Cara makan pil perancang salah punca kurang berkesan?
Menurut ramai pakar perancang keluarga, pil ini mempunyai tahap keberkesanan yang sangat tinggi iaitu sehingga 99%.
Pun begitu, angka ini boleh turun kepada 91% atau kurang lagi bergantung kepada cara makan pil perancang yang anda amalkan.
Ini didalangi oleh beberapa faktor termasuklah:
#1. Terlepas atau terlambat makan pil perancang
Menurut Profesor Obstetrik dan Ginekologi Fahimeh Sasan di Icahn School of Medicine, punca utama pil ini kurang berkesan adalah kerana tidak diambil setiap hari.
Adakah terlepas 1 biji pil bermaksud anda pasti akan hamil? Tidak, namun ia akan meningkatkan risiko terutamanya jika pil yang anda terlepas itu adalah yang pertama.
Ini bermaksud wanita tidak seharusnya terlepas dari ambil pil pada minggu pertama kerana ketika inilah telur akan mula dihasilkan untuk proses persenyawaan.
Selain itu, terlambat mengambil pil ini juga boleh menurunkan tahap keberkesanannya. Oleh itu, jangan sesekali terlepas atau terlambat mengambilnya okay!
#2. Mengambil ubatan lain bersama pil perancang
Cara makan pil perancang supaya berkesan adalah mengambilnya tanpa ubatan lain.

Berikut merupakan senarai beberapa ubatan yang boleh mengganggu tahap keberkesanannya:
- Antibiotik untuk tuberkulosis atau meningitis
- Anticonvulsants atau penstabil mood
- Antifungal
- Antidepresan
- Ubatan HIV
- Ubatan diabetes
- Ubatan hipertensi arteri pulmonari
- Ubatan untuk merawat keloyaan
- Ubatan untuk merawat kegelisahan
Jadi sila berjumpa doktor jika kalian terpaksa mengambil ubatan-ubatan ini serentak dengan pil perancang kehamilan.
#3. Mengambil suplemen lain bersama pil perancang
Sama seperti ubatan, beberapa suplemen juga boleh menurunkan tahap keberkesanan pil ini seperti:
- Vitamin A
- Vitamin C
- Potassium
- St. Jonh’s Wort
- Soy Isoflavones
Mungkin tidak salah untuk mengambil suplemen cuma pastikan anda telah berbincang dengan doktor terlebih dahulu ya?
#4. BMI yang tidak stabil
Terkejut bukan?
Indeks jisim badan (BMI) yang terlebih akan mengakibatkan metabolisme tubuh badan terjejas lantas menyerap sebarang ubatan dengan lebih cepat.
Kesannya, ia mungkin terbuang dengan lebih cepat dari tubuh badan melalui sistem perkumuhan yang seterusnya menurunkan tahap keberkesanannya.
Disebabkan itu, pil perancang mungkin kurang sesuai buat individu dengan BMI melebihi 27. Sila berjumpa doktor untuk berbincang alternatif kontraseptif yang terbaik.

#5. Menghidapi penyakit tertentu
Penyakit tertentu seperti penyakit Crohn dan penyakit radang usus (IBD) boleh mengganggu penyerapan sebarang ubatan yang diambil secara oral.
Menurut Profesor Obstetrik dan Ginekologi di The University of Tennessee Nikki B. Zite, segala yang mengganggu kebolehan tubuh badan menyerap hormon akan mempengaruhi tahap keberkesanan pil perancang.
Mayo Clinic turut menyatakan bahawa cirit-birit atau muntah-muntah yang serius juga akan memberi kesan yang lebih kurang sama.
Konklusinya, sila amalkan cara makan pil perancang kehamilan dengan betul dan elakkan perkara di atas supaya ia berkesan dengan lebih baik!
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen