backup og meta

Tersilap Diagnosis! Dari Diabetes Jenis 2, Tapi Sebenarnya Menghidap Kencing Manis Jenis 1?

Tersilap Diagnosis! Dari Diabetes Jenis 2, Tapi Sebenarnya Menghidap Kencing Manis Jenis 1?

Mungkin ada sedikit persoalan yang pernah bermain di minda kita, adakah diabetes jenis 2 boleh bertukar kepada diabetes jenis 1? Atau mungkin kencing manis jenis 2 ini sebenarnya tersilap diagnosis?

Ikuti jawapannya di sini.

Perbezaan antara diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2

kencing manis jenis 2

Diabetes jenis 1 merupakan sejenis penyakit autoimun, yang bermaksud sistem imun anda menyerang sel-sel yang sihat di dalam badan secara tidak sengaja.

Ia berlaku apabila sel-sel islet penghasil insulin yang berada di pankreas musnah sepenuhnya, lalu tubuh badan tidak dapat menghasilkan insulin.

Diabetes jenis 1 kurang berlaku jika dibandingkan dengan kencing manis jenis 2. Kencing manis jenis 1 ini juga disebut sebagai diabetes kanak-kanak memandangkan ia biasa dikesan dalam kalangan kelompok ini.

Bagi diabetes jenis 2 pula, sel-sel islet masih berfungsi dengan baik.

Namun, tubuh badan anda mempunyai rintangan terhadapnya iaitu tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan baik.

Diabetes jenis ini lebih kerap dikesan dalam kalangan orang dewasa disebabkan oleh gaya pemakanan yang tidak terjaga.

Namun, ia kini sudah mula berlaku dalam kalangan kanak-kanak juga.

Adakah diabetes jenis 2 boleh bertukar menjadi diabetes jenis 1?

Tidak. Kencing manis jenis 2 tidak boleh bertukar menjadi diabetes jenis 1. Ini kerana kedua-dua keadaan penyakit ini disebabkan oleh dua faktor yang berbeza. 

Tapi, adakah terdapat kemungkinan bahawa seseorang itu tersalah diagnosis mempunyai diabetes jenis 2?

Terdapat kemungkinan bahawa individu yang menghidap diabetes jenis ini telah tersalah didiagnosis.

Mereka mungkin menunjukkan beberapa gejala atau simptom bagi kencing manis jenis 2, tetapi sebenarnya mempunyai keadaan lain yang mungkin lebih berkaitan dengan diabetes jenis 1.

Keadaan ini disebut sebagai diabetes autoimun laten pada orang dewasa (LADA).

Kajian ada menunjukkan anggaran bahawa sekitar 4 hingga 14% individu yang disahkan menghidap kencing manis jenis dua sebenarnya menghidap LADA.

Secara umumnya, salah diagnosis ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

  • Kencing manis jenis 2 dan LADA biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa
  • Simptom awal LADA adalah sama dengan simptom kencing manis jenis 2 seperti rasa dahaga yang melampau, penglihatan yang kabur dan gula darah yang tinggi
  • Kebanyakan doktor tidak melakukan ujian pengesanan LADA apabila mendiagnosis diabetes
  • Pada awalnya, pankreas dalam kalangan penghidap LADA masih lagi menghasilkan insulin
  • Kaedah rawatan kencing manis jenis 2 seperti diet, senaman dan ubat-ubatan memberikan kesan yang sama dalam kalangan penghidap LADA pada permulaannya

Sehingga hari ini, penyebab sebenar kepada keadaan LADA ini masih tidak diketahui, namun para penyelidik telah mengenal pasti genetik tertentu yang mungkin menyebabkan ia berlaku. 

Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan diabetes autoimun laten pada orang dewasa (LADA)?

diabetes jenis 2

Ramai doktor menganggap LADA sebagai bentuk diabetes jenis 1 untuk orang dewasa kerana ia juga merupakan satu keadaan atau penyakit autoimun.

Seperti diabetes jenis 1, sel-sel islet di pankreas penghidap LADA juga rosak. Walau bagaimanapun, proses ini berlaku dengan lebih perlahan.

Apabila ia bermula, ia boleh mengambil masa selama beberapa bulan sehinggalah beberapa tahun untuk pankreas tersebut berhenti menghasilkan insulin.

Namun, ada beberapa pakar perubatan menganggap bahawa LADA adalah sejenis penyakit diabetes yang berada antara jenis 1 dan jenis 2, dan memanggilnya sebagai diabetes jenis 1.5.

Masih terdapat banyak perkara yang sedang dirungkaikan oleh penyelidik berkenaan dengan LADA, namun secara umumnya, ciri-ciri LADA adalah seperti berikut:

  • Berlaku dalam kalangan orang dewasa
  • Mempunyai perkembangan yang lebih perlahan berbanding diabetes jenis 1
  • Sering berlaku dalam kalangan mereka yang berlebihan berat badan
  • Sering berlaku dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai isu metabolik lain seperti tekanan darah tinggi

Simptom-simptom LADA juga adalah sama dengan mereka yang menghidap kencing manis jenis 2 seperti:

  • Rasa dahaga yang melampau
  • Buang air kecil dengan kerap
  • Penglihatan yang kabur
  • Tinggi kandungan gula dalam darah
  • Tinggi kandungan gula dalam air kencing
  • Mengalami kekeringan kulit
  • Mengalami keletihan
  • Rasa kesemutan pada kaki dan tapak tangan
  • Mempunyai jangkitan kulit dan pundi kencing yang kerap

Apakah perbezaan antara diabetes jenis 2 dan juga LADA?

Penghidap kencing manis jenis 2 mungkin tidak memerlukan penggunaan insulin atau boleh ‘reverse’ kembali penyakit mereka melalui perubahan gaya hidup dan juga pengurangan berat badan.

Namun, bagi mereka yang menghidap keadaan LADA ini, mereka tidak dapat untuk melakukan ‘reverse’ seperti penghidap kencing manis jenis 2.

Sekiranya seseorang individu tersebut didiagnosis memiliki LADA, maka ia perlu bergantung kepada penggunaan insulin sepanjang hayatnya.

Kesimpulan 

Jika anda menghidap penyakit diabetes jenis 2, ia tidak akan boleh menyebabkan anda mengalami diabetes jenis 1.

Anda sebenarnya mungkin sedang menghidap LADA yang boleh dikatakan sebagai diabetes jenis 1.5 disebabkan keadaannya yang serupa dengan diabetes jenis 1 iaitu sejenis penyakit autoimun. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Brahmkshatriya P, et al. (2012). Characteristics and prevalence of latent autoimmune diabetes in adults (LADA). DOI:10.5402/2012/580202

Laugesen E, et al. (2015). Latent autoimmune diabetes of the adult: Current knowledge and uncertainty. DOI:10.1111/dme.12700

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/type-1-diabetes/expert-answers/lada-diabetes/faq-20057880

http://www.diabetesforecast.org/2010/may/the-other-diabetes-lada-or-type-1-5.html

https://www.uwmedicine.org/health-library/Pages/latent-autoimmune-diabetes-in-adults.aspx

https://www.lvhn.org/conditions_treatments/diabetes/latent_autoimmune_diabetes_in_adults_lada/overview/symptoms

Versi Terbaru

12/07/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Faktor-faktor Risiko Diabetes Jenis 2

Mengejutkan, Tanda Diabetes Jenis 2 Kini Boleh Dikesan Seawal Umur 8 Tahun


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan