Nak tahu tak, ada senaman untuk kesihatan jantung! Malahan, senaman atau aktiviti fizikal merupakan cara yang terbaik untuk mendapatkan jantung yang sihat. Dengan melakukan senaman sebanyak 30 minit setiap hari, anda boleh menurunkan berat badan dan bacaan darah tinggi serta merendahkan tahap kolesterol.
Pada zaman ini, semakin ramai yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Malah, kebanyakan orang mempunyai desk job yang memaksa kita untuk duduk dalam satu tempoh yang panjang.
Tahukah anda, duduk terlalu lama boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan?
Malah, jika anda tidak melakukan sebarang aktiviti seperti bersenam dan jarang bergerak, anda sebenarnya sedang menjalani kehidupan sedentari.
Kehidupan sedentari bukan sahaja buruk untuk jantung anda, ia juga membuatkan kesihatan anda merosot secara am. Sebab itulah, kita perlu bersenam atau melakukan aktiviti fizikal sepanjang hari.
Walau bagaimanapun, bukan semua senaman bagus untuk jantung anda. Menurut Dr Kerry J. Stewart dari Johns Hopkins Hospital, senaman aerobik merupakan senaman yang terbaik untuk kesihatan jantung.
Namun, senaman lain seperti fleksibiliti dan keseimbangan badan juga penting untuk kesihatan badan secara menyeluruh.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Bagaimana senaman mempengaruhi kesihatan jantung
Tidak ada sesiapapun yang tahu bila kita akan terkena serangan jantung. Malah, simptomnya sukar untuk dikesan dan boleh muncul dengan senyap tanpa sebarang tanda yang ketara.
Namun, bagaimanakah senaman membuatkan jantung menjadi lebih sihat?
Salah satu sebabnya ialah senaman dapat membakar kalori dan memastikan berat badan anda berada di dalam lingkungan yang sihat.
Senaman yang kerap juga dapat menurunkan tekanan darah, memastikan kadar kolesterol berada pada tahap yang sihat dan mengawal gula dalam darah.
Ketiga-tiga perkara ini merupakan faktor yang penting dan berkait rapat dengan kesihatan jantung.
Jika ingin bersenam, 30 minit sudah cukup untuk mendapatkan perlindungan kesihatan yang maksimum.
Tidak ada masalah jika anda ingin membahagikan masa 30 minit itu kepada 3 bahagian senaman yang berdurasi 10 minit.
Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai sakit jantung dan tidak biasa bersenam, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu ya!
3 jenis senaman yang baik untuk kesihatan jantung
Sebenarnya, senaman yang berbeza mempunyai kebaikan dan impak yang berlainan terhadap kesihatan jantung anda.
Walau bagaimanapun, untuk kesihatan jantung, anda digalakkan untuk melakukan senaman aerobik dan senaman kekuatan untuk membakar kalori dan memperbaiki BMR anda.
[health_tool_article id=”32136″]
Senaman yang dilakukan bersama diet yang sihat dapat membantu anda menurunkan berat badan. Mereka yang mempunyai berat badan yang sihat kurang berisiko untuk mengalami penyakit jantung.
Jika anda inginkan jantung yang sihat, anda boleh cuba senaman yang kami senaraikan di bawah:
1. Senaman aerobik
Senaman aerobik amat digalakkan untuk mereka yang inginkan jantung yang lebih sihat. Ia bukan sahaja dapat menurunkan tekanan darah, senaman aerobik juga mampu memperbaiki pengaliran darah.
Pada masa yang sama, senaman ini juga dapat merendahkan risiko diabetes jenis 2 dan membantu mengawal kadar gula dalam darah.
Walau bagaimanapun, pasti anda tertanya-tanya berapa lamakah anda perlu lakukan senaman aerobik untuk jantung yang lebih sihat?
Jawapannya ialah sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu. Sebagai contoh, anda boleh cuba berjoging, berbasikal dan lompat tali.
Untuk lebih berkesan, pastikan senaman ini boleh membuatkan jantung anda berdegup dengan pantas ya!
2. Senaman kekuatan
Tahukah anda, mereka yang buncit mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami sakit jantung?
Untuk mengurangkan semua lemak dalam badan, anda perlu melakukan senaman kekuatan untuk menambah otot.
Inilah masanya untuk mengangkat semua dumbbell yang tersadai di rumah anda! Sebagai permulaan, cuba lakukan senaman kekuatan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
Jika tidak ada peralatan di rumah, tidak mengapa. Anda juga boleh lakukan senaman seperti push up, squat dan chin up.
3. Senaman regangan, fleksibiliti dan keseimbangan
Senaman fleksibiliti seperti regangan tidak akan memberikan kebaikan terus kepada jantung anda.
Walau bagaimanapun, ia dapat memberikan kekuatan pada kawasan sendi dan memastikan anda kekal sihat tanpa sebarang sakit pada kawasan lutut.
Jika anda mempunyai sendi yang sihat, tidak ada masalah untuk anda melakukan senaman aerobik dan kekuatan.
Malah, senaman ini juga dapat memastikan anda kekal stabil dan mengelakkan anda daripada tercedera ketika bersenam.
Senaman regangan dan fleksibiliti seperti yoga dan Tai Chi boleh dilakukan setiap hari. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk melakukan senaman jenis ini, anda boleh belajar secara atas talian melalui video.
Kesimpulan
Senaman bukan sahaja mampu membina lebih banyak otot pada badan anda, ia juga dapat menguatkan otot pada bahagian jantung dan membolehkannya untuk berfungsi dengan lebih efisien.
Selain itu, senaman juga dapat meningkatkan jumlah kolesterol baik (kolesterol HDL) dalam badan dan mengeluarkan kolesterol jahat (kolesterol LDL) daripada badan.
Selain dapat menurunkan risiko anda untuk menghidap penyakit jantung, senaman juga mempunyai pelbagai kebaikan dan faedah lain.
Sebagai contoh, ia boleh membuatkan mood anda sentiasa baik, kurang stres, memberikan anda lebih banyak tenaga dan membantu anda untuk tidur dengan lebih lena!
Oleh sebab itu, apa tunggu lagi! Marilah kita mula bersenam hari ini!
[embed-health-tool-heart-rate]