after

cara mencegah kehamilan

Pil kontraseptif kecemasan, atau morning after pill boleh mencegah kehamilan selepas berhubungan seksual. Ia mencegah ovulasi, persenyawaan, atau implantasi embrio.

Berbeza jika dibandingkan dengan cara mencegah kehamilan yang lain kerana pil ini bertindak selepas telur sudah pun menempel di rahim.

Kontraseptif kecemasan ini boleh digunakan sehingga 72 jam selepas bersama tanpa memakai perlindungan.

Ia juga mempunyai tahap keberkesanan sebanyak 95% pada 24 jam pertama, dan kemudian menurun ke 60% apabila mencecah 72 jam.

Pil morning after biasanya boleh dibeli di kaunter farmasi dan tidak memerlukan preskripsi doktor.

Kesan sampingan yang biasa menimpa penggunanya meliputi rasa loya, muntah dan perubahan haid berikutnya sama ada lebih awal atau lambat. Ia juga tidak melindungi daripada STD.

Konklusi

Ternyata banyak sekali cara untuk mencegah kehamilan yang boleh dicuba oleh pasangan yang sedang merancang!

Malahan, jenis-jenis yang telah dikupaskan di atas hanya mewakili segelintir daripada opsyen yang ada.

Apa yang penting, sentiasa lakukan konsultasi bersama doktor atau pakar sakit puan terlebih dahulu sebelum anda dan pasangan membuat keputusan untuk menggunakan mana-mana jenis kontraseptif, okey?

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Birth Control Pill. https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/birth-control-pill. Accessed Feb 13, 2023.
  2. Reproductive Health. https://www.hhs.gov/opa/pregnancy-prevention/birth-control-methods/shot/index.html. Accessed Feb 13, 2023.
  3. Contraceptive Use. http://www.cdc.gov/nchs/fastats/contraceptive.htm. Accessed Feb 13, 2023.
  4. Reproductive Health. https://www.hhs.gov/opa/pregnancy-prevention/birth-control-methods/female-condom/index.html. Accessed Feb 13, 2023.
  5. Reproductive Health. https://www.hhs.gov/opa/pregnancy-prevention/birth-control-methods/iud/index.html. Accessed Feb 13, 2023.
  6. Condoms. http://www.nhs.uk/Livewell/teenboys/Pages/Condoms.aspx. Accessed Feb 13, 2023.
  7. Birth Control. https://www.optionsforsexualhealth.org/birth-control-pregnancy/birth-control-options/effectiveness. Accessed Feb 13, 2023.

Versi Terbaru

13/02/2023

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Pil Perancang Keluarga Bukan Untuk Elak Hamil Saja, Tapi Ini 7 Kebaikannya Yang Lain!

Wanita Sudah Ada Telur Sejak Lahir? Ini Fakta Menarik Tentang Ovum, Dari Dalam Rahim Sampai Menopaus


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/02/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan