backup og meta

Mencegah Sakit Jantung, Ini Tip Untuk Setiap Peringkat Umur (20-60 Tahun Ke Atas)

Mencegah Sakit Jantung, Ini Tip Untuk Setiap Peringkat Umur (20-60 Tahun Ke Atas)

Anda ingin mencegah sakit jantung, tetapi tidak tahu dari mana hendak bermula? Penyakit jantung mempunyai banyak faktor risiko. 

Sesetengah daripadanya seperti sejarah keluarga, umur dan jantina tidak boleh diubah. Walau bagaimanapun, ada banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko sakit jantung.

Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor 1 dunia. Walaupun ramai yang menganggap sakit jantung hanya berlaku kepada mereka yang telah berusia, namun serangan jantung kini semakin kerap berlaku dalam kalangan golongan muda.

Kurang bersenam, diet yang tidak sihat dan tabiat merokok merupakan antara amalan yang boleh menyebabkan masalah pada jantung anda.

Tidak kiralah berapa umur anda, masih belum terlambat untuk memastikan jantung anda kekal sihat. Apa yang penting, anda haruslah sanggup berubah walaupun secara perlahan-lahan. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Mengelakkan sakit jantung untuk setiap peringkat umur

penyakit jantung

Nasib baiklah, ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk mencegah sakit jantung. Malah, cara ini juga sesuai diamalkan oleh mereka daripada setiap peringkat umur:

  1. Makan makanan yang berkhasiat. Elakkan mengambil makanan segera untuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan juga strok. Untuk pengetahuan anda, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol merupakan dua penyebab utama masalah jantung.
  2. Pilih makanan rendah lemak dan kurang garam.
  3. Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
  4. Elakkan makan terlalu banyak daging merah seperti daging lembu dan kambing.
  5. Kurangkan mengambil makanan dan minuman bergula. Cuba gunakan buah-buahan sebagai perasa.
  6. Pastikan anda bersenam. Hanya 1 daripada 5 orang dewasa yang mendapatkan senaman secukupnya untuk kekal sihat.

Selain itu, pastikan anda tahu tanda-tanda sakit jantung. Bukan semua orang alami sakit dada ketika terkena serangan jantung. Malah, simptomnya juga mungkin berbeza mengikut jantina.

Antara tanda lazim sakit jantung ialah sakit di kawasan dada, pening kepala, rasa hendak pitam, loya, muntah-muntah dan sesak nafas. 

Jika anda mengalami semua simptom berikut, pastikan anda berjumpa doktor atau telefon 999 secepat mungkin.

Mencegah sakit jantung pada umur 20 tahun

Umur 20 tahun mungkin nampak seperti masih muda, sihat dan bertenaga. 

Walau bagaimanapun, sakit jantung boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Oleh sebab itu, lebih baik kita sediakan payung sebelum hujan.

Jika anda baru menginjak usia 20 tahun, perkara pertama yang anda perlu lakukan untuk memastikan jantung sentiasa sihat ialah melakukan pemeriksaan secara berkala.

Lakukan ujian tekanan darah, kolesterol, kadar degupan jantung, gula dalam darah dan juga BMI. Jika anda tidak tahu BMI anda, kira menggunakan kalkulator kami di bawah:

[health_tool_article id=’32121″]

Perkara kedua, jangan merokok dan elakkan asap sekunder. Jika anda merokok, inilah masanya untuk berhenti. Kesannya terhadap badan dapat dirasai sehari selepas berhenti merokok.

Malah, apabila anda berhenti merokok selama setahun, risiko untuk anda mengalami sakit jantung berkurang sebanyak separuh!

Mencegah sakit jantung pada umur 30 tahun

Ketika umur menginjak 30 tahun, ramai yang sudah mempunyai keluarga sendiri dan mula serius dalam karier masing-masing. 

Disebabkan kesibukan ini, ramai yang mula ambil ringan mengenai kesihatan jantung masing-masing.

Pada waktu ini, penting untuk anda ketahui sejarah keluarga anda. Risiko sakit jantung akan meningkat jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap sakit jantung.

Pastikan anda kekalkan berat badan yang sihat, bersenam dengan kerap, tidak merokok dan makan dengan sihat.

Jika anda mempunyai ahli keluarga, inilah masanya untuk merapatkan hubungan anda bersama anak-anak. 

Lakukan aktiviti seperti memasak bersama mereka dan terangkan kepentingan makan secara sihat. Selain itu, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet seharian anda.

Mencegah sakit jantung pada umur 40 tahun

penyakit jantung

Sudah sampai masanya untuk lebih serius dalam mencegah sakit jantung! 

Ketika anda berumur 40 tahun, metabolisme badan mula perlahan. Jaga berat badan anda. Elakkan penambahan berat badan dengan makan secara sihat dan bersenam.

Periksa kadar gula dalam darah. Ujian ini dapat menentukan sama ada anda berisiko untuk menghidap diabetes ataupun tidak.

Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, pastikan anda melakukan pemeriksaan dengan lebih kerap.

Mencegah penyakit jantung pada umur 50 tahun

Tidak seperti rambut yang kian memutih dan kulit yang makin berkedut, keadaan jantung kita tidak dapat dilihat secara fizikal. 

Pada waktu ini, mudah untuk kita mengabaikan diet masing-masing.

Jangan lupa, walau berapa pun umur anda, makan secara sihat merupakan sesuatu yang wajib dilakukan. Selain itu, pastikan anda lebih peka terhadap tanda-tanda penyakit jantung.

Kekal sihat walau berumur 60 tahun ke atas!

penyakit jantung

Umur yang semakin lanjut bermaksud risiko sakit jantung yang kian meningkat. 4 daripada 5 individu yang meninggal dunia disebabkan penyakit jantung koronari berumur 65 tahun ke atas.

Pastikan anda perhatikan tekanan darah dan tahap kolesterol anda. Anda masih perlu makan secara sihat dan bersenam untuk mengelakkan serangan jantung.

Apabila anda semakin tua, badan tidak lagi memerlukan kalori sebanyak dahulu. Oleh sebab itu, sebarang penambahan berat badan hanya akan meningkatkan risiko sakit jantung.

[embed-health-tool-heart-rate]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. American Heart Association. 2019. 8 Things You Can Do to Prevent Heart Disease and Stroke. March 14. Accessed April 7, 2021. https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-lifestyle/prevent-heart-disease-and-stroke.
  2. CDC. 2021. Heart Disease: It Can Happen at Any Age. January 26. Accessed April 7, 2021. https://www.cdc.gov/heartdisease/any_age.htm.
  3. Central Vermont Medical Center. 2020. How to Prevent Heart Disease at Any Age. February 24. Accessed April 7, 2021. https://www.cvmc.org/blog/family-health/how-prevent-heart-disease-any-age.
  4. Mayo Clinic. 2019. Strategies to prevent heart disease. October 26. Accessed April 7, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/in-depth/heart-disease-prevention/art-20046502.
  5. MedlinePlus. 2015. How to Prevent Heart Disease. March 25. Accessed April 7, 2021. https://medlineplus.gov/howtopreventheartdisease.html.

Versi Terbaru

15/06/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Sering Sakit Dada? Adakah Disebabkan Pedih Ulu Hati Atau Sakit Jantung? Kenali Perbezaannya!

Takut Terkena Sakit Jantung? Lebih Baik Cegah Sebelum Terlambat! Ikuti 7 Tip Mudah Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan