Berapakah Anggaran Kos Sebenar Bagi Penghidap Diabetes?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 01/07/2020 . 2 minit bacaan
Share now

Mungkin ramai yang masih tidak tahu, berapakah kos sebenar pengurusan diabetes bagi seseorang penghidap diabetes atau beban kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan hanya untuk pesakit diabetes. Memandangkan rawatan bagi pesakit diabetes di hospital milik kerajaan adalah rendah, mungkin ramai yang berfikir bahawa kosnya adalah rendah dan mampu untuk dibiayai. Bagaimana jika kami kata, kosnya yang sebenar mungkin satu angka yang anda tidak mahu belanjakan setiap bulan seolah-olah membayar pinjaman kereta atau rumah?

Kos insulin

Bagi penghidap diabetes jenis 1, mereka akan dibekalkan dengan insulin bagi membantu tubuh mengawal tahap gula darah. Manakala bagi penghidap diabetes jenis 2, mereka biasanya diberikan ubat-ubatan untuk membantu tubuh menggunakan insulin dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, jika penghidap diabetes jenis 2 semakin teruk, mereka juga akan dibekalkan dengan insulin. Tahukah anda berapakah kos sebenar insulin?

Harga insulin bergantung kepada jenis dan jenama insulin yang digunakan. Kosnya boleh dianggarkan antara RM 30 hingga RM 200 atau lebih tinggi, dan ia tidak termasuk lagi dengan peralatan khas untuk suntikan insulin tersebut. Jika digabungkan kesemuanya termasuklah suntikan insulin, peralatan suntikan, ubat dan suplemen, anda memerlukan antara RM 500 hingga RM 1000 setiap bulan. 

Kos dialisis

Jika mereka yang menghidap diabetes mengalami masalah kegagalan buah pinggang, mereka perlu menjalani dialisis sebanyak 12 kali setiap bulan. Setiap sesi dialisis, ia akan memerlukan kos sebanyak RM 150, dan ia masih mahal walaupun telah disubsidi oleh kerajaan mahupun NGO. Anda akan memerlukan sebanyak RM 1800 sebulan hanya untuk menjalani sesi dialisis.

Berapakah kos untuk pesakit luar diabetes di fasiliti milik kerajaan dan pusat perubatan swasta?

Jika anda mendapatkan rawatan diabetes di klinik atau hospital kerajaan sebagai pesakit luar, kos anggaran yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sekitar RM 459 bagi setiap pesakit setiap tahun. Tetapi anda hanya perlu membayar sebanyak RM 1 untuk setiap kali perjumpaan bersama doktor. 

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh portal imoney.my bersama Allianz Insurance pula, kos tahunan bagi rawatan pesakit diabetes menjangkau RM 2,750 setahun jika anda mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta. Anggaran harga ini juga bergantung kepada situasi dan keadaan pesakit. Kos yang dianggarkan ini mengambil kira ujian darah, alat ujian darah, jalur ujian darah, ubat-ubatan dan konsultasi doktor.

Kos keseluruhan sebenar yang ditanggung kerajaan

Untuk pengetahuan pembaca, kos tahunan keseluruhan bagi pengurusan diabetes dianggarkan sekitar RM 2.04 bilion dan sebanyak RM 1.40 bilion daripadanya ditanggung oleh pihak kerajaan Malaysia. Ia menyamai sebanyak 70% daripada kos keseluruhan tersebut memandangkan terdapat jumlah pesakit yang tinggi yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan milik kerajaan. 

Berapakah servis rawatan yang perlu anda bayar jika mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital atau klinik kerajaan? Hanya RM 1 yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan konsultasi doktor dan ubat-ubatan bagi penyakit diabetes yang anda alami. Itupun masih ramai yang tidak mengikuti nasihat doktor untuk menghabiskan ubat-ubatan yang hanya dicaj dengan harga RM 1. Jika anda ditakdirkan perlu membayar kos sebenar ubat-ubatan diabetes tanpa sebarang subsidi oleh kerajaan, kami yakin ramai yang menghargai setiap butir ubat yang dibayar dan tidak membuangnya sesuka hati. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga: