‘Trigger finger’ atau jari tangan sangkut adalah keadaan kesihatan yang menyebabkan jari bengkok sehingga menyukarkan aktiviti tangan.
Ia berlaku akibat proses keradangan pada tendon yang berperanan membengkokkan jari. Kesan daripada keadaan patologi tersebut menyebabkan jari menjadi sakit.
Apabila seseorang itu mengalaminya, pergerakan jari mereka menjadi terhad dan sebarang pergerakan yang melibatkan pergerakan aktif tendon jari menjadi sukar.
Sekiranya ia melarat dan menjadi semakin teruk, jari anda akan sentiasa tersekat dan mungkin tidak boleh diluruskan semula ke posisi asal.
Pada peringkat tersebut, doktor akan menyarankan anda untuk menjalani pembedahan yang dikenali sebagai ‘trigger finger release’.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Rawatan jari bengkok melalui kaedah perkutaneous
Apabila tendon yang mengalami radang menjadi punca kepada masalah jari lekat, prosedur pembedahan akan dilakukan bagi memotong struktur yang menghalang pergerakan jari tersebut.
Ia kebiasaannya melibatkan penggunaan ubat bius dan boleh dilakukan menggunakan beberapa kaedah. Salah satu daripadanya adalah kaedah perkutaneous.
Kaedah ini menggunakan jarum bagi memecahkan struktur yang menyekat sehingga menyebabkan jari bengkok.
Walaupun ia nampak mudah dan ringkas, kajian menunjukkan ia mempunyai tahap keberkesanan yang setara dengan pembedahan pembukaan (open surgery).
Langkah yang diambil oleh doktor adalah seperti berikut:
- Pakar bedah akan memberikan ubat bius setempat seperti lidocaine.
- Doktor kemudiannya akan menggunakan alat imbasan ultra bunyi bagi memandu masuk jarum supaya ia tidak tersasar daripada tendon yang terkesan. Jika alat tersebut tidak digunakan, ia boleh menyebabkan kecederaan pada tendon dan saraf yang terletak berdekatan dengan lokasi suntikan. Lazimnya, jarum yang akan digunakan mempunyai saiz yang sama dengan jarum yang digunakan untuk mengambil darah pesakit.
- Jarum tersebut akan digunakan untuk memecahkan tisu yang menyekat tendon sehingga menyebabkan jari bengkok.
- Oleh sebab tiada bukaan dibuat semasa prosedur dijalankan, pesakit tidak memerlukan jahitan.
Walaupun kaedah ini boleh memberikan banyak kebaikan, kebanyakan doktor tidak dilatih untuk menggunakan mesin imbasan ultra bunyi bagi tujuan ini.
Pakar bedah juga kebanyakannya lebih suka untuk menjalankan trigger fingger release melalui kaedah bukaan berikutan mereka boleh melihat tisu yang terkesan dengan lebih jelas.
Pun begitu, kaedah ini mempunyai tempoh sembuh yang singkat dan pesakit boleh bekerja semula dalam masa yang singkat.
Teknik bedah buka bagi masalah jari bengkok
Pembedahan pembukaan adalah prosedur alternatif bagi kaedah perkutaneous. Ia melibatkan potongan bedah yang kecil bagi membolehkan pakar bedah untuk melihat struktur yang terkesan.
Ia bukanlah satu prosedur major yang memerlukan masa berjam-jam. Lazimnya kaedah ini boleh siap dalam masa 30 minit sahaja.
Jika lebih daripada 1 jari yang alami lekatan, ia mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Langkah yang diambil ketika pembedahan adalah seperti berikut:
- Pakar bedah akan memberikan ubat bius setempat. Apabila kawasan tersebut sudah kebas, satu bukaan kecil akan dibuat pada tapak tangan.
- Lokasi tisu yang menyekat tendon akan dikenal pasti dan pakar bedah akan memotongnya dengan berhati-hati bagi membuka ruang kepada tendon untuk bergerak.
- Sebelum menamatkan prosedur, jari yang terkesan akan cuba dibengkok dan diluruskan untuk memastikan ia boleh bergerak bebas.
Apabila ubat bius sudah beransur-ansur hilang, jari yang dibedah boleh digerakkan semula.
Risiko komplikasi atau pembedahan semula kebiasaannya berada pada tahap yang minimum.
Dianggarkan 97% pesakit mengalami kesembuhan penuh selepas prosedur pembedahan dijalankan.
Kesembuhan selepas pembedahan pembukaan
Selepas pembedahan pembukaan, pesakit akan dipakaikan dengan balutan pada kawasan bedah. Ia perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kering.
Balutan tersebut hanya boleh dibuka selepas sehari dua manakala jahitan pada kulit akan dibuka selepas 10 hingga 14 hari.
Bergantung kepada jenis benang yang digunakan, ada juga yang akan meresap dengan sendirinya.
Tangan yang dibedah boleh mengalami kebengkakan dan kesakitan untuk beberapa hari. Namun masalah ini boleh diatasi dengan cara:
- Menggunakan ais selama 5 hingga 10 minit untuk beberapa hari.
- Memastikan kedudukan tangan terangkat dan berada lebih tinggi daripada paras jantung.
- Mengambil ubat anti radang seperti ibuprofen jika dipreskripsikan oleh doktor.
Kebanyakan pesakit boleh kembali bekerja selepas berehat beberapa hari namun bagi mereka yang melakukan tugas berat, doktor mungkin akan menyarankan tempoh berehat yang lebih lama (1 hingga 2 minggu).
Simptom lain seperti sakit kebiasaannya akan mengambil masa beberapa minggu untuk hilang.
Namun bagi masalah bengkak selepas pembedahan jari bengkok boleh mengambil masa 6 bulan sebelum ia sembuh sepenuhnya.
Bagi mereka yang menjalani pembedahan ini pada lebih daripada 1 jari tangan, masa sembuh akan menjadi lebih lama.
Konklusi
Masalah jari bengkok, walaupun nampak seperti tidak serius, boleh menjejaskan kualiti hidup.
Ia menyekat aktiviti jari tangan sehingga menyukarkan individu untuk melaksanakan perbuatan mikro seperti menulis, membuka tombol pintu menggunakan kunci dan sebagainya.
Sekiranya anda mengalami masalah yang sama, rujuk doktor perubatan untuk tindakan selanjutnya.