backup og meta

Fahami Persoalan Tentang Hepatitis

Fahami Persoalan Tentang Hepatitis

Apakah itu hepatitis?

Hepatitis bermaksud radang hati. Seperti radang yang lain, radang hati menyebabkan hati menjadi bengkak, sakit dan menjejaskan fungsinya.

Hati adalah organ yang sangat penting dan merupakan organ terbesar di dalam abdomen manusia. Fungsinya adalah banyak termasuk:

  • Memproses nutrien.
  • Menghasilkan antibodi.
  • Penghasilan cecair hempedu.
  • Penguraian hormon serta sesetengah ubat-ubatan.

Semua fungsi ini adalah sangat penting untuk mengekalkan kesihatan badan. Jika hepatitis berlaku, sebahagian daripada fungsinya mungkin terganggu dan jika radang yang berlaku adalah kronik dan teruk, hati mungkin mengalami kegagalan sehingga hilang semua fungsinya.

Apakah punca hepatitis?

Terdapat pelbagai sebab radang hati termasuk minuman alkohol, mengambil ubat-ubatan terlarang, keracunan ubat, penyakit autoimun dan virus hepatitis.

Di Malaysia, sebab paling kerap ialah virus hepatitis. Virus ini mempunyai banyak jenis iaitu A, B, C, D dan E. Virus B dan C paling kerap menjadi punca hepatitis di negara ini.

Di negara-negara Barat pula, punca utama hepatitis adalah minuman alkohol (alcoholic liver disease).

Bagaimanakah virus ini tersebar?

Virus A dan E (jarang berlaku) tersebar melalui makanan. Ia adalah antara punca keracunan makanan. Penghidap virus ini perlu menjalani pengasingan untuk mengelakkan virus tersebar kepada orang lain melalui pencemaran najis. Ia hanya menyebabkan jangkitan akut yang berkekalan selama beberapa minggu.

Virus B, C dan D (biasaanya jangkitan berlaku bersama dengan virus B) pula tersebar melalui beberapa cara termasuk berkongsi jarum picagari, pemindahan darah yang tidak disaring, hubungan seksual dan pemindahan daripada ibu mengandung kepada bayi di dalam perut. Ia menyebabkan jangkitan kronik selama bertahun-tahun.

Apakah tanda-tanda dan simptom-simptom hepatitis?

Kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom. Jika ada, ia kebiasaannya melibatkan kes akut. Antara tanda dan simptomnya adalah:

  • Rasa letih.
  • Kurang selera makan.
  • Loya dan muntah.
  • Sakit perut (abdomen).
  • Kuning pada mata putih dan kulit (jaundis).
  • Air kencing berubah menjadi warna teh.
  • Warna najis berwarna pucat atau seperti tanah liat.
  • Demam.

Apakah komplikasi hepatitis kronik?

Memandangkan kebanyakan pembawa virus (B dan C) tidak mempunyai apa-apa simptom, virus ini boleh merosakkan hati secara diam. Tanpa disedari, hati menjadi rosak, satu keadaan yang disebut sebagai sirrosis hati.

Apabila keadaan ini berlaku, tekanan darah di dalam abdomen akan menjadi tinggi (portal hypertension) menyebabkan saluran darah di dalam abdomen membengkak, air terkumpul di dalam abdomen atau busung (ascites) dan kedua-dua belah kaki mula membengkak. Jika tekanan terlalu tinggi, salur darah boleh pecah menyebabkan muntah darah.

Perbandingan antara hati normal dan sirosis. Gambar ihsan daripada Mayo Clinic

Sirrosis hati juga meningkatkan risiko kanser hati. Malah, jangkitan virus C dan B itu sendiri merupakan faktor risiko kepada kanser hati.

Apakah rawatan bagi hepatitis?

Rawatan adalah berbeza mengikut puncanya. Bagi penyakit hati autoimun, rawatan kebiasaannya melibatkan ubat-ubatan yang melemahkan sistem imun badan seperti steroid untuk mengelakkan sistem imun menyerang hati.

Hepatitis disebabkan ubat-ubatan pula diuruskan dengan rawatan konservatif dan sokongan dengan menghentikan ubat terbabit serta memantau fungsi hati dan semasa ke semasa.

Bagi jangkitan virus pula, virus A dirawat dengan rawatan sokongan sahaja kerana ia akan hilang sendiri selepas beberapa minggu. Pesakit perlu diasingkan untuk mengelakkan virus tersebar.

Virus B dan C pula dirawat menggunakan ubat-ubatan khusus. Sejak tahun lepas, kerajaan Malaysia telah memberikan rawatan percuma bagi hepatitis C di beberapa buah hospital seluruh negara.

hepatitis b

Vaksin telah diperkenalkan untuk virus B sejak tahun 1992 di Malaysia, menyebabkan penurunan kes hepatitis B. Namun sehingga kini masih tiada vaksin untuk virus C tetapi ubat-ubatan baru bagi virus C adalah efektif dan boleh membunuh keseluruhan virus sehingga pesakit boleh menjadi bebas virus.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Professor Madya Dr Ahmad Najib Azmi (28 Julai 2016). Virus Hepatitis B & C: Ketahui Hepatitis, Bertindak Sekarang. Dimuat turun daripada http://www.mmgazette.com/virus-hepatitis-b-c-ketahui-hepatitis-bertindak-sekarang-professor-madya-dr-ahmad-najib-azmi/.

Dr Tan Soek Siam (26 April 2012). Hepatitis A, B, C. Dimuat turun daripada http://www.myhealth.gov.my/en/hepatitis-a-b-c/.

Versi Terbaru

30/11/2021

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Hati, Organ Yang Penting Untuk Tubuh Badan! Apa Fungsi Dan Cara Jaga?

Ini 5 Tip Berkesan Untuk Merawat Simptom Radang Hati!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 30/11/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan