Rawatan alternatif daripada tukang urut patah tulang menjadi pilihan utama kebanyakan individu jika berlaku kemalangan.
Artikel Ditaja Oleh 
Rawatan alternatif daripada tukang urut patah tulang menjadi pilihan utama kebanyakan individu jika berlaku kemalangan.

Walaupun kita hidup dalam zaman perubatan yang serba canggih, masih terdapat segelintir individu atau ibu bapa yang tetap skeptikal terhadap perubatan moden.
Sekiranya berlaku kecederaan tulang dan anggota badan pada diri sendiri mahupun anak-anak mereka, golongan ini lazimnya enggan untuk mendapatkan rawatan daripada hospital.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang & Otot, sila dapatkannya di sini.
Kebanyakan individu dan ibu bapa memilih rawatan alternatif kerana kerap disuap dan ditakuti oleh pelbagai tanggapan yang salah terhadap rawatan di hospital. Ramai yang menganggap asal masuk sahaja ke hospital, pembedahan perlu dilakukan.
Oleh yang demikian, mereka cenderung untuk memilih rawatan tidak invasif oleh bomoh patah yang hanya membabitkan urutan sahaja.
Ada juga yang menganggap kecederaan tersebut tidak serius maka tidak perlu ke hospital. Maklumlah, berbanding tukang urut patah tulang, waktu menunggu di jabatan kecemasan boleh mengambil masa yang sangat lama.

Apa pun alasan yang digunakan, ketahuilah bahawa kecederaan tulang boleh menjadi sesuatu yang serius.
Ia mempunyai impak bukan sahaja dalam jangka pendek, kesannya boleh mengakibatkan masalah yang cukup membebankan di kemudian hari.
Sebelum anda terus membawa diri atau anak-anak ke tukang urut patah tulang, berikut adalah 2 risiko utama yang perlu anda pertimbangkan.
Ya, percaya atau tidak kepatahan tulang berupaya untuk menyebabkan kematian. Hal ini benar untuk tulang panjang seperti tulang femur, dan juga tulang lain seperti pelvis dan pinggang.
Bergantung kepada jenis dan juga tahap keterukan, kepatahan tulang panjang seperti femur berupaya untuk menyebabkan pendarahan yang banyak, sekitar 1 hingga 1.5 liter.
Kehilangan darah yang banyak ini boleh menyebabkan kegagalan organ dan akhirnya kematian.
Hal yang sama untuk kepatahan tulang di bahagian pinggang. Tulang pinggang dan pelvis membentuk kerangka sokongan untuk pelbagai organ dalaman serta salur darah penting seperti arteri femoral.
Andai berlaku kecederaan kepada salur darah arteri penting yang besar, pesakit boleh mati akibat kehilangan darah yang banyak.
Selain pendarahan yang banyak, salah satu punca kematian akibat kepatahan tulang juga boleh disebabkan oleh Sindrom embolisme lemak.

Dalam tulang panjang terdapat gumpalan lemak. Jika kepatahan berlaku, lemak ini boleh terkeluar daripada ruang medula tulang panjang dan memasuki salur darah.
Gumpalan lemak dalam salur darah adalah sesuatu yang cukup berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan salur darah tersumbat khususnya di kawasan penting seperti paru-paru dan otak.
Ia merupakan salah satu sindrom yang sukar didiagnos dan cukup digeruni. Oleh itu, berbanding membawa diri atau anak-anak terus ke tukang urut patah tulang, jadikan penilaian oleh doktor sebagai keutamaan.
Bomoh patah tidak mahir dalam menilai pesakit secara holistik mahupun dalam mengenalpasti risiko pendarahan.
Salah satu kes yang kerap dijumpai di klinik kesihatan dan juga klinik ortopedik kanak-kanak adalah kececatan/deformasi anggota badan yang berlaku selepas sejarah kecederaan pada anggota badan tersebut.
Lazimnya, anak-anak tersebut tidak dibawa ke klinik atau hospital untuk diperiksa dan dirawat selepas berlakunya kecederaan.
Sebaliknya, bomoh patah dijadikan harapan dan sumber rawatan utama. Lumrahnya, bahagian badan tersebut akan diurut oleh bomoh patah dengan menggunakan minyak panas untuk melegakan rasa sakit yang dialami.
Selepas diurut, mungkin anduh akan diberikan untuk dipakai dan anak-anak tersebut dibiarkan pulang seperti biasa.
Namun yang demikian, setelah tempoh sekitar 2 minggu, pesakit-pesakit ini akan mula perasan benjolan atau deformasi pada bahagian tersebut dan ibu bapa akan mula mengadu kepada doktor, mengharapkan keadaan ini dapat dibetulkan.
Dalam keadaan yang sepatutnya, selepas berlaku kepatahan tulang dalam kalangan kanak-kanak, matlamat rawatan adalah untuk membetulkan semula aliran tulang tersebut secepat mungkin.
Sebelum itu, pengimejan seperti sinaran X akan digunakan untuk mengenalpasti jenis/tahap retak dan juga keretakan lain yang mungkin ada.
Orientasi kepatahan tersebut akan diteliti oleh doktor sebagai panduan dalam strategi untuk membetulkan semula keselarian tulang tersebut.
Kaedah pembetulan akan bergantung kepada tahap kecederaan – ada yang memerlukan pembedahan, ada yang boleh dibuat secara manipulasi luaran menggunakan ubat sedatif.
Sungguhpun ada keadaan yang dibenarkan untuk rawatan tanpa pembedahan, doktor akan sekitar kawasan yang dimanipulasi tadi dengan simen supaya tulang tersebut tidak bergerak sambil ia sembuh dan bercantum.
Kaedah penjagaan pasca rawatan ini tidak berlaku dalam sesi bersama tukang urut patah tulang.
Dalam kalangan kanak-kanak, prosedur untuk selarikan tulang yang patah perlu dilakukan segera. Ini kerana kadar kebercantuman tulang mereka berlaku dengan sangat cepat, iaitu sekitar dua minggu.
Jika tulang itu telah bercantum tanpa sempat alirannya dibetulkan, deformasi tulang tersebut akan kekal seperti itu.
Jika ia berlaku di bahagian siku dan pergelangan tangan, ia bukan sahaja akan menyebabkan kecacatan, bahkan limitasi dalam pergerakan sendi di kawasan tersebut.
Apa yang lebih menyayatkan hati adalah jika deformasi atau kecacatan ini membabitkan tulang kaki seperti femur, tibia dan fibula, ia boleh mengakibatkan kesukaran dalam bergerak atau berjalan.
Keupayaan untuk bergerak adalah keupayaan yang penting kerana ia membabitkan pelbagai perkara seperti bekerja dan menguruskan diri sendiri.
Kecederaan tulang tidak seharusnya dipandang enteng. Keputusan sama ada kepatahan itu adalah serius ataupun tidak perlu dibuat oleh doktor terlebih dahulu.
Bomoh patah tidak wajar dijadikan sebagai keutamaan kerana mereka bukanlah golongan yang dilatih untuk menangani komplikasi kepatahan tulang.
Walaupun tampak biasa, kepatahan tulang boleh menjadi sesuatu yang bahaya secara akut mahupun kronik.
Risiko boleh dikurangkan dengan memilih rawatan perubatan hospital berbanding tukang urut patah tulang.
Sayangilah diri sendiri dan anak-anak, elakkan daripada menangguh rawatan untuk kecederaan yang dialami.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Versi Terbaru
23/09/2026
Ditulis oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman
Diperbaharui oleh: Ahmad Farid