Memahami punca mengapa anda mengalami sakit belakang adalah penting. Ini kerana satu jenis penyakit boleh membawa kepada beberapa jenis sakit yang lain dan menyebabkan rantaian masalah di seluruh sistem badan.
Apabila seorang pesakit datang kepada doktor mengadu sakit belakang, kebiasaannya pendekatan yang diambil ialah mendiagnosis terlebih dahulu sebelum rawatan sebenar dilakukan.
Berbanding menggunakan pemeriksaan yang lebih khusus untuk mendiagnosis pesakit, doktor juga mula menggunakan algoritma rawatan khusus.
Pesakit harus didiagnosis dengan betul untuk melihat dengan tepat apa yang menyebabkan sakit tersebut. Walaupun sebab awalnya boleh berbeza-beza, kebanyakan manifestasi ini adalah disebabkan oleh salah satu dari lima masalah berikut:
- Otot kejang
- Sakit sendi facet
- Cakera membonjol
- Sakit diskogenik (berpunca dari cakera)
- Sakit sendi sakroiliak
Sakit belakang badan – kekejangan otot
Otot kejang adalah penyebab paling biasa berlaku. Ia merangkumi lebih 95% dari kes yang biasa terjadi. Ini berlaku apabila seseorang individu itu terlebih menggunakan otot belakang.
Kekejangan disusuli rasa sakit adalah tanda amaran daripada badan dan tidak boleh dihiraukan. Mujurlah sakit belakang dari kekejangan otot ringan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan simptomatik dan kebiasaannya hilang dengan segera tanpa masalah lanjut.
Walau bagaimanapun, sesetengah otot kejang tidak hilang dengan mudah. Bagi ramai orang, kekejangan otot adalah hanya permulaan kepada masalah yang lebih besar. Berterusan dalam keadaan kejang boleh mencederakan otot terbabit dan membawa kepada sakit belakang kronik.
Jika kekejangan tersebut berkekalan lebih dari beberapa minggu, anda perlu pertimbangkan adakah sakit yang anda rasa itu benar-benar dari otot atau sebenarnya otot tersebut sedang melindungi sesuatu yang cedera.
Sakit sendi facet
Sakit sendi facet disebabkan oleh keradangan pada sendi facet tulang belakang adalah sebab kedua paling kerap terjadi. Sendi facet ini fungsinya untuk menghubungkan sesama tulang belakang.
Bagi mereka yang mengalami sakit belakang kronik, sendi facet tersebut adalah tempat di mana kecederaan bermula dalam 90% dari keseluruhan kes menjadikannya penyebab paling kerap bagi sakit belakang. Sebab itulah pesakit yang mengalaminya harus mengambil tindakan segera bagi mengelakkan ia merebak.
Cakera membonjol
Cakera membonjol merujuk kepada bacaan MRI di mana cakera lembut yang berada di antara dua tulang belakang membonjol ke belakang, ke arah saluran saraf tunjang yang kebiasaannya menyebabkan rasa sakit.
Terdapat banyak variasi tetapi ia secara umumnya berlaku dan dirawat dengan cara yang sama. Cakera membonjol adalah penyebab sakit belakang kedua paling kerap didiagnosis.
Sementara itu, cakera membonjol menyebabkan rasa sakit pada urat saraf dan tisu berhampiran, sakit diskogenik berasal dari dalam cakera itu sendiri.
Memandangkan sakit tersebut datang dari dalam cakera, pesakit akan rasa kurang selesa semasa ingin bergerak.
Sakit diskogenik
Sakit diskogenik dirasai di pusat bahagian belakang dan ia boleh terkeliru dengan sakit sendi facet.
Seperti sakit sendi facet dan cakera membonjol, sakit diskogenik mungkin dirangsang oleh trauma tetapi sebab asalnya kerap berpunca dari ketidakstabilan dan kelemahan otot.
Sakit sendi sakroiliak
Sakit sendi sakroiliak (atau sakit SI) berlaku di dalam sendi sakroiliak. Di sinilah di mana kolum spinal berhubung dengan pelvis.
Sendi terbabit dikelilingi oleh ligamen yang membuatkan sendi tersebut tidak bergerak.
Apabila tulang belakang tidak distabilkan dengan baik kerana otot yang lemah, maka badan akan mengimbanginya dengan cara berjalan yang berbeza.
Berjalan dengan cara tersebut membantu menstabilkan tulang belakang tapi menyebabkan ligamen di sekeliling sendi SI mengejang dan meregang sehingga ia tidak boleh lagi memegang sendi tersebut dengan kukuh.
Sakit sendi SI juga boleh disebabkan oleh trauma atau genetik. Tetapi kebiasaannya disebabkan oleh kelemahan otot yang berpunca dari jenis sakit belakang kronik yang lain.
Apabila pesakit tidak mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya, sakit mereka akan jadi semakin teruk. Ini akan menyebabkan kelemahan otot yang berterusan dan semakin sakit.